Sabtu, 5 April 2008

UMNO perlu kepimpinan kuat


UTUSAN MALAYSIA : 04-04-2008

KUALA LUMPUR 3 April – UMNO mengakui salah satu kelemahan yang menyumbang terhadap prestasi kurang memuaskan parti itu pada pilihan raya umum lalu adalah faktor kepimpinan.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebab itu kepimpinan yang kuat memang amat diperlukan oleh semua parti politik dan UMNO juga tidak terkecuali.

‘‘Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan baik di samping mampu menambat keyakinan rakyat,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia (MIDF) Berhad di sini hari ini.

Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menyaksikan prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) sepanjang sejarah apabila kehilangan kuasa di empat buah negeri dan gagal merampas Kelantan daripada Pas di samping kekurangan lapan kerusi untuk meraih sokongan dua per tiga majoriti.

Sementara itu apabila ditanya apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh ditakrifkan sebagai mempunyai kepimpinan yang kuat, Muhyiddin berkata; ‘‘Terpulang pada awak (wartawan). Saya rasa tak perlu menjawab soalan tersebut,’’ katanya sambil enggan menghuraikan lanjut tentang maksud kepimpinan yang kuat.

Apabila terus disoal tidakkah desakan dari dalam UMNO yang menuntut Abdullah melepaskan jawatan menggambarkan satu bentuk kepimpinan yang tidak kuat, Muhyididin berkata, ini bukan soal seorang pemimpin sahaja.

‘‘Kita bekerja secara kolektif dan bukan kerana seorang pemimpin sahaja.

‘‘Kita ramai pemimpin dalam UMNO, jadi kita kena bekerja mengikut tanggungjawab bersama,’’ tegasnya.

Dalam pada itu apabila ditanya apakah desakan-desakan yang meminta Abdullah berundur itu juga boleh menggambarkan wujudnya krisis di dalam UMNO kini, beliau berkata: ‘‘Saya hendak kata ia bukan satu krisis yang besar. Tapi ia boleh menjadi satu krisis yang besar sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

‘‘Parti sedang menguruskannya dengan sayap-sayap juga sedang melakukan hal yang sama,’’ jelasnya.

Pada perkembangan yang sama, Muhyiddin berkata, pandangan pemimpin veteran, Tan Sri Mohamed Rahmat bahawa UMNO kini hampir hilang kuasa seperti yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini memang baik dan seharusnya perlu untuk berperasaan sebegitu.

Katanya, jika Melayu tidak peka atau menganggap keputusan pilihan raya umum yang lalu sebagai perkara biasa maka ia jelas satu perbuatan yang lalai.

‘‘Apabila lalai ia akan membawa mala petaka dan bencana yang lebih besar. Jadi eloklah ada peringatan seumpama itu, saya sendiri pun pernah bangkitkan hal yang sama, ramai yang bercakap pun tak apa.

‘‘Lebih penting bukan sahaja peringatan tetapi apa yang perlu dilakukan. Jadi kesedaran telah ada dan oleh itu sesuatu segera perlu dibuat kerana jika tidak, Nauzzubillah, ada benda yang buruk akan berlaku kepada orang Melayu,’’ ujarnya.

0 ulasan: