Sabtu, 5 April 2008

Luar bandar jadi keutamaan

Luar bandar jadi keutamaan

UTUSAN MALAYSIA : 04-04-2008

SELEPAS lebih setahun dilaksanakan, Kementerian Pelajaran hari ini membentangkan laporan kedua kemajuan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menyasarkan tempoh pelaksanaan sepanjang 2006-2010.

Biarpun tempoh setahun disifatkan oleh banyak pihak sebagai terlalu awal untuk melihatkan keberkesanan pelan yang menyasarkan enam teras strategik utama itu, namun Menteri Pendidikan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpandangan sebaliknya.

Bagi beliau, laporan kemajuan itu amat perlu kerana ia merupakan bukti tentang kesungguhan kementerian berkenaan untuk melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.

Apatah lagi laporan yang dibentangkan semalam adalah yang kedua seumpamanya selepas kad laporan pertama diumumkan pada 3 Julai tahun lalu iaitu selepas hampir tujuh bulan ia dilancarkan.

Namun pembentangan yang kedua ini semestinya menawarkan kelainan serta lebih menyeluruh kerana pelaksanaan PIPP telah melangkaui tempoh 12 bulan justeru ia boleh dijadikan indikator prestasi utama (KPI) enam teras PIPP iaitu:

membina negara bangsa

membangunkan modal insan

memperkasakan sekolah kebangsaan

merapatkan jurang pendidikan

memartabatkan profesion keguruan; dan

melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Sejajar dengan dua pendekatan yang digunakan untuk memastikan kejayaan PIPP, setiap perancangan Kementerian Pelajaran diusahakan sehabis baik untuk memastikan kejayaannya termasuk yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Paling menarik perhatian ialah usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar yang diakui oleh kerajaan masih wujud akibat perbezaan lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan murid.

Mencari jalan penyelesaian untuk memastikan pendidikan luar bandar tidak ketinggalan amat penting kerana ia dapat mengubat rasa kecewa di kalangan penduduk di situ sehingga boleh menimbulkan tanggapan bahawa mereka dianaktirikan.

Kesungguhan mengatasi masalah tersebut terbukti seperti yang dibentangkan dalam laporan kedua PIPP terutama menerusi kerjasama kementerian dengan National Implementation Task Force (NITF) untuk memastikan agenda membangunkan pendidikan di luar bandar tercapai.

Menerusi kerjasama itu, penekanan tertumpu kepada pembangunan infrastruktur asas terutamanya projek bekalan air dan elektrik di sekolah-sekolah.

Jika diteliti dari sisi angka, usaha kementerian yang bermula di peringkat penyediaan bekalan air dan elektrik di sekolah-sekolah luar bandar itu ternyata berjaya disempurnakan.

Kesemua 728 sekolah yang dijadual mendapat bekalan elektrik 24 jam telah menikmati kemudahan tersebut selain 40 lagi projek yang sama dilaksanakan bagi sekolah-sekolah luar bandar di Semenanjung.

Pedalaman

Tidak cukup dengan itu, pihak kementerian juga sedang membina 101 sekolah rendah dan 551 sekolah menengah baru di kawasan luar bandar dan pedalaman seluruh negara. Sebanyak 2,044 sekolah rendah sedang dalam perancangan untuk pembinaan dan ubah suai naik taraf. Sebanyak dua sekolah rendah telah siap diubah suai dan dinaik taraf sepenuhnya.

Bagi sekolah menengah pula, daripada 569 projek ubah suai dan naik taraf, sebanyak 38 projek sedang dibina dan bakinya masih dalam perancangan. Dalam usaha menangani masalah sekolah kurang murid di kawasan pedalaman, kementerian juga akan merintis pembinaan sekolah kabin sebagai alternatif kepada sekolah-sekolah konvensional.

Selain itu projek asrama baru dan makmal komputer turut dibina di kawasan luar bandar bagi mendedahkan pelajar-pelajar di situ kepada penggunaan komputer dan Internet.

Begitu juga dengan pemberian elaun khas kepada guru-guru di pedalaman yang telah berjaya mengurangkan jumlah permohonan untuk berpindah ke sekolah di bandar.

Apabila memperkatakan tentang pendidikan di luar bandar ia semestinya meliputi anak-anak Orang Asli yang mesti dipupuk minat mereka untuk memasuki alam persekolahan.

Langkah itu mesti disegerakan berikutan penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan mereka yang masih rendah.

Untuk itu program khusus melibatkan 30,600 kanak-kanak Orang Asli dan Penan di 93 buah sekolah Orang Asli dan enam buah sekolah Penan telah disediakan. Sekolah Model Khas juga telah dibina di SK Long Bedian, Miri, Sarawak dan SK Paloh Inai, Pahang. Sekolah-sekolah ini menggunakan konsep Konvensional 9 (K9) yang menggabungkan enam tahun pendidikan rendah dan tiga tahun pendidikan menengah rendah dalam satu premis.

Tujuan konsep ini diperkenalkan adalah untuk memastikan semua kanak-kanak Orang Asli dan Penan dapat meneruskan pendidikan sehingga peringkat menengah. Kemudahan asrama yang lengkap juga disediakan di sekolah-sekolah tersebut.

Kerajaan juga telah memutuskan agar satu tabung kewangan ditubuhkan khusus untuk meningkatkan pendidikan di kalangan anak-anak pekerja ladang. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah bersetuju untuk menubuhkan tabung tersebut dengan bantuan kewangan hasil sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di seluruh negara. Dianggarkan hampir 85,000 orang anak pekerja ladang di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada tabung ini. Mekanisme pemberian bantuan ini sama seperti pemberian bantuan-bantuan lain yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Keprihatinan terhadap kumpulan pelajar di luar bandar turut mencakupi usaha membekalkan makanan berzat menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang ditingkatkan menjadi RM1.80 (Semenanjung); RM2.05 (Sabah dan Sarawak).

Selain itu, kadar bantuan makanan asrama dan kadar peruntukan makanan mentah, juga telah dinaikkan. Berikutan peningkatan kadar bantuan ini, jumlah perbelanjaan kementerian untuk bantuan makanan sahaja pada tahun lepas sebanyak RM665 juta.

Pada tahun lepas, kementerian juga telah membelanjakan sebanyak RM9.1 juta untuk Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid bagi dimanfaatkan oleh 250,000 orang murid yang tinggal di asrama harian. Selain itu, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan untuk Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Melalui tabung ini, sebanyak 429,963 orang murid sekolah rendah dan 7,841 orang murid sekolah menengah telah mendapat Bantuan Persekolahan.

Kesemua usaha kementerian itu amat jelas menyerlahkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pelajar-pelajar luar bandar menikmati kemudahan pendidikan yang sama dengan pelajar di bandar.

Kesungguhan itu penting dalam usaha untuk memastikan hala tuju pendidikan negara tidak tergelincir daripada landasannya. Keseimbangan peluang pendidikan antara bandar dan luar bandar akan membantu melicinkan proses pembangunan modal insan ke arah menjadikan Malaysia negara maju pada 2020.

0 ulasan: