Selasa, 8 April 2008

Tun gila talak?



BERITA HARIAN : 07-04-2008

Komen berterusan dibimbangi pecah belahkan Umno

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kepemimpinan dan menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan diibaratkan seorang yang 'gila talak politik', kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sepatutnya menutup mulut dan membiarkan barisan kepemimpinan negara memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Komen Dr Mahathir dan dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebenarnya bukan menyatukan Umno, tapi memecahbelahkan parti utama kaum Melayu itu.

"Kalau hendak sangat berikan komen atau pandangan, datang berjumpa barisan kepemimpinan negara dan berbincang secara tertutup, barulah betul.

"Sebelum ini, Dr Mahathir pernah menjadi seorang pemimpin dan dia pasti terluka jika ada pihak yang mengkritiknya ketika itu. Begitulah juga dengan kepemimpinan sekarang," katanya selepas merasmikan Koleksi Buku Bertemakan Islam terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi ITNM, Datuk Wan Hashim Wan Teh; Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiro dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said,

Aham Zahid berkata, semua pihak tidak sepatutnya cuba menjadi hero ketika pemimpin dan ahli Umno bersedih dengan keputusan pilihan raya umum lalu.

"Dalam keadaan sekarang, kita jangan menuding jari mencari kesalahan dan meminta seseorang melepaskan jawatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kenyataan Ketua Umno Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman meminta semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno meletak jawatan berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah kenyataan peribadi.

"Tajuddin mungkin kecewa sebab tidak terpilih bertanding di Paya Besar dan kemungkinan dia ada masalah peribadi dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Sepatutnya beliau (Tajuddin) tidak mengeluarkan kenyataan sebegitu dalam keadaan sekarang," katanya.

0 ulasan: