Jumaat, 29 Februari 2008

BERBEZA PENDAPAT JANGAN SAMPAI BERPECAH


UTUSAN MALAYSIA – (29-02-2008)

PENDEDAHAN kepada cabaran-cabaran semasa dan kemelut yang melanda masyarakat kini melahirkan kepada kepelbagaian buah fikiran dan lontaran pendapat.

Apa yang dirisaukan, sekiranya perbezaan pendapat ini jika tidak ditangani dengan sempurna sehingga mendatangkan perasaan tidak senang hati di kalangan sesetengah pihak, akhirnya membawa kepada permusuhan.

Dalam sesetengah wacana ilmu, medan dakwah ataupun perbualan harian, lazimnya kita berhadapan dengan persoalan setuju atau tidak dengan sesuatu buah fikiran.

Dan seorang Muslim yang bijaksana tidak harus cepat melatah dan tidak cepat membuat andaian buruk sekiranya pandangan tidak memenuhi kehendak kita.

Sebaliknya, kita harus berlapang dada dan bertolak ansur dengan apa yang disuarakan selagi ia tidak bertentangan dengan hakikat nyata.

Melihat keadaan semasa negara kita sekarang menggambarkan corak dan warna-warni perkembangan siasah dan suasana sebelum berlakunya hari pilihan raya. Ramai bakal pemimpin yang bertanding mewakili parti-parti yang disertainya.

Dan sudah diramalkan mereka membawa faham perjuangan yang berbeza dan harapan tertentu daripada masyarakat. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat jika kita melihat dari sudut pandangan yang baik. Hal ini bermanfaat sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab dan akhlak yang betul sepertimana yang telah digariskan oleh syarak.

Walaupun berbeza pendapat dan pemikiran (fikrah) tetapi selagi masyarakat masih lagi berpegang kepada tali agama yang mengikat diri dengan Pencipta, selagi itulah masyarakat kita tidak akan berpecah.

Sebagai satu unit di dalam masyarakat, kita perlu ikhlas dan menjauhkan diri dari mengikut hawa nafsu. Ikhlas dalam segala tindakan merupakan syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah dan juga tidak bermegah dalam mencari dan menegakkan kebenaran.

Salah satu daripada tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya daripada seseorang yang lebih rendah pangkatnya sepertimana yang berlaku kepada Sayidina Umar Al Khattab.

Sahabat Nabi ini menerima kebenaran walaupun datangnya daripada seorang perempuan yang lebih rendah pangkatnya berbanding beliau.

Sesetengah pihak tidak boleh mempunyai sifat ingin memenangkan diri sendiri. Kita mungkin pernah terdengar kata-kata: “Apa yang saya cakap semuanya betul dan kata-kata awak tadi adalah salah.”

Seandainya beginilah cara seseorang memberi dan menerima pandangan orang lain, di penghujungnya, dia hanya mempunyai ramai musuh berbanding dengan kawan.

Bukankah itu membawa kepada bibit-bibit perpecahan dalam masyarakat kita? Justeru, walaupun sesetengah daripada kita mempunyai lunas pandangan yang berbeza, bukanlah bermakna tidak boleh bersatu di bawah satu rumpun perpaduan yang dijanakan atas dasar kebenaran dan keikhlasan dengan syarat setiap ahli masyarakat perlu mempunyai adab-adab dan akhlak yang telah digariskan dalam agama.

Kebenaran dalam sesuatu pandangan juga mempunyai tempoh matang untuk setiap orang menerima dan mempercayainya. Jika kita menelusuri sejarah Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah di mana baginda menerima penolakan yang cukup lama dalam menyampaikan dakwah agama Islam sehinggalah berjaya menyedarkan masyarakat jahiliah bahawa kebenaran agama Islam itu tidak dapat dinafikan lagi.

Pengajaran daripada sirah ini ialah tidak semua pandangan, pendapat atau pemikiran dapat diterima oleh segenap masyarakat. Sehubungan dengan itu, wujud juga kepelbagaian fahaman siasah dalam masyarakat kita. Berbeza pendapat dalam sesebuah masyarakat adalah menunjukkan ciri masyarakat bertamadun yang bergerak menuju kepada kemajuan dan kesejahteraan. Agama Islam tidak mengajar pendekatan secara keras jahil dan zalim dalam apa jua tindakan.

Salah satu sikap yang perlu dihindari oleh semua orang apabila wujudnya perbezaan pendapat ialah sifat taksub (fanatik) dan berkelompok dengan satu pandangan dan sentiasa ingin menegakkan benang yang basah sehingga membawa kepada permusuhan.

Seperti mana hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan, “Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana dia mungkin kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai.”

Jika menyoroti lembaran sirah di mana puak-puak Assabiyyah dahulu saling berbunuhan sesama sendiri kerana memiliki sikap taksub dan akhirnya membawa kesan kepada perpecahan, pertelingkahan dan kacau-bilau dalam masyarakat Arab.

Setiap orang daripada kita harus menerapkan dalam hati bahawa perbezaan yang wujud tersebut merupakan satu rahmat dan ia harus didasari dengan perasaan ikhlas yang akan mencetuskan keharmonian dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, seharusnya masyarakat mempunyai kaedah yang matang dan berkesan dalam menangani kemelut perbezaan pendapat menjelang pilihan raya ini agar ketegangan sesama umat tidak timbul.

* PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains

Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

PENGUNDI KENA KIKIS SIKAP MATA DUITAN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

MELIHAT deretan bendera, ribuan poster tergantung, bekalan air mineral dan pelbagai lagi keperluan lojistik, belum ditambah barang cenderamata seperti topi, payung, kemeja-T, pin baju dan beraneka barang jelas menunjukkan pilihan raya seolah-olah medan untuk melariskan jualan. Pilihan raya membuka laluan bagi peniaga untuk membuat untung besar.

Ada petugas akan merajuk jika tidak diberi barang berkenaan sebagai sebahagian daripada upah mereka, selain wang ringgit.

Bilik gerakan pula tumbuh bagaikan cendawan, manakala pembekal kanopi dan khemah beroleh pulangan lumayan.

Demikian juga penyediaan sajian makanan, siap mengira berapa laba yang bakal diraih selepas tamat musim kempen pilihan raya nanti, antara terpanjang sejak 1982. Ini belum dihitung penyedia kenderaan sewa, pengangkutan lori, kerusi meja, sistem audio visual yang permintaannya kian bertambah apabila musim kempen.

Ironinya, apakah pilihan raya dijadikan ruang bagi pengundi untuk menilai, melihat dan menganalisis kemampuan calon dalam membawa perancangan dan melaksanakan kemajuan setempat atau dijadikan ruang beroleh untung tanpa langsung mempedulikan secara serius biodata, latar belakang calon, komitmen dan daya upaya calon dalam memajukan sesuatu kawasan apabila dipilih?

Tanggapan bahawa musim pilihan raya yang berlaku empat atau lima tahun sekali sebagai platform bagi semua peniaga membuat duit segera harus dikikis.

Demikian juga tanggapan dan pandangan umum di kalangan petugas parti bahawa ketika kempen, wang sebanyak mungkin harus diraih sama ada dari ibu pejabat parti, calon atau wakil calon.

Jika persepsi bahawa pilihan raya menjadi tempat untuk transaksi barang, medan untuk membuat untung dan duit, maka konsep pilihan raya itu sebenarnya sudah tersasar.

Mangsanya adalah calon yang bertanding, yang terpaksa menyediakan sebahagian besar dana demi memenuhi keperluan golongan pembuat untung dan kalangan oportunis.

Calon datangnya daripada pelbagai latar belakang. Ada bekas penyelia Kemas, pengarah jabatan kerajaan, guru, peniaga. Lainlah jika semua calonnya adalah jutawan, justeru, masalah dana dan biaya kempen tidak menjadi soal.

Saya khuatir apabila calon terpaksa berbelanja besar, maka demi untuk mengaut kembali biaya yang belanjakan sepanjang kempen, selepas memenangi pilihan raya kelak, calon terdorong melakukan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Masyarakat harus disedarkan bahawa ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen bukantiket menjadi jutawan.

Masyarakat harus dicelikkan, tugas Adun dan ahli Parlimen menggubal dasar terbaik, memajukan kawasan dengan perancangan sosioekonomi, pendidikan berkesan.

Adun atau Ahli Parlimen, bukan ‘banker,’ atau ‘ibarat lampu ajaib Aladdin’ yang boleh mengabulkan segala hajat.

Kasihanilah calon yang bertanding. Jangan didera mereka dengan permintaan yang bukan-bukan sehingga ukuran kita hanya meletakkan wang sebagai pendorong bagi calon berkenaan untuk menang.

Sebaliknya lihat aspek sahsiah, jasa budi calon, rekod dan perkhidmatannya, kecekapan bertugas, maka barulah erti sebenar pilihan raya terjelma.

Kikislah tanggapan umum bahawa pilihan raya sebagai medan bagi mengaut untung.

SOBRI SUDIN,

Felo Unit Ekonomi dan Politik,

KEMPEN 'PAKAT KELEK NGUNDI' DISABOTAJ


UTUSAN MALAYSIA – ( 29-02-2008 )

KUALA LUMPUR: Kempen 'Pakat Kelik Ngundi' anjuran Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) disabotaj pihak tertentu dipercayai pembangkang dengan menyebarkan fitnah melalui 'Pakat Claim Ngundi' yang bertujuan mengelirukan pengundi rakyat Kelantan di perantauan.

Kempen 'Pakat Claim Ngundi' kini disebarkan secara berleluasa melalui laman blog, emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta pengundi mendaftar dengan BN supaya dapat menggunakan kemudahan pengangkutan untuk pulang, tetapi mesti memilih Pas ketika membuang undi.

Selain itu, mereka juga menjelaskan setiap pengundi berdaftar dengan Pemuda BN akan menerima sagu hati RM130 seorang sebagai imbuhan dan meminta mereka mendapatkan wang berkenaan untuk pulang.

Sebelum ini, ada sesetengah pihak yang menghubungi Bilik Gerakan Induk BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini yang mendakwa mempunyai 200 hingga 500 individu yang sedia mendaftar tetapi meminta urus setia menjelaskan mengenai jumlah bayaran yang bakal diterima.

Perkara itu jelas bertentangan dengan amalan kempen 'Pakat Kelik Ngundi' yang sebenarnya hanya menyediakan kemudahan rekod, semakan daftar pemilih, surat sokongan cuti mengundi serta kemudahan pengangkutan secara rombongan.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dali Husin, berkata perkara itu sebenarnya membuktikan sikap panik Pas apabila melihat pengundi luar Kelantan menyokong usaha murni Pemuda BN mengumpulkan pengundi menggunakan pendekatan sistematik.

"Apabila pusat pendaftaran kempen dibuka, kita menerima maklum balas menggalakkan. Ini menimbulkan ketakutan dan panik Pas kerana mereka percaya ramai pengundi luar memberi sokongan kepada BN.

"Kita tak pernah janjikan imbuhan, sebaliknya mereka secara sukarela tampil berbuat demikian," katanya.

Dali yang juga calon BN Parlimen Pangkalan Chepa mendakwa, awal bulan lalu, Pas dalam taklimat di Masjid Wilayah Jalan Duta, di sini, menjanjikan penyokong mereka boleh menuntut kos perbelanjaan pulang, termasuk pengundi di Sabah dan Sarawak.

"Sekarang jelas siapa yang menjanjikan imbuhan, mereka menterbalikkan fakta dengan menuduh BN menggunakan wang. Saya percaya rakyat sudah bijak membuat penilaian dan pilihan," katanya.

"Kempen itu dilancarkan berikutan perubahan arus semasa yang menunjukkan pengundi luar Kelantan mula memberi sokongan kepada BN, sekali gus memperoleh mandat memerintah selepas 18 tahun di bawah pimpinan Pas," katanya

Berdasarkan penyebaran dakyah itu, mereka mendakwa penggunaan kempen itu adalah pendekatan sama digunakan BN ketika Pilihan Raya Umum 2004, tetapi pengundi kononnya tertipu apabila tidak mendapat wang bayaran seperti dijanjikan.

Kempen dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Anak-anak Kelantan di Perantauan (Muafakat) itu hanya bertujuan mengajak kira-kira 230,000 rakyat Kelantan, termasuk 10,000 yang layak mengundi yang berada di luar negeri itu supaya menunaikan tanggungjawab mengundi.

TUN SIFATKAN KHAIRY MEMBAWA BENCANA


HARAKAH – ( 29-02-2008 )

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Hrkh) - "Saya rasa, jika anda mengikut mereka, ia akan membawa bencana kepada parti".

Itulah jawapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya tentang kemungkinan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memainkan peranan yang lebih besar dalam Umno selepas pilihan raya ini.

Dalam temubual dengannya yang disiarkan oleh Today Online semalam, Dr Mahathirt juga berkata kad laporan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melaporkan perkara-perkara yang negatif.

"Sebagai contoh, kehilangan begitu banyak wang, prestij negara menurun dan hakikat bahawa ramai yang tidak dapat mencari kerja dan perniagaan di dalam negara ini. Mereka terpaksa pergi ke tempat lain," kata bekas Perdana Menteri.

Dr Mahathir menyifatkan koridor demi koridor yang dilancarkan oleh Abdullah hanya pengumuman semata-mata.

"Tidak ada apa-apa yang berlaku di tempat berkenaan. Jumlah wang yang terlibat begitu hebat. Sehingga bertrilion ringgit dan akan menjadi kenyataan mungkin dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi. Oleh itu, kesemuanya adalah janji. Sesiapa sahaja boleh berjanji," katanya.

Beliau juga tidak menolak tanggapan bahawa tindakan mencalonkan anaknya, Datuk Mukhriz bertanding di Jerlun adalah untuk meminggirkannya. Sebelum diletakkan bertanding di Jerlun, Mukhriz menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Langkawi, yang disifatkan oleh pemerhati sebagai lebih selamat.

"Saya tidak tahu. Sesetengah orang berkata, perkara itu memang berlaku. Tetapi, saya tidak ada bukti".

Mengenai peluang pembangkang dalam pilihan raya ini, Dr Mahathir menjangkakan undi Barisan Nasional akan berkurangan.

"Saya agak pasti kekecohan di jalan raya sejak November lalu akan memberikan kesan ke atas jumlah undi yang diberikan kepada kerajaan. Jumlah undi (Barisan Nasional) akan berkurangan," kata Dr Mahathir yang menyifatkan pembangkang tidak kelihatan boleh berkerjasama.

Kekuatan pembangkang, katanya, ialah kerana begitu banyak perkara negatif termasuk banyaknya kes rasuah di dalam kerajaaan dan peningkatan kadar jenayah.

ECER BUKTI BN TAK LUPA RAKYAT KELANTAN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

ANDAI sesetengah pihak khususnya pendukung parti pembangkang menganggap pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hanyalah strategi politik kerajaan bagi memancing undi rakyat Kelantan, mereka sebenarnya silap.

Malah, jika ada pihak beranggapan pelaksanaan gagasan terbesar dalam sejarah pembangunan negara itu sekadar janji kosong yang masih tidak menampakkan hala tuju dan perkembangan, mereka sekali lagi tersilap.

Antara program yang sudah dimulakan di Kelantan adalah projek agropolitan di Gua Musang iaitu kegiatan pertanian bersepadu dan tambah nilai yang dirangka bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.

Selain Gua Musang, projek agropolitan akan turut dilaksanakan di utara Kelantan dengan jangkaan kedua-dua projek mega itu mampu memanfaatkan keseluruhan 11,800 isi rumah miskin tegar.

Di Gua Musang, projek di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu membabitkan penyertaan 3,124 peserta di kalangan miskin tegar bagi mengusahakan tanaman kelapa sawit di tanah yang diberikan kepada mereka.

Menerusi program berkenaan, peserta turut diberikan rumah bernilai RM20,000 dan diperuntukkan ladang sawit seluas 2.4 hektar setiap seorang untuk diusahakan selain menjalankan tanaman sampingan dan penternakan integrasi seperti lembu, kambing dan ayam.

Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Abd Rahman, berkata kesungguhan kerajaan melaksanakan program itu terbukti apabila pihaknya sudah menerima peruntukan RM264 juta bagi membolehkan ia dilaksanakan segera untuk manfaat jangka pendek dan panjang kepada peserta dan ekonomi negara.

Katanya, seramai 350 peserta bagi fasa pertama sudah dipilih untuk ditempatkan di kawasan seluas 9,916 hektar di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Renok Baru di Gua Musang, diikuti RKT Paloh 4, tidak lama lagi.

“Program berimpak besar Agropolitan ini adalah sebahagian perancangan Kerajaan Pusat bagi membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar menjelang 2010 di kalangan rakyat, khususnya di selatan Kelantan.

“Menerusi program ini, peserta dijangka mampu memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan daripada hasil mengusahakan ladang sawit, selain digalak melaksanakan tanaman sampingan lain serta ternakan integrasi.

“Siapa kata program ini tak berjalan? Kita dah mula melaksanakannya. Ketika ini lebih 350 peserta fasa pertama sudah dikenal pasti dan penempatan dijangka dibuat dalam tempoh terdekat ini, duit pun dah sampai,” katanya.

Di bawah perancangan projek agropolitan, Bandar Baru Agropolitan akan dibangunkan di kawasan seluas hampir 400 hektar yang turut berperanan sebagai pusat perdagangan, pemasaran dan pemprosesan kegiatan hiliran.

Pembangunan bandar baru serba lengkap itu membolehkan peserta tidak terlalu bergantung terhadap hasil pertanian semata-mata, sebaliknya mampu menjana pendapatan tambahan menerusi kegiatan lain yang dijalankan secara sampingan.

Ramzi berkata, komitmen Kesedar menjayakan ECER di Kelantan terbukti apabila pihaknya sudah menjelaskan RM21 juta bagi bayaran premium tanah kepada kerajaan Kelantan bagi membolehkan Kelantan Selatan khususnya Gua Musang digunakan sepenuhnya untuk pembangunan projek itu.

Selain memastikan projek Agropolitan menjadi kenyataan, Ramzi berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menjalankan pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial dan pembasmian kemiskinan di selatan Kelantan.

Bagi memastikan Bandar Baru Agropolitan berperanan sebagai hab pertanian dan ternakan terbesar di negeri itu, Ramzi berkata sistem perhubungan jalan raya turut diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat menerusi peruntukan RM1.4 bilion bagi pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai.

“Projek di bawah RMK-9 ini akan dimulakan tidak lama lagi dan saya difahamkan kontraktor bagi melaksanakan projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai juga sudah dilantik.

“Sudah pasti pengangkutan di lingkaran kawasan agropolitan akan menjadi lebih cekap dan pantas, manakala kawasan sekitar lebuh raya akan mendapat limpahan ekonomi yang besar,” katanya.

Selain Kesedar, satu lagi agensi Kerajaan Pusat yang bertanggungjawab menyediakan program pertanian berskala besar bagi menghapuskan miskin tegar ialah Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang sudah menggerakkan usaha penanaman kenaf dan ternakan berkelompok, selain meneruskan tanaman tembakau.

Ketika ini, kenaf ditanam di kawasan seluas 300 hektar di Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan dan akan ditingkatkan sejajar hasrat kerajaan menjadikannya sebagai antara sumber ekonomi utama petani dalam ECER.

Pengerusi LTN, Datuk Mohd Zain Ismail, berkata serentak itu, LTN yang selama ini membangunkan tembakau, akan memberi perhatian usaha membangunkan kenaf sebagai alternatif kepada tembakau.

Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan, LTN merancang pembinaan kilang pemprosesan kenaf di Kelantan dan Terengganu sebelum sumber itu dieksport ke pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Eropah.

Katanya, kilang masing-masing bernilai RM1.2 juta dan RM2.5 juta itu akan dibangunkan pihak swasta bagi memudahkan petani memasarkan secara terus kenaf yang dituai pada harga yang lebih stabil mengikut pasaran semasa.

“Ketika ini, daripada 300 hektar kenaf di Kelantan, 20 peratus sudah mula dituai dan dijual kepada syarikat swasta, sekali gus menjadikan Kelantan pengeluar terbesar kenaf negara ketika ini,” katanya.

Sepanjang pembangunan ECER, LTN akan membantu lebih 3,000 penanam tembakau di Kelantan untuk beralih mengusahakan kenaf selepas lebih 10,000 penanam sudah beralih ke tanaman lain sejak beberapa tahun lalu.

“Kita menggalakkan penanaman kenaf kerana potensinya sangat besar. Ketika ini, ia dijual pada harga RM300 setiap tan metrik, dan berdasarkan permintaan yang meningkat, dijangkakan harganya mampu mencecah RM500 setiap tan metrik,” katanya.

Mohd Zain berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih RM15 juta kepada lebih 3,000 penanam terbabit sebagai galakan memulakan tanaman alternatif lain khususnya kenaf dan ternakan berkelompok bagi meningkatkan pendapatan.

TUNGGAKAN CUKAI DILUPUS JIKA BN PERINTAH KELANTAN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

Manifesto turut umum pembangunan bawa lonjakan berganda ekonomi

KOTA BHARU: Pemansuhan tunggakan semua jenis cukai dan pengurangan kadar pelbagai jenis cukai ke tahap tidak membebankan rakyat akan dilakukan Barisan Nasional (BN) sebaik mendapat mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac ini.

Tawaran itu menjadi asas Manifesto BN Kelantan yang akan diumumkan Sabtu ini.

Antara yang dijangka dilupuskan BN sebaik mendapat mandat ialah tunggakan cukai bandar, cukai pintu dan cukai tanah serta mengkaji kadar semasa cukai berkenaan supaya dapat diturunkan lagi.

Selain itu, semua tunggakan bayaran letak kereta dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dimansuhkan dan diumumkan kadar baru. Ketika ini, kadar bayaran letak kenderaan di MPKB antara yang tertinggi di Malaysia.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, berkata selain aspek pembangunan yang membawa lonjakan berganda kepada ekonomi Kelantan, manifesto itu juga memberi perhatian kepada perkara kecil yang penting dan dekat dengan rakyat.

"Ini termasuk masalah rakyat berdepan dengan pelbagai jenis cukai. Kita akan kaji dasar cukai sekarang, agar ia lebih kreatif supaya ekonomi negeri berkembang.

"Dasar cukai perlu lebih mesra dan tidak membebankan rakyat. Ia adalah masalah dan keperluan yang kita akan beri perhatian segera kerana ia dekat kepada seluruh rakyat Kelantan. Antaranya, cukai pintu dan cukai tanah mesti rendah, cukai bakul (yang menjadi sumber pendapatan pihak berkuasa tempatan) dihapuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama semua calon BN di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Che Alwi Che Mat.

Beliau berkata, dasar cukai yang lebih mesra rakyat akan mendorong mereka membayarnya tanpa mempunyai tunggakan yang selama ini merugikan kerajaan.

"Saya beri contoh, dulu tiket bola sepak di Stadium Sultan Mohamed Ke IV dijual pada harga RM10. Pada kadar itu, nak dapatkan kutipan RM2,000 bagi setiap perlawanan pun sukar. Nak bayar gaji pemain pun tak cukup.

"Tetapi sejak mengambil alih Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), saya menurunkan tiket kepada RM5. Walaupun kadarnya diturunkan tetapi pada setiap perlawanan, kita mampu kutip sehingga RM100,000," katanya.

Annuar berkata, pihaknya akan mengedarkan lebih 250,000 naskhah manifesto yang menjadi janji BN Kelantan ke seluruh negeri supaya ia difahami semua lapisan masyarakat.

Katanya, selain itu, BN negeri akan mengedarkan kira-kira sejuta risalah bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sasaran dan matlamat manifesto terbabit.

"Mulai minggu depan, seluruh kempen calon BN akan memberi tumpuan kepada manifesto yang dibentangkan itu demi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai lonjakan berganda untuk Kelantan yang mahu dilakukan BN apabila diberi mandat.

"Kita berharap seluruh rakyat Kelantan tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk memberi mandat kepada BN pada 8 Mac ini. Kita minta pengundi yang tidak menyertai mana-mana parti dapat menilai dan memahami manifesto kita," katanya.

Katanya, mulai minggu depan, BN akan mengubah pendekatan dan bahan kempen yang digunakan bagi menyesuaikan dengan keadaan musim hujan ketika ini.

PELUANG MILIKI RUMAH JIKA BN DAPAT MANDAT DI KELANTAN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

KOTA BHARU: Rakyat pelbagai peringkat lapisan termasuk golongan berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah sendiri jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Kelantan pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Calon MCA bagi DUN Kota Lama, Tan Ken Ten, berkata rakyat Kelantan perlu mengambil peluang untuk memberi mandat kepada BN menyelesaikan masalah pemilikan rumah yang dihadapi sepanjang Pas memerintah.

Katanya, selama ini, Pas hanya memainkan slogan pemilikan rumah untuk rakyat, tetapi masyarakat Cina negeri ini masih buntu untuk memiliki rumah sendiri berikutan harganya yang terlalu tinggi.

"Memang ada banyak rumah dibina tetapi ia mahal, sebahagian besar rakyat khususnya kalangan kaum Cina bukan berpendapatan tinggi, tidak mampu membelinya, ia hanya untuk golongan tertentu.

"Kita memerlukan lebih banyak rumah kos sederhana dan rendah agar rakyat pelbagai peringkat pendapatan mampu membeli, oleh itu BN merancang pembinaan rumah-rumah terbabit secara besar-besaran jika diberi mandat memerintah Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada 163 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, di sini.

Turut hadir ialah calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Tan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah terbabit turut mengingatkan hadirin bahawa generasi muda akan terus meninggalkan negeri ini untuk mencari pekerjaan di negeri lain sekiranya rakyat masih enggan melakukan perubahan.

Katanya, kerajaan BN menerusi ECER bukan saja membawa pembangunan kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini, malah bercita-cita menyediakan 500,000 pekerjaan khusus kepada anak-anak tempatan.

"Peluang kerja yang begitu banyak akan membolehkan anak-anak terus tinggal di negeri bersama keluarga masing-masing, tidak perlu merantau mencari rezeki.

"Berilah peluang kepada saya dan BN untuk berkhidmat kepada anda semua," katanya.

74,000 BELIA FELDA TURUN PADANG KEMPEN BN


BERITA HARIAN – ( 29-02-2008 )

GUA MUSANG: Lebih 74,000 ahli Persatuan Belia Felda Malaysia akan membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagai bukti membalas jasa Kerajaan Pusat membangunkan warga Felda.

Bekas Naib Presiden Belia Felda Malaysia, Ruzelan Romeli, berkata gerak gempur itu dilihat sebagai satu usaha membantu calon BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya nanti.

Katanya, komitmen tinggi perlu ditunjukkan setiap warga Felda memandangkan kemajuan yang dibawa Kerajaan Pusat selama ini membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

"Kami menjangkakan lebih 74,000 ahli persatuan akan terbabit dalam gerak gempur itu ke arah membuktikan komitmen membantu BN menang dalam pilihan raya nanti.

"Hanya melalui cara itu mereka mampu membuktikan komitmen terhadap Kerajaan Pusat dan harus sedar bukan mudah membangunkan tanah rancangan itu sehingga menikmati kemajuan pesat seperti sekarang," katanya.

Ruzelan berkata, banyak kemajuan yang dibawa Kerajaan Pusat untuk Felda dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah yang bertanggungjawab terhadap kemajuan Felda.

Katanya, sejak kebelakangan ini masyarakat peneroka menikmati banyak kemajuan antaranya bantuan pinjaman membaiki rumah dan tabung kebajikan Felda.

"Kini tiba masa untuk warga Felda membalas jasa Kerajaan Pusat dengan memberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan kepada calon BN," katanya.

Beliau berkata, Felda sudah berjaya melahirkan ramai cerdik pandai yang kini berjawatan tinggi dan mereka tidak harus berdiam diri membantu calon BN.

"Seorang anak peneroka Rancangan Tanah Felda Jengka, Pahang, Wan Salman Wan Ismail akan bertanding kerusi DUN Jengka pada pilihan raya umum ini menentang calon Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Saya meminta ahli persatuan di Pahang membantu calon BN itu supaya kemenangannya nanti dapat memartabatkan warga Felda," katanya.

RAKYAT HARAP LIMPAHAN BN DI KOTA BHARU


UTUSAN MALAYSIA – (29-02-2008 )

PARLIMEN Kota Bharu agak unik. Ia boleh digambarkan seperti seorang bapa yang memiliki keluarga besar tetapi langsung tidak mempunyai pertalian dengan anak-anaknya.

Dalam pilihan raya umum 2004, semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Mas, Kota Lama dan Bunut Payong dibolot oleh Pas tetapi kerusi Parlimennya dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zaid Ibrahim.

Senario itu memberi petunjuk penting kepada BN bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena apabila majoriti pemilih di kawasan ibu negeri Kelantan itu agak 'segan' untuk memangkah calon BN ketika arus perubahan mula melanda.

Mungkinkah kerana rata-rata pengundi itu berada dalam zon selesa dengan tanggapan bahawa pembangunan akan tetap disalurkan oleh kerajaan Pusat walaupun mereka memilih Pas?

Calon BN pula perlu dilonjakkan ke kerusi Parlimen agar apa yang disuarakan diberi perhatian oleh kerajaan Pusat seperti keperluan membina sebuah lagi jambatan Sultan Yahya Petra di Sungai Kelantan.

Sehubungan itu, jentera BN berusaha mengenal pasti punca sebenar dan bekerja keras merawat keadaan ini kerana pepatah ada menyebut bahawa 'sakit berpunca, mati bersebab'.

Pas pula tentunya tidak senang duduk dan tidak mudah merasakan mereka kekal selamat di Kota Bharu kerana tempias Gelombang Biru dari Terengganu dikatakan semakin menghampiri ibu negeri Kelantan ini.

Malah undi majoriti yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum 2004 telah berkurangan lebih separuh berbanding yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999.

Sebenarnya riak-riak arus gelombang perubahan semakin menonjol dan dikuatkan lagi dengan pembangunan pesat yang dikecapi jiran terdekat, Terengganu, dalam waktu singkat iaitu kira-kira empat tahun sahaja selepas BN kembali memerintah di sana.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh ketika ditanya mengenai peluang BN menguasai semua kerusi di Kota Bharu dengan yakin berkata, peluang begitu cerah kerana pengundi semakin bijak menilai antara intan dan kaca.

"Mereka pandai menilai antara pemimpin yang bercakap untuk melegakan hati pengundi dengan mereka yang benar-benar bekerja untuk semua," ujarnya yang juga Pengerusi BN Kota Bharu.

Katanya, terlalu banyak kepincangan dilakukan oleh Pas di Kota Bharu terutama yang membabitkan golongan miskin. Tiada langsung sebarang program bermanfaat dilaksanakan untuk rakyat sejak 18 tahun Pas memerintah negeri, tambah Mohd. Fatmi.

"Tiada langsung pembangunan baru ke arah kesejahteraan rakyat. Kalau ada pun, semuanya yang dibuat oleh BN sebelum 1990 lagi. Mereka hanya mewarisinya tetapi mendakwa ia dilakukan oleh mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Fatmi memberi contoh tiadanya program pembasmian kemiskinan di bandar dan pembinaan perumahan rakyat bagi keperluan penduduk miskin yang semakin terhimpit. Di Kota Bharu juga tiada pembinaan pasar awam yang selesa dan mudah dikunjungi di samping masalah kekalutan aliran trafik yang berterusan.

"Perumahan rakyat di Jalan Bayam, Kampung Sireh dan Jalan Pintu Pong; Pasar Besar Kota Bharu yang ditukar nama kepada Pasar Siti Khadijah oleh Pas serta Bazar Buluh Kubu semuanya dibina oleh BN sebelum 1990 lagi.

"Hampir kesemua yang kita nampak di Kota Bharu sekarang diusahakan oleh pihak swasta dan kini semakin banyak perumahan mewah dibina seperti kondominium dan golongan miskin hanya akan melangut," katanya.

Mengenai sokongan pengundi, Mohd. Fatmi yakin rakyat semakin sedar bahawa mereka kian ketinggalan berbanding negeri lain dan perubahan perlu dibuat segera jika mereka tidak mahu Kota Bharu dan Kelantan semakin jauh tersisih.

Dalam hal ini, katanya, hanya BN yang boleh diharap untuk pengundi Kota Bharu menumpang kesenangan hidup.

BN KELANTAN : JANJI PROJEK RM10B


UTUSAN MALAYSIA – ( 29-02-2008 )

KOTA BHARU 28 Feb. – Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengumumkan manifesto yang mengandungi pelbagai program pembangunan bernilai RM10 bilion bagi memastikan negeri ini menjadi sebuah negeri maju.

Pengerusinya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, manifesto tersebut akan memperincikan program yang akan dilakukan BN sekiranya berjaya membentuk kerajaan dan pelengkap kepada manifesto nasional.

Beliau berkata, sebagai contoh, golongan muda, mahasiswa dan anak perantau akan mendapat penekanan dalam manifesto itu bagi memastikan mereka mendapat peluang sewajarnya selepas ini.

“Saya sudah melihat manifesto Pas secara keseluruhannya tetapi semuanya kosong tidak ada yang baru, Pas sediakan manifesto yang bernilai RM300 juta tetapi kita menyediakan RM10 bilion untuk transformasi sepenuhnya Kelantan.

“Pilihan raya kali ini bukannya berdasarkan sentimen Pas atau UMNO tetapi pakej yang akan diberikan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isnin lalu, Pas Kelantan mengumumkan manifesto tambahan untuk negeri ini dengan memperuntukkan RM15 juta bagi membina projek perumahan mampu milik yang bernilai RM35,000 setiap sebuah.

Annuar turut menyifatkan manifesto yang akan diumumkan Sabtu ini akan mengejutkan rakyat di negeri ini dengan pelbagai pelan pembangunan.

RAKYAT KELANTAN DIHORMATI KERANA MILIKI PRINSIP KENTAL


HARAKAH – (29-02-2008)

PENGKALAN CHEPA, 28 Feb (Hrkh) – Rakyat Kelantan lebih dihormati kerana kematangan mereka berpolitik sehingga dapat menentukan siapa yang layak mentadbir negeri.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, selama ini rakyat negeri ini dihormati masyarakat luar khususnya di kalangan pelancong disebabkan berprinsip lebih kental dalam berpolitik.

“Rakyat Kelantan dihormati kerana prinsipnya yang tidak mudah termakan dengan janji-janji projek dan rasuah politik semasa musim pilihan raya seperti sekarang.

“Sebaliknya rakyat Kelantan menggunakan akal dan agama Islam sebagai sandaran semasa mengundi bagi memilih parti yang bakal memerintah,” katanya dalam satu majlis ceramah di Panchor dekat sini, baru-baru ini.

Oleh itu beliau meminta pengundi agar terus memberi sokongan kepada kepemimpinan PAS yang diterajui Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana telah terbukti berjaya mengurus tadbir negeri dengan prinsip agama.

Katanya, pemerintahan PAS di Kelantan penting dipertahankan sebagai asas untuk membuat perubahan di peringkat kerajaan Pusat.

“Rakyat Kelantan mesti terus kekal menjadi guru politik kepada rakyat Malaysia,” ujar Mohd Amar yang mempertahankan kerusi Dun Panchor pada pilihan raya umum ini

KDNK NAIK TAPI TARAF HIDUP RAKYAT TURUN


HARAKAH – (29-02-2008)

Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak ke 7.3 peratus dalm suku keempat 2007.

Ini di luar dugaan sebab terlebih dahulu jangkaan kenaikan untuk 2007 oleh Kerajaan sendiri ialah 6.3 peratus, berbanding dengan 5.0 peratus bagi tahun 2006. Malaysian Institute for Economic Research (MIER) pula telah menganggarkan kenaikan hanya sebanyak 5.4 peratus saja bagi tahun 2007.

Angka lonjakan ini boleh dipertikaikan. Adakah ia dikeluarkan semata-mata untuk membantu Umno-Bn dalam kempen pilihanraya ke-12 ini? Bank Negara menyatakan lonjakan tersebut hasil dari perbelanjaan pengguna yang bertambah disokong oleh aktiviti swasta yang kukuh dan perbelanjaan sektor awam yang meningkat.

Tidak ada bukti perbelanjaan pengguna bertambah, bahkan ini tidak mungkin sebab kuasa beli rakyat terutama sekali berkurangan akibat tiadanya peningkatan pendapatan sebenar kerana pendapatan tidak bertambah dan harga barang keperluan meningkat.

Aktiviti swasta pun tidak begitu kukuh sebab keadaan ekonomi baru pulih lebih separuh saja selepas krisis kewangan yang bermula pada tahun 1997. Juga, jumlah dan kadar pelaburan langsung (FDI) rendah dan tidak menunjukkan tanda bertambah.

Kerajaan BN memang banyak menjanjikan perbelanjaan lebih besar untuk beberapa projek gergasi. Akan tetapi ini belum dilaksanakan. Memang ada penambahan perbelanjaan awam yang lebih kecil, tetapi adakah mereka mempengaruhi secara signifikan lonjakan KDNK itu?

Yang lebih penting lagi ialah walaupun KDNK dikatakan bertambah tetapi ia tidak tercermin pada kenaikan taraf hidup rakyat ramai. Mengikut Manifesto BN, pendapatan sebenar isi rumah di Malaysia pada tahun 2007 ialah RM3,617 berbanding dengan RM3,249 pada tahun 2004, tanpa mengambil kira inflasi.

Ini bererti hitung panjang pertumbuhan bagi tip-tiap tahun hanya sebanyak 3.6 peratus. Jikalau diambil kira kadar inflasi 2.6 peratus pada tempoh yang sama (mengikut indeks harga - PI – yang diumum kerajaan), maka didapati pertumbuhan pendapatan seisi keluarga ialah hanya sebanyak 1.0 peratus saja bagi tiap-iap tahun.

Apakah yang Dato' Seri Abdullah Badawi dan Umno-Bn hendak banggakan tentang kemjuan yang dicapai di bawah Umno-Bn? Pendapatan tidak naik. Harga barang melambung. Rakyat ramai tidak mendapat faedah dari lonjakan KDNK. Tetapi hanya segelintir kecil dari golongan elit yang mengaut bahkan merompak kekayaan negara.

KERAJAAN TIDAK BERTINDAK PADA KAKITANGAN JIKA SOKONG PEMBANGKANG


HARAKAH – (29-02-2008)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya (P125), Mohamad Nor Mohamad, menegaskan bahawa semua pengundi di kalangan kakitangan kerajaan tidak perlu takut untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-12 yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mac ini.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual khas di pejabat pentadbiran Harakah di Jalan Pahang tengahari tadi.

Katanya, ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya kepada beliau baru-baru ini, memberi jaminan tidak akan memasukkan nombor siri pengundi pada kertas mengundi kali ini seperti pada PRU-11 (2004).

Jaminan itu juga telah disuarakan oleh penyandang kerusi parlimen di situ, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam laporan akhbar The Star minggu lalu, di mana beliau menegaskan bahawa pihaknya dan kerajaan tidak akan sama sekali mengambil tindakan kepada mana-mana kakitangan yang didapati cenderung kepada calon pembangkang.

Cuma katanya, mereka tidak boleh berkempen pada waktu pejabat, malah boleh bertemu dengan calon pembangkang di luar bangunan kerajaan seperti di kantin-kantin, di tempat letak kereta dan pusat membeli belah.

Terdahulu Mohamad Nor yang ditanya berhubung persiapan untuk berkempen khususnya di kalangan kakitangan kerajaan, mendakwa tidak ada masalah.

Perbadanan Putrajaya benarkan calon berkempen di padang awam

"Walaupun di peringkat awal kita dihalang oleh pihak berkuasa untuk berkempen di premis-premis kerajaan, tetapi setelah bertemu dengan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Shamsuddin Osman semalam, beliau membenarkan calon PAS berkempen di padang-padang yang terletak di beberapa lokasi sekitar Putrajaya.

"Nampaknya kempen kita di rumah-rumah kakitangan sebagai satu strategi kita mendapat sambutan baik malah cuba ditiru oleh calon BN.

"Walaupun kita mendapat kebenaran untuk menggunakan padang-padang untuk berkempen, tapi kemungkinan ramai yang tak nak keluar mendengar ceramah politik, kerana takut terserempak dengan ketua jabatan masing-masing, tetapi kita yakin suara-suara kempen kita akan masuk melalui celah-celah tingkap rumah mereka dan mereka faham apa yang tersirat dalam hasrat yang kita janjikan,"jelasnya.

Mengenai kempen calon BN katanya, mereka cuba bermain isu agama dengan menjanjikan akan membina sekolah agama, tetapi janji tersebut hanya retorik semata-mata, kerana selama empat tahun menjadi wakil rakyat di situ sejak 2004 tidak pernah terdengar usaha untuk membina sekolah-sekolah agama.

"Malah kita lebih 'advance' daripadanya, kerana pada pertengahan tahun 2006, kita telah menghantar satu memorandum kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique dan pada 2007 kepada Jakim berdasarkan keluhan warga Putrajaya, di mana anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan agama secara formal kerana ketiadaan sekolah-sekolah agama sekitar Putrajaya,"tambahnya lagi.

Umno-BN tidak prihatin masalah agama

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan Pengarah II Jawi, bahawa tidak ada peruntukan untuk membina sekolah-sekolah agama.

"Justeru tidak mustahil, di bawah-bawah jambatan terdapat gejala sosial yang semakin parah, anak-anak muda di kalangan lelaki dan perempuannya boleh duduk bersama, ia berlaku disebabkan tidak ada penguatkuasaan pihak berkuasa, perkara ini dipandang serius kerana melibatkan masa depan golongan remaja,"katanya.

Benarlah katanya, Umno dan BN tidak prihatin terhadap masalah agama, malah ia bukan sinonim dengannya.

"Jika remaja dibiarkan tanpa bimbingan agama secukupnya, mereka adalah aset untuk menang dalam pilihan raya, sebab jika remaja baik, mereka tidak akan pangkah calon-calon Umno/BN yang memang tidak mementingkan aspek agama Islam itu sendiri, sedangkan ia termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-9.

"Surau-surau juga banyak bercambah di presint-presint, namun pengajian agama tidak rancak dibincangkan, kita akan pastikan ia berfungsi bukan setakat tempat untuk solat tetapi juga tempat menghubungkan silaturrahim dan mampu melahirkan graduan agama,"jelasnya lagi.

Tambah Mohamad Nor,beliau begitu optimis kemenangan akan berpihak kepadanya kali ini, memandangkan gerak kerja yang dilakukan khususnya daripada petugas-petugas PAS dari Bandar Tun Razak, Titiwangsa dan dari beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan merancakkan lagi suasana kempen.

"Putrajaya memiliki kira-kira 6,000 pengundi berdaftar dan mereka bertanggungjawab menjalankan amanah bagi membuang undi pada 8 Mac ini tanpa perlu risau, bimbang, takut kerana undi mereka adalah rahsia.

"Kita yakin bahawa penduduk Putrajaya yang memilih pembangkang kali ini akan menikmati pelbagai kebajikan seperti yang termaktub dalam manifesto PAS ," tegas beliau dengan nada penuh yakin.

HARON DIN : PRU MEDAN RAKYAT MENGHUKUM PEMIMPIN


HARAKAH – (29-02-2008)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan Islam membenarkan kempen mendedahkan keburukan calon parti lawan bagi memastikan pemimpin yang dipilih oleh rakyat benar-benar berwibawa serta berkredibiliti.

Sebelum itu beliau menyelar sikap pihak akhbar tempatan yang melaporkan kenyataan bercanggah maksud mengumpat yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Saya sudah mendengar sebelum itu apa yang Haji Hadi sebut bukan seperti yang dilaporkan dalam utusan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, orang yang berkempen sama ada Umno atau PAS boleh menyebut keadaan sebenar iaitu keburukan orang yang bakal menjadi pemimpin (calon).

Katanya, suasana sekarang kerajaan menjadi satu medan yang akan dihukum oleh rakyat dan perlu menghadapi tuduhan daripada pembangkang.

Sebagai contoh tambah beliau, tindakan kerajaan menaikkan harga barangan dan tol merupakan keburukan yang boleh disebut supaya rakyat boleh mengetahui perkara sebenar.

"Kerajan telah berbohong terhadap rakyat dan inilah yang dimaksudkan mengumpat iaitu menyebut keburukan calon yang bertanding dalam pilihan raya," tegasnya.

Dr Haron yang bertanding di P.003 Arau berkata, PAS menjanjikan tawaran jika menang dalam pilihan raya harga minyak akan diturunkan sebanyak 30 sen satu liter.

Bagaimanapun, tambah beliau, BN mendakwa jika PAS memerintah dengan menurunkan harga minyak maka negara akan menjadi bangkrap.

Katanya, jika benar harga minyak turun 30 sen menjadikan negara bangkrap ia bererti ekonomi Malaysia begitu rapuh dan kedudukan kewangan negara amat lemah.

Sedangkan kata beliau, penurunan 30 sen itu merupakan 15 peratus daripada harga minyak sebenar bermaksud kerajaan akan menerima kekurangan defisit daripada penjualan minyak dengan harga diturunkan 30 sen.

Beliau mempersoalkan adakah dengan kekurangan pendapatan sebanyak 5.4 bilion boleh menjadikan negara bangkrap sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (laporan NST).

"Kalau kita mempunyai wang sebanyak 10 juta tiba-tiba kita kehilangan tiga juta, adakah kita akan bangkrap?" soalnya.

Tambah beliau, jika benar bangkrap bermakna ekonomi negara begitu teruk dan selama ini pimpinan negara sudah bercakap bohong dengan rakyat.

Menurut beliau, inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS boleh menyebut keburukan yang ketara bukan bermaksud mengumpat, mencaci orang tanpa alasan dan tidak tepat pada waktunya. Beliau menegaskan, dalam kempen pilihan raya rakyat berhak menghukum untuk memilih pemimpin yang betul-betul berwibawa.

"Sekarang ini rakyat menuduh pemimpin merosakkan sistem ekonomi dengan pilihan raya tidak telus dan menyeksa rakyat dengan pelbagai isu, jika tuduhan ini tidak benar pemimpin perlu membela diri," katanya.