Isnin, 25 Februari 2008

DIDIK PENYOKONG PARTI SUPAYA BERHEMAH


UTUSAN MALAYSIA ( 25-02-2008 )

HARI ini, bermulalah perang kempen pilihan raya umum (PRU) di seluruh negara.

Antara logik bersulam retorik, kempen yang diharapkan dapat meraih perhatian rakyat itu bergema di sebalik kibaran bendera dan kain rentang pengikut parti masing-masing.

Namun, paling mencuri tumpuan sepanjang waktu berkempen ini adalah penglibatan anak-anak muda belasan tahun yang sangat pantas dan laju berkempen dengan motosikal mereka.

Dengan status belum pun layak untuk mengundi dan diyakini tidak pernah ambil peduli pun tentang politik semasa, tidak sukar untuk mengagak apakah sebenarnya yang mendorong semangat mereka untuk bersama-sama berkempen melainkan disogok dengan wang.

Perkara sebeginilah yang perlu diberi perhatian oleh parti yang bertanding kerana amalan menabur wang untuk berkempen adalah tradisi yang tidak lagi boleh diteruskan kerana ia boleh membunuh parti dalam jangka masa panjang.

Menggunakan anak-anak muda atau mat rempit yang sangat agresif sesuai dengan darah muda mereka juga jika tidak dipantau boleh menjurus kepada kejadian yang tidak diingini.

Pergaduhan misalnya, adalah kesan negatif yang sangat mudah berlaku dan rasa tidak puas hati ini boleh tercetus waima disebabkan perkara yang sangat remeh.

Malah, kehadiran mereka dalam kumpulan yang besar di jalan-jalan raya dengan kibaran bendera juga boleh saja mengundang nahas dan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Cemuhan

Di sesetengah kejiranan, kehadiran anak muda dengan motosikal ini selalunya mendapat cemuhan penduduk yang terseksa dengan bunyi deruman dan hon motosikal serta kelakuan yang kadangkala tergelincir daripada akhlak seorang remaja.

Kesannya tentulah kepada parti yang lambangnya berkibar megah dan dijaja ke hulu dan ke hilir oleh anak-anak muda bermotor ini.

Jika benar anak muda ini ingin diasuh untuk menghayati dan memperjuangkan apa yang dilaungkan oleh mana-mana parti, mereka seharusnya dididik dan dibimbing dengan cara yang betul.

Bak kata pepatah, melentur bulur biarlah daripada rebungnya, dan anak-anak muda ini tidak boleh dilentur dengan pemikiran politik serta cara berkempen yang tidak bermoral.

Di sebalik semua itu, tempoh berkempen seharusnya dijadikan medan kepada setiap parti tentang sejauh mana mereka meletakkan nilai moral dan berakhlak dalam perjuangan mereka untuk dihayati oleh generasi muda.

Memikirkan bahawa tempoh berkempen yang agak lama bagi PRU kali ini iaitu selama 13 hari, maka panjanglah juga tempoh untuk dijangkakan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Namun, ia sebenarnya boleh dielakkan sekiranya calon yang bertanding terlebih dahulu menggunakan pendekatan yang bersederhana dan bijak mengawal serta mendidik penyokong-penyokong mereka.

0 ulasan: