Sabtu, 5 April 2008

Pilih yang lebih baik - TUN


UTUSAN MALAYSIA : 04-04-2008

HULU LANGAT 3 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu semua ahli UMNO membuat satu keputusan bijak pada pemilihan parti pada Disember ini, dengan memilih pemimpin yang lebih baik daripada barisan sedia ada.

Katanya, jika ia tidak dilakukan beliau percaya UMNO akan terus menjadi lemah dan akan menjadi parti yang tidak relevan khususnya kepada orang Melayu.

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi UMNO akhirnya akan mengalami kekalahan paling buruk pada pilihan raya umum ke-13 kelak kerana gagal mendapat sokongan daripada rakyat.

‘‘Inilah yang berlaku sekarang. Oleh itu, semua ahli mesti memperbetulkan keadaan ini dengan memilih pemimpin yang lebih baik.

‘‘Di sini kita ada dua pilihan iaitu adakah kita mahu melihat UMNO mengalami kehancuran atau kita bersama-sama memulihkan UMNO supaya ia menjadi parti yang terus relevan bagi orang Melayu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program kepimpinan muda anjuran Rotary di Nur Lembah Pangsun Eko-Resorts di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Abdullah menafikan spekulasi yang beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus sedar bahawa kekuatan UMNO ketika ini semakin terhakis dan mesej itu telah disampaikan oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

‘‘Pas dan DAP kini semakin kuat dan mereka semakin mendapat sokongan daripada rakyat. Mereka berjaya memerintah Kedah dan Pulau Pinang. Ini merupakan satu hakikat yang perlu kita akui.

‘‘Adakah kita mahu melihat UMNO lenyap begitu sahaja akibat kerakusan pihak-pihak tertentu. Saya bimbang jika keadaan ini tidak diperbetulkan satu hari nanti UMNO ditolak mentah-mentah oleh orang Melayu,’’ katanya lagi.

Ditanya mengenai pandangan bahawa pertandingan di dalam parti boleh menyebabkan perpecahan beliau berkata: ‘‘Mana lebih penting, kepentingan parti atau membiarkan parti hancur?’’

Walaupun akan berlaku perpecahan, kata beliau, misalnya menjadi dua kumpulan, sekurang-kurangnya UMNO boleh bergantung kepada kumpulan yang menang untuk memperbetulkan keadaan.

‘‘Ini lebih baik daripada kita membiarkan parti dipimpin oleh seseorang yang tidak layak,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta anggota Majlis Tertinggi (MT) memainkan peranan sebagai suara akar umbi dan bukannya hanya menjadi ‘pak turut’.

‘‘Saya amat berharap MT merenung semula apakah peranan mereka sebenarnya. Adakah mereka hanya menjadi ‘pak turut’ atau mereka memberitahu situasi yang sebenar.

‘‘Mereka harus ingat yang mereka merupakan pemimpin yang telah diamanahkan oleh ahli di peringkat akar umbi. Mereka membawa amanah ahli dan mereka harus berperanan sebagai suara ahli dan bukannya sebagai pak turut,’’ tambahnya.

0 ulasan: