Khamis, 21 Februari 2008

GENERASI MUDA MAHUKAN PEKERJAAN


BERITA HARIAN ( 20-02-2008 )

Pilihan raya umum ke 12 bakal diadakan pada 8 Mac ini. Setiap warganegara yang namanya tersenarai sebagai pemilih dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpeluang menunaikan tanggungjawab memilih parti atau pemimpin yang bakal mencorakkan negara untuk tempoh empat atau lima tahun lepas ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, rakyat perlu membuat pilihan tepat supaya nasib atau apa yang akan berlaku di negara kita pada masa hadapan memenuhi keperluan rakyat.

“Peluang pekerjaan umpamanya, tidak semua kerajaan dapat menyediakan kepada rakyat, melainkan kerajaan yang benar-benar teguh dan mempunyai perancangan ekonomi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis pemimpin bersama rakyat dan majlis pertemuan dengan masyarakat di Flat Kampung Sireh, dekat sini, semalam.

Kenyataan itu merupakan satu keperluan yang amat diharapkan oleh rakyat. Pekerjaan adalah ‘nyawa’ kepada seseorang yang mana menentukan taraf kehidupan dan membawa kepada perkara-perkara lain dalam hidup ini.

Bagi Norhaslida Mamat, 22, generasi muda memang sentiasa mengharapkan kerajaan yang bakal mentadbir Kelantan selepas pilihan raya nanti dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Kelantan.

“Sekarang ini peluang pekerjaan di Kelantan amat terhad sehingga memaksa banyak tenaga muda di Kelantan merantau mencari rezeki di tempat lain,” katanya.

Tambahnya, generasi muda di Kelantan, tidak kira lelaki atau perempuan, sebenarnya gigih dan rajin bekerja, tetapi apa boleh buat jika peluang pekerjaan tidak ada.

Rakannya, Maisarah Mustafar, 27, bersyukur mempunyai pekerjaan sekarang ini, biarpun tidak berstatus tetap.

“Syukurlah saya ada pekerjaan sekarang ini, tetapi masih ramai lagi rakan yang lain terpaksa menganggur kerana peluang pekerjaan yang terhad,” katanya.

Katanya lagi, jika di negeri lain peluang pekerjaan semakin bertambah setiap tahun, tetapi sebaliknya berlaku di Kelantan. Banyak kilang di Kelantan kini telah ditutup kerana tidak mendapat sokongan kemudahan yang baik daripada kerajaan.

“Pada pilihan raya nanti diharapkan kerajaan yang berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan dapat memberi perhatian utama menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda,” ujarnya.

0 ulasan: