Sabtu, 5 April 2008

UMNO perlu lakukan 3 perubahan besar


UTUSAN MALAYSIA : 04-04-2008

Gua Musang 4 April – UMNO perlu melakukan tiga perubahan besar bagi mengatasi darurat yang berlaku dalam parti itu ekoran prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kata Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, tiga perubahan tersebut ialah memulihkan semula demokrasi dalam UMNO, dasar dan visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum serta tidak dilihat sebagai parti untuk orang Melayu sahaja dan ketiga perangai serta kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan.

Beliau berkata, ketiga-tiga perkara tersebut perlu dilakukan secepat mungkin kerana sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami malapetaka politik yang dahsyat, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti yang menunjangi kerajaan.

"Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat UMNO, untuk menangani darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan parti ini yang dibina sejak tahun 1946.

"Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan UMNO yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup UMNO selama 60 tahun untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan parti selama ini serta memikirkan visi baru UMNO bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang di Dewan Balai Rakyat Bukit Cekati di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri kira-kira 2,000 pemerhati termasuk 432 perwakilan dari 119 cawangan.

0 ulasan: