Khamis, 7 Februari 2008

PILIHANRAYA : JANJI-JANJI-JANJI LAGI-LAGI JANJI

PILIHANRAYA : JANJI-JANJI-JANJI LAGI-LAGI JANJI

Pilihanraya umum ke-12 akan diadakan tidak lama lagi dan seperti yang dijangkakan dan disebarkan oleh berita-berita dari radio buruk ianya akan dilakukan dalam bulan Mac (2008) nanti. Namun demikian tiada siapa yang dapat memberikan jawapan dengan tepat bila pilihanraya itu akan dilakukan nanti. Kata orang politik, Perdana Menteri Pak Lah kita masih lagi tidak mendapat ilham akan tarikh yang tepat untuk mengadakan pilihanraya tersebut tetapi masanya sudah dekat.

Semakin hari semakin hebat. Semakin hari semakin panas. Semakin hari semakin cergas kempen dilakukan. Cawangan-cawangan kini telah mengaktifkan semula fungsi mereka dalam menjalankan kempen bagi parti masing-masing. Berbagai-bagai usaha sedang dilakukan diperingkat akar umbi dengan mengumpul segala kudrat bagi persediaan menghadapi pilihanraya ke-12 nanti. Kesibukkan para YB dan konco-konconya semakin meningkat.

Namun demikian, masih tertanya-tanya di fikiran rakyat jelata adakah ‘hutang’ ( janji pilihanraya yang lepas ) telah dilunaskan atau pun belum lagi oleh wakil rakyat yang telah dipilih oleh mereka. Jika ‘hutang’ yang lepas belum dibayar, maka para YB seharusnya menggandakan usahanya dalam melunaskan ‘hutang’ yang tidak berbayar itu. Jika hutang lapuk belum dilunaskan, bagaimana pula perasaan rakyat pada seseorang YB itu yang ingin membuat ‘hutang’ yang baru.

Tidak kira mereka itu YB daripada parti pembangkang atau pun dari parti pemerintah sendiri. Jika janji yang tidak tertunai itu keluar dari mulut YB parti pembangkang, rakyat boleh menyatakan kemungkinan mereka tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakannya dan kemungkinan tidak akan memilihnya pada PRU nanti. Tetapi keadaan menjadi sebaliknya jika janji itu datangnya daripada mulut YB daripada parti pemerintah. Rakyat jelata tahu bahawasanya kerajaan ( pemerintah ) sudah pasti mempunyai peruntukan yang sewajarnya bagi melaksanakan janji-janji pilihanraya tersebut.

Namun sekali lagi rakyat jelata ingin bertanya; Adakah YB kita sudah melaksanakan apa yang telah beliau janjikan pada pilihanraya yang lepas?

Di sini dinyatakan beberapa petikan artikel yang dikeluarkan oleh akhbar-akhbar tempatan dan kata-kata oleh pemimpin-pemimpin parti politik tertentu yang dikeluarkan berkenaan seruan kepada para YB agar melaksanakan tugas mereka dengan lebih tekun disamping melaksanakan apa yang telah mereka janjikan di suatu ketika dahulu, kini dan selamanya :-

Umno jamin tunai segala janji ( Berita Harian : 24-01-08 )

Kepercayaan rakyat, perpaduan penting tentukan kemenangan parti komponen

KUALA LUMPUR: Semua sayap Umno berjanji menyelesaikan tugas masing-masing jika ada yang belum selesai pada semua peringkat sebelum pilihan raya umum diadakan dan menyokong siapa saja yang dipilih sebagai calon.

Mereka sedar kepercayaan rakyat terhadap parti dan perpaduan amat penting untuk menentukan kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-12 yang dikatakan semakin hampir.

a) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ( Naib Presiden Umno )

- “Setiap ahli mesti meningkatkan usaha dalam menyelesaikan masalah dan isu dihadapi rakyat terutama pada peringkat tempatan”

- "Sepatutnya kita jangan tumpu kepada soal pilihan raya saja, sebaliknya tumpukan juga kepada kerja yang sepatutnya diselesaikan... jadi kena laksanakan,"

- "Kita semua sudah bekerja dan mengekalkan kerja dari dulu.

b) Datuk Rahman Dahlan ( Penolong Setiausaha Pemuda Umno)

- "Ada masalah yang memerlukan masa untuk diselesaikan dan pengundi kena faham. Kalau pilihan raya umum diadakan Mac ini, masalah yang dibangkitkan pada September dan Oktober patut sudah selesai,"


YB kena bijak menangi hati rakyat ( Berita Harian : 24-01-08 )

Pak Lah nasihat calon pandai bawa diri, jangan merajuk jika tidak terpilih

Seharusnya, lebih 2,000 ahli Umno yang keluar dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyelami nasihat Presiden bahawa pilihan raya umum akan datang bukan lagi hanya tertumpu kepada cara menumpaskan pembangkang, sebaliknya untuk memenangi hati rakyat.

a) Pak Lah ( Perdana Menteri )

- "Bukan senang... kita boleh buat macam-macam janji dalam satu ayat, tetapi nak melaksanakannya mengambil masa. Bukan bermaksud kita belum melakukan apa-apa. Saya sudah mula laksanakan dan ia dalam proses pelaksanaan,"

- "Calon pilihan raya akan datang bukan saja mesti nampak bersih, malah mesti benar-benar bersih. Mereka mesti memiliki beberapa ciri penting terutama berwibawa, ada integriti serta mesti mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di peringkat akar umbi terutama di kawasan masing-masing,".

- "Jangan ambil mudah."

b) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ( Menteri di Jabatan Perdana Menteri )

- “Untuk menjadi wakil rakyat hanya dua perkara perlu dijaga - pertama, Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa muktamad untuk memilih calon; kedua, pengundi yang akan mengundi mereka.”

- "Jika Perdana Menteri tidak mencalonkan, maka mereka yang berangan setinggi langit atau melobi macam nak rak, tidak akan menjadi calon.

- "Selepas menjadi calon pun, jika pengundi tidak suka dan tidak mengundi, kita tidak akan menjadi wakil rakyat,"

Janji demi janji ditabur pembangkang ( Utusan Malaysia : 24-01-08 )

KOTA BHARU 23 Jan. - Parti pembangkang mula menabur janji muluk menjelang pilihan raya dengan dakwaan mampu menyelesaikan pelbagai isu negara termasuk jenayah dan ekonomi dalam tempoh sepenggal jika diberi mandat oleh rakyat.

a) Datuk Husam Musa ( Naib Presiden Pas )

- “Yakin pakatan pembangkang mampu membawa kestabilan ekonomi dan sosial dalam tempoh masa yang singkat itu dengan formula mereka sendiri”.

- "Selain berhasrat mewujudkan negara kebajikan, kita yakin boleh selesaikan isu besar termasuk peningkatan kadar jenayah, kenaikan harga barang termasuk harga minyak dan pelbagai lagi.

b) Datuk Seri Annuar Musa ( Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan )

- "Hakikatnya Pas tidak perlu pun untuk memberi janji sedemikian kalau prestasi mereka sememangnya bagus,".

- "Setiap tahun kerajaan negeri mengalami defisit dalam hasil negerinya dan jika dilihat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini pastinya defisit semakin meningkat,".

- "Jika rakyat beri peluang kepada BN, sukan boleh menjadi agenda pembangunan utama di Kelantan. Malah, kita juga mahu Kelantan diberi peluang menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) yang kesannya sangat besar kepada kemudahan infrastruktur sukan serta ekonomi rakyat.

Khidmat yang sewajarnya patut dilaksanakan oleh YB yang telah dipilih dan yang akan dipilih pada PRU ke-12 nanti. Hutang lapuk perlu dibayar dengan seberapa segera dan jangan biarkan rakyat jelata mula bertanyakan tentang hal-hal lapuk dan mula membuat bising akan apa yang janjikan oleh YB mereka.

Persekitaran politik kini telah merubah cara dan corak pemikiran rakyat jelata tentang seseorang YB mereka. Mereka telah didedahkan dan terdedah dengan pelbagai keadaan dan suasana politik Negara. Rakyat jelata sudah pun dapat menilai sejauh mana kemampuan yang dapat diberikan oleh seseorang YB tersebut kepada mereka. mereka kini lebih sensitive terhadap isu-isu yang timbul dalam membuat penilaian terhadap seseorang YB. Tidak kira mereka itu YB dipilih dari parti pembangkang atau pun daripada parti pemerintah.

Peringkat akar umbi tidak perlu memandang jauh kerana masih ada orang yang lebih matang dan arif tentangnya. Orang kampong hanya melihat apa yang mereka perolehi jika seseorang YB itu diberi kemenangan oleh mereka. Mereka hanya ingin melihat kampong tumpah darah mereka mendapat seperti apa yang diperolehi oleh mereka yang berada di kawasan lain. Mereka ingin melihat YB mereka sentiasa mengambil berat akan nasib anak-anak muda mereka yang berada di kampong tanpa hala tuju. Mereka memerlukan seseorang yang boleh mengubah scenario kampong mereka yang serba kekurangan. Apa yang dibawa, diberi, dilakukan dan dilaksanakan oleh seseorang YB itu dikawasan mereka akan menjadi kayu pengukur oleh orang kampong.

Orang kampong tidak mahu fikir tentang permasalahan pihak kerajaan atau pun pihak pembangkang. Pergaduhan pendapat antara pemimpin pembangkang dan pihak kerajaan bukanlah isu mereka. MEREKA HANYA MAHUKAN HAK MEREKA. Hak mereka yang dijanjikan oleh YB yang dipilih oleh mereka. Hak mereka yang diminta dan dipersetujui oleh YB untuk menyelesaikannya. Hak mereka yang selama ini yang masih tidak ditunaikan oleh YB mereka. Hak mereka selaku rakyat jelata yang berusaha keras untuk memberi undi dan kemenangan kepada seseorang YB itu. Hak mereka selaku rakyat jelata.

Semoga YB yang dilantik dahulu, kini dan selamanya tidak kira dari parti pembangkang atau pun parti pemerintah harus sedar dan muhasabah diri tentang apa yang telah mereka janjikan terhadap orang kampong. Laksanakanlah dengan seberapa segera sebelum pilihanraya dilakukan dan juga sebelum sokongan dan perasaan rakyat jelata yang terguris menolak mereka secara jujur dan terang-terangan semasa pemilihan nanti.

Semoga hutang lapuk yang dijanjikan dahulu telah dapat diselesaikan oleh YB yang terpilih. Semoga tiada lagi JANJI DEMI JANJI DAN TERUS BERJANJI yang ditaburkan oleh orang politik dalam usaha memenangi dan menyedapkan hati rakyat jelata demi memenangi pilihanraya. Rakyat jelata sudah masak dan faham akan POLITIK YANG DIMAINKAN OLEH ORANG POLITIK. Dengan kata lain tipah takkan tertipu lagi.

Janganlah sampai terjadi seperti sifir berikut : JANJI - JANJI = TIN KOSONG

Selamat berjuang.

0 ulasan: