Sabtu, 23 Februari 2008

KUASA BUKAN UNTUK BERMEGAH


UTUSAN MALAYSIA ( 21-02-2008 )

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN



BERMULA semalam sehinggalah 24 Februari ini, pastinya golongan ahli politik sentiasa dalam keadaan berdebar-debar. Menanti penuh sabar dalam debar sama ada dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac ini.

Semalam dan hari ini, beberapa negeri telah mengumumkan senarai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Sebagaimana episod setiap kali pilihan raya, pasti ada yang gembira dan ada juga yang berduka.

Yang gembira pastinya ialah mereka yang dikekalkan atau buat pertama kali dicalonkan. Yang gundah-gulana tentunya mereka yang digugurkan.

Waima apa pun, jika kita berserah kepada qada dan qadar pastinya kita reda dan pasrah dengan apa saja ketentuan Ilahi. Sebabnya, hidup di dunia ini hanya sementara. Kehidupan yang kekal adalah di akhirat kelak.

Dalam kehangatan dan keghairahan para calon berkempen hendaknya janganlah kita lupa kepada adab dan tatasusila yang digariskan oleh Islam. Sebabnya berpolitik itu juga adalah ibadah jika kena pada caranya dan mematuhi syariat Islam.

Lukman Thaib dalam bukunya Politik Menurut Perspektif Islam 1998 memetik pandangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang menegaskan: “Janganlah disangka bahawa politik yang adil adalah bertentangan dengan agama. Politik adalah sejalan dengan agama bahkan ia adalah sebahagian daripada agama.”

Dalam kerancakan berkempen hendaklah kita memastikan bahawa perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad jangan sampai membawa kepada perpecahan umat Islam.

Hendaklah kita juga menjaga hak-hak persaudaraan sesama Islam dan jangan berpecah belah. Ini ditegaskan menerusi firman Allah, Berpeganglah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah. (Ali-‘Imran: 103)

Kita juga perlu menghormati pendapat atau pandangan yang berbeza. Imam as-Syafie pernah berkata: “Pendapat kita betul boleh jadi salah. Pendapat orang lain salah boleh jadi betul.”

Apa yang pasti, kepimpinan itu adalah amanah. Apabila ia suatu amanah maka hendaklah seseorang itu melaksanakan tugas itu sebaik-baiknya kerana setiap pemimpin itu akan disoal tentang orang yang dipimpinnya di akhirat kelak.

Sayidina Abu Bakar al-Siddiq semasa dilantik sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. menyampaikan pidato yang ringkas tetapi penuh bermakna di Saqifah Bani Saidah.

Antara lain kata Abu Bakar, “Aku yang dilantik sebagai khalifah ini bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Justeru jika aku melakukan kebaikan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah maka hendaklah kamu mentaatiku. Sebaliknya, jika aku melakukan kesilapan hendaklah kamu menegurku.”

Tugas sebagai khalifah di muka ini pula dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya, Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...” (Al-Baqarah: 30)

Para ulama mentakrifkan khalifah dengan makna ia diadakan bagi menggantikan tugas kenabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya.

Dalam takrifan ini kita dapati dua perkara yang penting dalam tujuan kejadian manusia:

* Menjaga agama (amar maaruf nahi mungkar).

* Mentadbir dunia (berdasarkan syariat Allah).

Pemimpin yang ideal sebenarnya perlu melengkapi syarat-syarat dan kriteria yang pelbagai bagi menjamin mutu dalam melaksanakan tanggungjawab. Secara ringkasnya antara ciri-ciri yang sewajarnya ada pada diri seseorang pemimpin adalah berakal (berpengalaman, bijak), berilmu (memahami ilmu agama dan ilmu-ilmu yang pelbagai), berani dan tegas, benar, menepati janji, berpandangan jauh, menjaga kehormatan, memberi nasihat dan boleh ditegur serta tidak mengikut hawa nafsu.

Diriwayatkan

Ganjaran bagi pemerintah atau imam yang adil ini adalah amat besar iaitu mereka termasuk dalam tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah.

Golongan ini mendapat naungan Allah kerana tanggungjawab pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat. Bukan mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.

Pada masa yang sama, pemimpin juga perlu mengotakan apa yang dijanji. Oleh kerana itu, kita perlu sentiasa berhati-hati semasa berbicara agar tidak terbabas atau terlepas cakap sehingga menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan melakukannya. Sebabnya akibat yang ditimbulkan daripada lidah dan perkataan amatlah besar bencananya. Sehinggakan pepatah Melayu ada menyebut, ‘kerana mulut badan merana’.

Pada masa yang sama, Islam melarang keras orang yang berbohong atau tidak mengotakan janjinya. Ini ditegaskan menerusi firman Allah, Wahai orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah- kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan. (As-Saff: 2 & 3)

Yang penting jangan kita menjadikan kedudukan politik itu untuk bermegah-megah atau supaya dapat sanjungan masyarakat. Bagi kita, sudah pasti pemimpin ulung yang menjadi contoh ialah Nabi Muhammad s.a.w.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Al-Ahzab: 21)

Ketokohan Baginda s.a.w. diakui oleh semua pihak. Malah seorang orientalis Barat menyenaraikan Baginda s.a.w. pada senarai yang pertama dalam bukunya 100 Most Influence Man In History. Tokoh-tokoh utama lain seperti Nabi Isa a.s. disenaraikan di tempat ketiga.

Dari segi kepimpinan khalifah marilah kita mencontohi betapa amanahnya Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pemerintahannya.

Sepertimana yang diriwayatkan apabila ahli keluarganya datang berurusan beliau akan memadamkan pelita yang sedang menyala.

Bila ditanya oleh anaknya gerangan perbuatan ayahnya itu kenapa? Beliau menjawab adapun pelita itu adalah hak kerajaan ayah gunakan untuk urusan negara. Adapun perbualan kita adalah urusan keluarga tidak termasuk urusan negara sehingga membolehkan kita menggunakan harta negara.

Sifat Khalifah Umar sebagai insan yang bertanggungjawab menguruskan khazanah negara. Jika sifat ini dapat diserap dan dihayati sehingga melahirkan ahli politik, pekerja atau sesiapa sahaja merasakan dirinya bersalah sekiranya menggunakan hak awam untuk kepentingan peribadi

0 ulasan: