Jumaat, 29 Februari 2008

PENGUNDI KENA KIKIS SIKAP MATA DUITAN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

MELIHAT deretan bendera, ribuan poster tergantung, bekalan air mineral dan pelbagai lagi keperluan lojistik, belum ditambah barang cenderamata seperti topi, payung, kemeja-T, pin baju dan beraneka barang jelas menunjukkan pilihan raya seolah-olah medan untuk melariskan jualan. Pilihan raya membuka laluan bagi peniaga untuk membuat untung besar.

Ada petugas akan merajuk jika tidak diberi barang berkenaan sebagai sebahagian daripada upah mereka, selain wang ringgit.

Bilik gerakan pula tumbuh bagaikan cendawan, manakala pembekal kanopi dan khemah beroleh pulangan lumayan.

Demikian juga penyediaan sajian makanan, siap mengira berapa laba yang bakal diraih selepas tamat musim kempen pilihan raya nanti, antara terpanjang sejak 1982. Ini belum dihitung penyedia kenderaan sewa, pengangkutan lori, kerusi meja, sistem audio visual yang permintaannya kian bertambah apabila musim kempen.

Ironinya, apakah pilihan raya dijadikan ruang bagi pengundi untuk menilai, melihat dan menganalisis kemampuan calon dalam membawa perancangan dan melaksanakan kemajuan setempat atau dijadikan ruang beroleh untung tanpa langsung mempedulikan secara serius biodata, latar belakang calon, komitmen dan daya upaya calon dalam memajukan sesuatu kawasan apabila dipilih?

Tanggapan bahawa musim pilihan raya yang berlaku empat atau lima tahun sekali sebagai platform bagi semua peniaga membuat duit segera harus dikikis.

Demikian juga tanggapan dan pandangan umum di kalangan petugas parti bahawa ketika kempen, wang sebanyak mungkin harus diraih sama ada dari ibu pejabat parti, calon atau wakil calon.

Jika persepsi bahawa pilihan raya menjadi tempat untuk transaksi barang, medan untuk membuat untung dan duit, maka konsep pilihan raya itu sebenarnya sudah tersasar.

Mangsanya adalah calon yang bertanding, yang terpaksa menyediakan sebahagian besar dana demi memenuhi keperluan golongan pembuat untung dan kalangan oportunis.

Calon datangnya daripada pelbagai latar belakang. Ada bekas penyelia Kemas, pengarah jabatan kerajaan, guru, peniaga. Lainlah jika semua calonnya adalah jutawan, justeru, masalah dana dan biaya kempen tidak menjadi soal.

Saya khuatir apabila calon terpaksa berbelanja besar, maka demi untuk mengaut kembali biaya yang belanjakan sepanjang kempen, selepas memenangi pilihan raya kelak, calon terdorong melakukan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Masyarakat harus disedarkan bahawa ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen bukantiket menjadi jutawan.

Masyarakat harus dicelikkan, tugas Adun dan ahli Parlimen menggubal dasar terbaik, memajukan kawasan dengan perancangan sosioekonomi, pendidikan berkesan.

Adun atau Ahli Parlimen, bukan ‘banker,’ atau ‘ibarat lampu ajaib Aladdin’ yang boleh mengabulkan segala hajat.

Kasihanilah calon yang bertanding. Jangan didera mereka dengan permintaan yang bukan-bukan sehingga ukuran kita hanya meletakkan wang sebagai pendorong bagi calon berkenaan untuk menang.

Sebaliknya lihat aspek sahsiah, jasa budi calon, rekod dan perkhidmatannya, kecekapan bertugas, maka barulah erti sebenar pilihan raya terjelma.

Kikislah tanggapan umum bahawa pilihan raya sebagai medan bagi mengaut untung.

SOBRI SUDIN,

Felo Unit Ekonomi dan Politik,

0 ulasan: