HARAKAH : 08-04-2008
Ketika presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi penjelasan tentang ketewasan buruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menghalakan kritikannya kepada penggantinya itu.
"Kalau orang ini tidak ada (di tampuk kekuasaan), mereka (pengundi) akan kembali kepada Umno," katanya, selepas mengulangi kecaman kepada Abdullah dan "ahli keluarganya" dalam siri kritikan kedua minggu ini.
Dr Mahathir melancarkan siri pertama di sebuah hotel di Petaling Jaya awal minggu ini.
Beliau menjawab satu pertanyaan peserta yang ingin mengetahui langkah-langkah kedepan yang boleh diambil parti itu selepas kepemimpinan Abdullah dikatakan gagal menyelamatkan kemerosotan undi BN dan Umno baru-baru ini.
"Penerangan harus dibuat, termasuk cakap-cakap di kedai kopi," katanya, sambil menambah ahli Umno mesti memilih pemimpin yang berani bercakap, dan bukan tukang angguk.
Menjawab satu lagi soalan tindakan selanjutnya jika tiada pemimpin Umno berani mencabar Abdullah untuk jawatan presiden pada pemilihan agung Umno Disember ini, Dr Mahathir mencadangkan ahli berkempen bagi menjayakan mesyuarat khas (EGM) untuk memansuhkan sistem kuota pencalonan.
"Majlis Tertinggi boleh cadang agar buat EGM," katanya.
Bagaimanapun beliau sendiri melahirkan rasa ragu-ragu majlis ini boleh membuat cadangan itu kerana rata-rata ahlinya disifatkannya dipenuhi tukang angguk.
"Kita nak minta diadakan rapat umum supaya kita boleh bercakap sikit," tambahnya. "(Abdullah mendakwa) semua orang menyokong dia, kenapa dia takut?"
Selain Abdullah, sasaran kegemaran beliau termasuklah menantu perdana menteri dan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
"Kalau kita benarkan menantu mentadbir negara, akan hancurlah negara kita," kata Dr Mahathir.
Sebelum itu, beliau mengulangi penjelasannya pada Selasa bahawa kekalahan teruk itu disebabkan ahli-ahli Umno sendiri mengalih sokongan kepada pembangkang sebagai satu "mesej" kepada kepemimpinannya.
"Tidak mungkin (pembangkang) menang banyak kalau orang Umno tidak mengundi parti lawan kerana (mereka) kecewa kepada kepemimpinan yang ada," katanya.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, dalam pertemuannya dengan ketua-ketua penerangan Umno negeri, Abdullah mendedahkan BN, khususnya Umno, tewas di 14 kerusi parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) angkara sabotaj ahli-ahli sendiri.
Tanpa sabotaj itu, tambahnya, BN dapat mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Dalam pilihanraya umum lalu, BN mendapat 140 kerusi parlimen - kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.
Umno tewas di 31 kerusi parlimen apabila hanya mampu mempertahankan 78 daripada 109 kerusi yang dimenanginya pada 2004.
Menurut Abdullah lagi, jika tidak berlaku sabotaj dalam kalangan ahli-ahli Umno di 22 kerusi DUN tersebut, BN tidak akan kalah di Kedah dan Perak.
Menurutnya, semua kerusi parlimen dan DUN terbabit merupakan "kawasan putih" dan BN tidak menghadapi masalah untuk memenanginya.
Dr Mahathir mengambil kesempatan hari ini untuk menjawab beberapa kritikan kepadanya dalam tempoh beberapa hari ini selepas serangan awalnya pada 1 April.
"Semua serang saya, dengan nada yang sama. Tentulah ada arahan," katanya dalam program 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir' di sebuah hotel di Ampang hari ini.
Menjawab kritikan ahli Majlis Tertinggi (MT) Dato' Ahmad Shabery Cheek, Dr Mahathir memulangkan paku buah keras dengan mengingatkan bahawa menteri penerangan itu sendiri terlibat dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) - parti yang dituduh punca perpecahan utama Umno.
"Dia lupa, dia datang daripada Semangat 46," kata Dr Mahathir, sambil menjelaskan bahawa beliaulah yang menghidupkan kembali Umno sehingga keahliannya kini lebih tiga juta orang selepas diharamkan susulan krisis pemilihan agung Umno 1987.
"Siapa yang memulihkan kembali Umno? Sambutan begitu baik, ada ahli tiga juta orang," tambahnya.
Kelmarin, Ahmad Shabery menggesa mantan presiden Umno itu tidak memecah-belahkan Umno sehingga parti itu diharamkan pada 1988.
Mengulas kenyataan Dato' Seri Zainuddin Maidin yang mendakwa bekas ketuanya itu turut menjadi faktor penyumbang prestasi buruk BN baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ada pihak beranggapan "ahli Umno bodoh dan tidak pandai membuat pilihan."
Walaupun pada pilihanraya umum 1999 BN mengalami ketewasan teruk tetapi ia masih berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga, katanya.
"Orang Cina memberi sokongan begitu kuat sekali. Orang Melayu kecewa kerana kes mata lebam (terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim). Orang Melayu kasihan tengok orang sakit... (Mereka) bukan mempertikai kepemimpinan saya," kata Dr Mahathir.
Kira-kira 600 penyokong Umno, termasuk beberapa pemimpin lama, menyertai majlis tersebut.
Turut berucap di majlis itu termasuklah bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan penganjur majlis, ketua cawangan Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman.
0 ulasan:
Catat Ulasan