Jumaat, 29 Februari 2008

KERAJAAN TIDAK BERTINDAK PADA KAKITANGAN JIKA SOKONG PEMBANGKANG


HARAKAH – (29-02-2008)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya (P125), Mohamad Nor Mohamad, menegaskan bahawa semua pengundi di kalangan kakitangan kerajaan tidak perlu takut untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-12 yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mac ini.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual khas di pejabat pentadbiran Harakah di Jalan Pahang tengahari tadi.

Katanya, ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya kepada beliau baru-baru ini, memberi jaminan tidak akan memasukkan nombor siri pengundi pada kertas mengundi kali ini seperti pada PRU-11 (2004).

Jaminan itu juga telah disuarakan oleh penyandang kerusi parlimen di situ, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam laporan akhbar The Star minggu lalu, di mana beliau menegaskan bahawa pihaknya dan kerajaan tidak akan sama sekali mengambil tindakan kepada mana-mana kakitangan yang didapati cenderung kepada calon pembangkang.

Cuma katanya, mereka tidak boleh berkempen pada waktu pejabat, malah boleh bertemu dengan calon pembangkang di luar bangunan kerajaan seperti di kantin-kantin, di tempat letak kereta dan pusat membeli belah.

Terdahulu Mohamad Nor yang ditanya berhubung persiapan untuk berkempen khususnya di kalangan kakitangan kerajaan, mendakwa tidak ada masalah.

Perbadanan Putrajaya benarkan calon berkempen di padang awam

"Walaupun di peringkat awal kita dihalang oleh pihak berkuasa untuk berkempen di premis-premis kerajaan, tetapi setelah bertemu dengan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Shamsuddin Osman semalam, beliau membenarkan calon PAS berkempen di padang-padang yang terletak di beberapa lokasi sekitar Putrajaya.

"Nampaknya kempen kita di rumah-rumah kakitangan sebagai satu strategi kita mendapat sambutan baik malah cuba ditiru oleh calon BN.

"Walaupun kita mendapat kebenaran untuk menggunakan padang-padang untuk berkempen, tapi kemungkinan ramai yang tak nak keluar mendengar ceramah politik, kerana takut terserempak dengan ketua jabatan masing-masing, tetapi kita yakin suara-suara kempen kita akan masuk melalui celah-celah tingkap rumah mereka dan mereka faham apa yang tersirat dalam hasrat yang kita janjikan,"jelasnya.

Mengenai kempen calon BN katanya, mereka cuba bermain isu agama dengan menjanjikan akan membina sekolah agama, tetapi janji tersebut hanya retorik semata-mata, kerana selama empat tahun menjadi wakil rakyat di situ sejak 2004 tidak pernah terdengar usaha untuk membina sekolah-sekolah agama.

"Malah kita lebih 'advance' daripadanya, kerana pada pertengahan tahun 2006, kita telah menghantar satu memorandum kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique dan pada 2007 kepada Jakim berdasarkan keluhan warga Putrajaya, di mana anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan agama secara formal kerana ketiadaan sekolah-sekolah agama sekitar Putrajaya,"tambahnya lagi.

Umno-BN tidak prihatin masalah agama

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan Pengarah II Jawi, bahawa tidak ada peruntukan untuk membina sekolah-sekolah agama.

"Justeru tidak mustahil, di bawah-bawah jambatan terdapat gejala sosial yang semakin parah, anak-anak muda di kalangan lelaki dan perempuannya boleh duduk bersama, ia berlaku disebabkan tidak ada penguatkuasaan pihak berkuasa, perkara ini dipandang serius kerana melibatkan masa depan golongan remaja,"katanya.

Benarlah katanya, Umno dan BN tidak prihatin terhadap masalah agama, malah ia bukan sinonim dengannya.

"Jika remaja dibiarkan tanpa bimbingan agama secukupnya, mereka adalah aset untuk menang dalam pilihan raya, sebab jika remaja baik, mereka tidak akan pangkah calon-calon Umno/BN yang memang tidak mementingkan aspek agama Islam itu sendiri, sedangkan ia termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-9.

"Surau-surau juga banyak bercambah di presint-presint, namun pengajian agama tidak rancak dibincangkan, kita akan pastikan ia berfungsi bukan setakat tempat untuk solat tetapi juga tempat menghubungkan silaturrahim dan mampu melahirkan graduan agama,"jelasnya lagi.

Tambah Mohamad Nor,beliau begitu optimis kemenangan akan berpihak kepadanya kali ini, memandangkan gerak kerja yang dilakukan khususnya daripada petugas-petugas PAS dari Bandar Tun Razak, Titiwangsa dan dari beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan merancakkan lagi suasana kempen.

"Putrajaya memiliki kira-kira 6,000 pengundi berdaftar dan mereka bertanggungjawab menjalankan amanah bagi membuang undi pada 8 Mac ini tanpa perlu risau, bimbang, takut kerana undi mereka adalah rahsia.

"Kita yakin bahawa penduduk Putrajaya yang memilih pembangkang kali ini akan menikmati pelbagai kebajikan seperti yang termaktub dalam manifesto PAS ," tegas beliau dengan nada penuh yakin.

0 ulasan: