BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )
KOTA BHARU: Rakyat pelbagai peringkat lapisan termasuk golongan berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah sendiri jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Kelantan pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Calon MCA bagi DUN Kota Lama, Tan Ken Ten, berkata rakyat Kelantan perlu mengambil peluang untuk memberi mandat kepada BN menyelesaikan masalah pemilikan rumah yang dihadapi sepanjang Pas memerintah.
Katanya, selama ini, Pas hanya memainkan slogan pemilikan rumah untuk rakyat, tetapi masyarakat Cina negeri ini masih buntu untuk memiliki rumah sendiri berikutan harganya yang terlalu tinggi.
"Memang ada banyak rumah dibina tetapi ia mahal, sebahagian besar rakyat khususnya kalangan kaum Cina bukan berpendapatan tinggi, tidak mampu membelinya, ia hanya untuk golongan tertentu.
"Kita memerlukan lebih banyak rumah kos sederhana dan rendah agar rakyat pelbagai peringkat pendapatan mampu membeli, oleh itu BN merancang pembinaan rumah-rumah terbabit secara besar-besaran jika diberi mandat memerintah Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada 163 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, di sini.
Turut hadir ialah calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Tan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah terbabit turut mengingatkan hadirin bahawa generasi muda akan terus meninggalkan negeri ini untuk mencari pekerjaan di negeri lain sekiranya rakyat masih enggan melakukan perubahan.
Katanya, kerajaan BN menerusi ECER bukan saja membawa pembangunan kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini, malah bercita-cita menyediakan 500,000 pekerjaan khusus kepada anak-anak tempatan.
"Peluang kerja yang begitu banyak akan membolehkan anak-anak terus tinggal di negeri bersama keluarga masing-masing, tidak perlu merantau mencari rezeki.
"Berilah peluang kepada saya dan BN untuk berkhidmat kepada anda semua," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan