Khamis, 3 April 2008

Samy Vellu diseru usah jadi hero


HARAKAH : 01-04-2008

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Dengan tajuk 'Jangan layan Samy Vellu', akhbar arus perdana Utusan Malaysia memaparkan dua surat pembaca yang menyelar kenyataan Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu baru-baru ini yang berusaha membebaskan pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lebih 'menyakitkan', pembaca yang mendakwa berketurunan India dan ahli MIC itu menyatakan tiada keperluan untuk Samy Vellu berlakon bersusah payah untuk berjumpa dengan pihak tertentu menuntut semua pemimpin Hindraf dibebaskan.

"Bagi saya, perhimpunan itu berlaku berpunca daripada beliau sendiri yang selama ini tidak mahu mengambil berat masalah segelintir kaum India yang terpinggir di beberapa negeri.

"Samy Vellu tidak perlu 'berlakon' watak seorang hero yang mengambil berat masalah orang lain kerana selama ini beliau tidak pernah ambil tahu selain hanya bercakap besar," katanya dalam surat tersebut.

Beliau yang menamakan diri sebagai Anak India Jati Kedah berharap semua ahli MIC menolak cita-cita Samy Vellu untuk menjadi presiden seumur hidup kerana berpendapat semakin lama Samy dalam MIC akan wujud lebih banyak masalah dalaman.

"Sebagai ahli MIC yang tidak mahu melihat masyarakat India di negara ini diperbodohkan, kenyataan bahawa Samy Vellu ingin menjadi presiden sehingga mati bukanlah sesuatu yang dialu-alukan," kata pembaca tersebut.

Manakala bagi surat pembaca kedua yang ditulis oleh Mohd Sharif Ahmad daripada Seremban Negeri Sembilan turut memandang sinis tindakan Samy itu dan turut menyatakan bahawa kerajaan telah membuat perhitungan yang silap apabila menerima rayuan Samy Vellu supaya tuduhan dan dakwaan ke atas 31 orang yang ditahan selepas merusuh digugurkan.

Akibat gugurnya dakwaan tersebut kata pembaca itu maka rakyat melihat betapa lemahnya kepimpinan kerajaan ketika itu dan akhirnya memberikan undi kepada pihak pembangkang dalam pilihan raya lalu sebagai tanda protes.

"Samy Vellu mungkin melihat kedudukan kerajaan pimpinan Melayu pada hari ini berada di tahap yang lemah dan sebarang tuntutan boleh dibuat sewenang-wenangnya.

"Janganlah mengasak sehingga sampai ke dinding, mana Melayu nak pergi selepas itu," katanya dalam surat terbabit.

Malah kata Sharif jika pun Samy ingin mencari publisiti waktu ini, kembalikan atau tujukan semua kesalahan yang membawa kepada penahanan mereka kepada pihak yang 'lempar batu sembunyi tangan'.

0 ulasan: