UTUSAN MALAYSIA – ( 29-02-2008 )
KUALA LUMPUR: Kempen 'Pakat Kelik Ngundi' anjuran Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) disabotaj pihak tertentu dipercayai pembangkang dengan menyebarkan fitnah melalui 'Pakat Claim Ngundi' yang bertujuan mengelirukan pengundi rakyat Kelantan di perantauan.
Kempen 'Pakat Claim Ngundi' kini disebarkan secara berleluasa melalui laman blog, emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta pengundi mendaftar dengan BN supaya dapat menggunakan kemudahan pengangkutan untuk pulang, tetapi mesti memilih Pas ketika membuang undi.
Selain itu, mereka juga menjelaskan setiap pengundi berdaftar dengan Pemuda BN akan menerima sagu hati RM130 seorang sebagai imbuhan dan meminta mereka mendapatkan wang berkenaan untuk pulang.
Sebelum ini, ada sesetengah pihak yang menghubungi Bilik Gerakan Induk BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini yang mendakwa mempunyai 200 hingga 500 individu yang sedia mendaftar tetapi meminta urus setia menjelaskan mengenai jumlah bayaran yang bakal diterima.
Perkara itu jelas bertentangan dengan amalan kempen 'Pakat Kelik Ngundi' yang sebenarnya hanya menyediakan kemudahan rekod, semakan daftar pemilih, surat sokongan cuti mengundi serta kemudahan pengangkutan secara rombongan.
Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Husin, berkata perkara itu sebenarnya membuktikan sikap panik Pas apabila melihat pengundi luar Kelantan menyokong usaha murni Pemuda BN mengumpulkan pengundi menggunakan pendekatan sistematik.
"Apabila pusat pendaftaran kempen dibuka, kita menerima maklum balas menggalakkan. Ini menimbulkan ketakutan dan panik Pas kerana mereka percaya ramai pengundi luar memberi sokongan kepada BN.
"Kita tak pernah janjikan imbuhan, sebaliknya mereka secara sukarela tampil berbuat demikian," katanya.
Dali yang juga calon BN Parlimen Pangkalan Chepa mendakwa, awal bulan lalu, Pas dalam taklimat di Masjid Wilayah Jalan Duta, di sini, menjanjikan penyokong mereka boleh menuntut kos perbelanjaan pulang, termasuk pengundi di Sabah dan Sarawak.
"Sekarang jelas siapa yang menjanjikan imbuhan, mereka menterbalikkan fakta dengan menuduh BN menggunakan wang. Saya percaya rakyat sudah bijak membuat penilaian dan pilihan," katanya.
"Kempen itu dilancarkan berikutan perubahan arus semasa yang menunjukkan pengundi luar Kelantan mula memberi sokongan kepada BN, sekali gus memperoleh mandat memerintah selepas 18 tahun di bawah pimpinan Pas," katanya
Berdasarkan penyebaran dakyah itu, mereka mendakwa penggunaan kempen itu adalah pendekatan sama digunakan BN ketika Pilihan Raya Umum 2004, tetapi pengundi kononnya tertipu apabila tidak mendapat wang bayaran seperti dijanjikan.
Kempen dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Muafakat) itu hanya bertujuan mengajak kira-kira 230,000 rakyat Kelantan, termasuk 10,000 yang layak mengundi yang berada di luar negeri itu supaya menunaikan tanggungjawab mengundi.
0 ulasan:
Catat Ulasan