Sabtu, 5 April 2008

UMNO Gua Musang lulus usul untuk perhimpunan khas


HARAKAH : 05-04-2008

GUA MUSANG, 4 April (Hrkh) - Persidangan perwakilan khas Umno Gua Musang hari ini sebulat suara meluluskan usul untuk meminta Majlis Tertinggi Umno supaya mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan hala tuju parti selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menurut laporan Bernama, lebih 400 perwakilan dari 119 cawangan bahagian tersebut yang menghadiri persidangan itu menyokong usul berkenaan selepas tiga perwakilan mengambil bahagian dalam perbahasan mengenainya.

Usul itu dicadangkan oleh Ketua Penerangan bahagian Dato' Nozula Mat Diah dan disokong anggota jawatankuasa bahagian Mat Yusof A Ghani sebelum dibuka untuk perbahasan.

Nozula adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh manakala Mat Yusuf merupakan Adun Nenggiri.

Sebelum itu persidangan khas tersebut di Bukit Cekati di sini dirasmikan oleh ketua bahagian tersebut Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Anggota Parlimen Gua Musang.

Persidangan yang menarik perhatian ramai itu turut dihadiri lebih 200 pemerhati dari Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

Persidangan turut meluluskan usul untuk meminda beberapa perlembagaan parti.

Antara lain perwakilan mahu jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi dipilih setiap tiga tahun sekali, begitu juga dengan jawatan ketua pemuda, naib ketua pemuda, ketua wanita dan naib ketua wanita, ketua dan naib ketua puteri.

Turut dipersetujui ialah ketua pemuda, wanita dan puteri diberi hak dan kuasa sepeti naib presiden.

Para perwakilan juga mahu calon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan majlis tertinggi perlu terlebih dahulu menjadi anggota parti selama lima tahun pada tarikh pendaftaran pencalonan mereka.

Turut diluluskan ialah supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa pemilihan bebas yang mengandungi 21 anggota yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti yang berkuasa serta bertanggunjawab dalam mengurus dan mengendali soal pencalonan dan pemilihan semua jawatan.

Enam litar kamera tertutup turut dipasang di luar dewan persidangan itu bagi memudahkan orang ramai mengikuti mesyuarat perwakilan khas tersebut.

0 ulasan: