BERITA HARIAN – (28-02-2008)
Rakyat boleh nilai keupayaan atau pilih parti lain jika mengecewakan
PASIR MAS: Barisan Nasional (BN) hanya memerlukan tempoh sepenggal mandat mulai Pilihan Raya Umum 8 Mac ini bagi membuktikan keupayaan membawa perubahan besar kepada seluruh Kelantan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas tempoh itu, rakyat Kelantan boleh menilai keupayaan BN memenuhi semua janji atau memilih parti lain jika BN mengecewakan mereka.
"Selepas 18 tahun berlalu, kalau sekali lagi mereka (pengundi Kelantan) menyambung rayuan kerajaan Pas, mereka hanya memilih keadaan yang sama, tentulah ini bukan kehendak pengundi di Kelantan.
"Sudah sampai masa mereka memberi peluang kepada BN membuktikan kita mampu buat perubahan dan membela rakyat Kelantan dalam tempoh empat tahun atau sepenggal.
"Kalau pengundi beri peluang kepada kita kali ini, mereka boleh nilai selepas empat tahun nanti, kalau kita mengecewakan, mereka ada kuasa untuk memilih orang lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Pasir Mas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja dekat Lemal di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin selaku Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, yang juga calon BN bagi Parlimen Jeli.
Hadir sama, semua calon BN bagi Parlimen Pasir Mas terdiri Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (DUN Chetok); Ahmad Rosdi Mahamad (Parlimen Pasir Mas); Hanafi Mamat (DUN Pengkalan Pasir) dan Mohd Fauzi Muhammad (DUN Tendong).
Terdahulu, Najib menghadiri majlis sama di Parlimen Tanah Merah yang berlangsung di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Gual Ipoh, dekat sini, semalam.
Najib berkata, tempoh empat tahun atau sepenggal itu adalah masa untuk BN menunjukkan kemampuan melaksanakan perubahan tetapi bagi sesebuah kerajaan, kelangsungan pemerintahan lebih lama lebih baik.
Katanya, walaupun Pas mendakwa Kelantan tetap mendapat manfaat sepanjang di bawah parti itu, BN banyak menyalurkan projek dan peruntukan kerana negeri ini sudah terlalu jauh ketinggalan.
"Apa yang kita nak nyatakan ialah kita mahu melihat pembangunan di Kelantan, tetapi kalau nak lebih dan mahukan perubahan lebih besar dengan ECER yang sedang berjalan, rakyat Kelantan kena pilih BN.
"Jangan takut kepada pembangunan, Kelantan pun ada masalah sosial (walaupun di bawah Pas) dan ia bukan alasan menolak pembangunan dan perubahan. Kalau kita takut, lebih buruk nasib rakyat Kelantan kalau tergolong dalam golongan miskin dan terpinggir.
"Lagi buruk kalau tak ada cukup perumahan, jalan yang baik dan pekerjaan. Mereka terpaksa berhijrah dan sekarang ada lebih 300,000 rakyat Kelantan di luar negeri ini sebab tak ada peluang kerja di sini," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan