Isnin, 25 Februari 2008

KU LI KATA : KERAJAAN PAS AKAN TUMBANG ?


BERITA HARIAN ( 25-02-2008 )

GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyuarakan keyakinan BN dapat merampas Kelantan pada pilihan raya umum, 8 Mac ini.

Beliau berkata, perkembangan positif itu berikutan banyak perubahan membabitkan sokongan kuat rakyat terhadap BN yang ingin melihat perubahan besar berlaku di negeri ini.

“Rakyat Kelantan kini menerima langkah BN menamakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai bakal Menteri Besar jika BN menang kelak.

"Saya melihat BN boleh menguasai semula Kelantan kerana sokongan kuat pelbagai lapisan rakyat negeri ini yang dahagakan kemajuan dan perubahan," katanya ketika berucap kepada penyokongnya di Bukit Chekati, semalam.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata, kandungan manifesto Kelantan Baru dan Kelantan Maju menarik minat rakyat yang ketika ini ketinggalan daripada menikmati kemajuan.

Beliau berkata, rakyat mulai sedar selama 18 tahun di bawah Pas, tidak banyak kemajuan mereka nikmati, malah dibebani pelbagai kejadian tidak diingini termasuk rampasan tanah," katanya.

Berhubung saingannya di Parlimen Gua Musang, beliau yakin mampu menang engan selesa termasuk tiga DUN di bawahnya yang dikuasai BN iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh, berikutan sokongan rakyat.

Beliau berkata, BN akan memastikan kemenangan besar untuk mengekalkan sejarah kemenangan di Parlimen Gua Musang dengan mendapat majoriti lebih besar berbanding pilihan raya umum lalu.

0 ulasan: