Jumaat, 29 Februari 2008

74,000 BELIA FELDA TURUN PADANG KEMPEN BN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

GUA MUSANG: Lebih 74,000 ahli Persatuan Belia Felda Malaysia akan membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagai bukti membalas jasa Kerajaan Pusat membangunkan warga Felda.

Bekas Naib Presiden Belia Felda Malaysia, Ruzelan Romeli, berkata gerak gempur itu dilihat sebagai satu usaha membantu calon BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya nanti.

Katanya, komitmen tinggi perlu ditunjukkan setiap warga Felda memandangkan kemajuan yang dibawa Kerajaan Pusat selama ini membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

"Kami menjangkakan lebih 74,000 ahli persatuan akan terbabit dalam gerak gempur itu ke arah membuktikan komitmen membantu BN menang dalam pilihan raya nanti.

"Hanya melalui cara itu mereka mampu membuktikan komitmen terhadap Kerajaan Pusat dan harus sedar bukan mudah membangunkan tanah rancangan itu sehingga menikmati kemajuan pesat seperti sekarang," katanya.

Ruzelan berkata, banyak kemajuan yang dibawa Kerajaan Pusat untuk Felda dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah yang bertanggungjawab terhadap kemajuan Felda.

Katanya, sejak kebelakangan ini masyarakat peneroka menikmati banyak kemajuan antaranya bantuan pinjaman membaiki rumah dan tabung kebajikan Felda.

"Kini tiba masa untuk warga Felda membalas jasa Kerajaan Pusat dengan memberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan kepada calon BN," katanya.

Beliau berkata, Felda sudah berjaya melahirkan ramai cerdik pandai yang kini berjawatan tinggi dan mereka tidak harus berdiam diri membantu calon BN.

"Seorang anak peneroka Rancangan Tanah Felda Jengka, Pahang, Wan Salman Wan Ismail akan bertanding kerusi DUN Jengka pada pilihan raya umum ini menentang calon Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Saya meminta ahli persatuan di Pahang membantu calon BN itu supaya kemenangannya nanti dapat memartabatkan warga Felda," katanya.

0 ulasan: