Isnin, 25 Februari 2008

BAKAL WAKIL RAKYAT : ORANG TEMPATAN ATAU DIIMPORT?


Pencalonan wakil rakyat yang mewakili parti dan kawasan masing-masing sudah pun berlalu. Ada yang diterima dan ada yang ditolak pencalonannya. Ada yang terus menang dan ada juga yang terus kalah sebelum pilihanraya diadakan. Yang menang terus gembira dan yang kalah terpaksa menerima hakikatnya akan kekalahan mereka itu.

Bagi yang diterima akan pencalonan mereka, perjuangan bagi menyakinkan akan rakyat jelata agar memilih mereka dalam pilihanraya ini sedang bergiat aktif menjalankan kempen masing-masing. Kempen dari kawasan ke kawasan, kampong ke kampong, rumah ke rumah dan juga rakyat ke rakyat juga sedang giat dijalankan. Bakal wakil rakyat datang dengan mempunyai objektif agar rakyat jelata menerima akan mereka dan parti yang mereka sertai itu. muka yang sebelum ini masam mencuka sudah menjadi lebih manis dari gula dan madu yang dibeli dari kedai Pak Mat Spoket.

Namun demikian, apa yang ingin diperkatakan di sini adalah..adakah kita mengenali akan bakal wakil rakyat kita itu? dari manakah mereka ini datang?

Banyak terjadi ketika ini bahawasanya parti-parti politik telah meletakkan calon-calon mereka daripada luar kawasan bagi mewakili parti mereka di satu-satu kawasan. Tida kira mereka itu bertanding atas tiket Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri.

Bagi saya selaku rakyat jelata dan mungkin dipersetujui oleh mereka yang lain, adalah lebih baik jika bakal wakil rakyat saya itu datangnya dan berasal dari kawasan yang menjadi tumpah darahnya sendiri. Atau lebih tepat adalah terdiri daripada golongan orang tempatan. Mengapa saya berkata demikian? Ini kerana mereka ini lebih memahami apa dan KENAPA mereka itu dipilih oleh rakyat jelata. Selain itu, banyak lagi kelebihan jika seseorang bakal wakil rakyat itu datangnya dari kawasan yang sama dengan rakyat yang akan diwakilnya itu.

Jika mereka itu ditakdirkan diberi mandate oleh rakyat jelata, mereka akan mudah untuk ditemui dan diajukan akan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat tempatan yang menyokongnya. Mereka ini lebih kerap berada di kawasan masing-masing jika berbanding dengan wakil rakyat yang berasal dari luar kawasan.

Wakil rakyat itu juga lebih memahami akan selok belot kawasan yang dimenanginya. Mereka lebih dekat dengan rakyat jelata dan begitu juga sebaliknya. Rakyat juga berasa lebih selesa untuk berurusan dengannya tanpa mengira waktu dan tempat.

Setiap orang mempunyai perangai dan sifatnya yang tersendiri. Perangai dan sifat itu menunjukkan akan identity masyarakat dan satu-satu kawasan itu. Begitu juga dengan masyrakat di satu-satu kawasan itu. Mereka juga mempunyai sifat dan perangai yang tersediri. Hanya wakil rakyat tempatan sahaja yang boleh mengenali akan sifat dan perangai rakyat jelata dikawasannya.

Telah terjadi sebelum ini, terdapat banyak rungutan daripada rakyat jelata bahawasanya wakil rakyat yang diimport itu akan menghilang setelah mereka mendapat kemenangan dari pengundi di satu-satu tempat. Mereka ini jarang sekali turun padang dan melihat sendiri akan kepayahan serta kesusahan rakyat jelata yang telah memberinya kemenangan. Mereka akan pulang ke tempat masing-masing bagi melakukan aktiviti yang mereka lakukan sebelum menjadi wakil rakyat. Rakyat jelata ditinggalkan terngaga mencari tempat berteduh dan tempat mengadu. Sakitnya hati tidak terkata. Mereka ini macam chipsmore..kejap ada kejap tiada. Susah untuk rakyat bertemu muka dengannya.

Itulah hakikatnya..tidak kira bakal wakil rakyat itu datangnya dari parti pemerintah atau pun parti pembakang..sebaik-baiknya bakal wakil rakyat yang dilantik itu sebaik-baiknya berasal daripada orang tempatan. Namun demikian, saya masih percaya setiap parti mempunyai strategi masing-masing dalam meletakkan calon masing-masing dalam satu-satu kawasan itu kerana apa yang lebih penting bagi mereka adalah BUKANNYA KEMENANGAN INDIVIDU YANG DICARI TETAPI KEMENANGAN PARTI YANG DIANGGOTAI OLEH CALON ITU ADALAH LEBIH BESAR MAKNANYA.

Kepada para pengundi..fikir-fikirkanlah…

SELAMAT BERKEMPEN.

0 ulasan: