Isnin, 25 Februari 2008

KU LI : ORANG LAMA

Razaleigh wakil rakyat paling lama

UTUSAN MALAYSIA ( 25-02-2008 )

KUALA LUMPUR, 24 Feb. – Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, di peringkat Parlimen dan negeri, jika memenangi pilihan raya umum 8 Mac ini.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, yang berusia 71 tahun April ini, mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang pertama kali dimenanginya tanpa bertanding pada 1974. Kerusi itu sebelum ini dikenali sebagai Ulu Kelantan.

Kali ini beliau dicabar oleh calon Pas, Zulkefli Mohamed.

Bekas pegawai bank itu menyertai UMNO pada 1962 dan mula bertanding pada pilihan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat dan berjaya menewaskan calon Pas, Hussin Abdullah.

Beliau kemudiannya beralih ke kerusi Parlimen pada 1974 dan sejak itu kekal sebagai wakil rakyat Gua Musang walaupun menubuhkan Semangat 46 pada 1989 apabila enggan menyertai semula UMNO Baru setelah UMNO dibubarkan oleh mahkamah.

Tengku Razaleigh yang tidak memegang jawatan kerajaan kembali ke pangkuan UMNO pada 1996.

Sebelum pembubaran Parlimen pada 13 Februari lepas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan anggota Parlimen paling lama berkhidmat.

Beliau menjadi anggota Parlimen Kota Samarahan sejak 1970 dan pada pilihan raya umum ini, Taib memberi laluan kepada anaknya, Datuk Seri Sulaiman untuk bertanding kerusi berkenaan.

Selain Razaleigh, Menteri Kerja Raya yang juga Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu merupakan antara anggota Parlimen yang paling lama berkhidmat selepas pilihan raya kali ini.

– Bernama

0 ulasan: