Selasa, 8 April 2008

Tun mahu terus kritik Pak Lah


BERITA HARIAN : 07-04-2008

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan terus mengkritik kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selagi Perdana Menteri tidak meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak ada niat untuk kembali menjadi Presiden Umno atau Perdana Menteri, tetapi sebagai ahli Umno dan rakyat Malaysia beliau berhak bersuara.

Katanya, beliau akan hanya bersuara apabila diundang berucap pada sesuatu majlis dan tidak akan menjalankan kempen bersendirian untuk menyuarakan pendapatnya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas majlis 'Fikir-Fikirkan Bersama Tun' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Ampang, di sini semalam.

Turut hadir, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden Universiti Islam Antarabangsa, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Herman. Majlis itu digunakan Mahathir dan Sanusi untuk mengkritik kepemimpinan Abdullah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kepemimpinan Abdullah perlu memberinya ruang untuk menjelaskan kepada rakyat, termasuk dari segi kebebasan bersuara di media massa.

"Pada zaman saya dulu, tidak pernah ingat orang Umno cakap kita 'sensor' (tapis), tak ada sekatan, tak tahu kalau ada wartawan yang sanggup bersumpah, kata saya jangan siar itu... ini," katanya.

Mengenai permintaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi supaya beliau menggunakan ketertiban Melayu dalam menegur kepemimpinan, Dr Mahathir berkata: "Saya akan henti, ikhlas, jika mereka berhenti melakukan apa yang mereka lakukan pada saya."

Mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, kelmarin yang menamakan beliau sebagai punca segala masalah dalam parti sehingga Umno seolah-olah berada di ambang kehancuran, Dr Mahathir berkata:

"Dia (Shabery) yang sebab perpecahan dalam Umno. Bila kalah dia keluar (Umno), sekarang dia cakap saya yang hancurkan parti."

Ditanya apa akan berlaku sekiranya Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Disember ini, beliau berkata, proses demokrasi menerima sesiapa saja untuk bertanding dengan syarat tidak menggunakan duit atau memberi tekanan kepada pihak lain.

Mengenai kenyataannya baru-barunya tidak lagi menyokong Datuk Seri Najib Razak sebagai pengganti Abdullah, Dr Mahathir berkata, beliau tidak hadkan sokongan kepada mana-mana pemimpin.

Sementara itu, di Langkawi, Bernama melaporkan Mahathir sebagai berkata kritikannya terhadap kepimpinan Umno tidak akan menghancurkan parti, sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.

0 ulasan: