HARAKAH : 08-04-2008
Tertekan sungguh nampaknya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mutakhir ini. Belum pun terubat rasa malu dan kecewa atas kekalahan teruk partinya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 bulan lalu, satu demi satu masalah dan kerenah anak-anak buahnya pula yang terpaksa dihadapinya kini.
Barisan Nasional (BN) bukan saja gagal merampas Kelantan daripada PAS, tetapi hilang empat lagi negeri ke tangan pakatan parti-parti pembangkang. Itu sudah cukup memeningkan kepala Abdullah.
Tambah mengusutkan keadaan, BN turut hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. Keadaan itu belum pernah dialami kerajaan pemerintah atas nama BN. Kali terakhir ia berlaku ialah kepada kerajaan Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969 lalu.
Namun, apakah yang lebih memalukan seorang Perdana Menteri selain tawarannya melantik anggota kabinet ditolak oleh ahli partinya sendiri? Belum pernah berlaku dalam sejarah pembentukan kabinet BN, dua Ahli Parlimennya yang dinamakan sebagai timbalan menteri menolak pelantikan mereka.
Ahli Parlimen Jerantut, Dato' Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar. Rakan sejawatnya Ahli Parlimen Kimanis, Dato' Anifah Aman pula menolak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan. Kedua-dua mereka dilaporkan menemui Abdullah pada petang sama Perdana Menteri mengumumkan senarai kabinet barunya, 18 Mac lalu.
Serba-serba bagaikan tidak menjadi buat Abdullah. Tindakan nekadnya menggugurkan beberapa menteri kabinet yang berjaya mempertahankan kerusi ditandingi mereka dalam pilihan raya bulan lalu bagaikan tidak dihargai.
Percaturannya dalam menyusun anak-anak buahnya mendapat tentangan pelbagai pihak, sama ada yang menjadi mangsa pengguguran mahu pun pihak yang tidak berpuas hati dengan jawatan ditawarkan.
Ada lagi yang lebih memeningkan Abdullah. Anak-anak buahnya di Sabah dan Sarawak dikatakan turut tidak berpuashati meskipun telah diberikan sejumlah jawatan menteri penuh dan timbalan menteri. Kedua-dua negeri dikatakan mengambil kesempatan atas keadaan terdesak BN Pusat yang sangat bimbangkan kesetiaan mereka kini. Mereka didesas-desuskan akan meninggalkan BN dan menyertai pembangkang.
Justeru, Abdullah terpaksa memujuk mereka agar terus setia. Mereka pula menuntut bayaran lebih besar atas kesetiaan mereka menjamin kelangsungan kerajaan Pusat. Mereka bukan sahaja menuntut diberikan lebih banyak kuota dalam kabinet, malah turut mengemukakan beberapa tuntutan lain.
Dalam keadaan tercari-cari satu pasukan yang mantap dan kuat untuk menghadapi keadaan segenting kini, Abdullah dapati timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak banyak membantu. Sebaliknya, Najib lebih banyak membisu, termasuk terhadap tuntutan agar Abdullah mengundurkan diri daripada kepimpinan parti dan kerajaan.
Di masa sama, kumpulan demi kumpulan ahli partinya tampil mendesak Abdullah meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno. Malah, ada yang mahukan jawatan itu dipertandingkan secara terbuka, tanpa perlu ada prasyarat kuota pencalonannya.
Telah banyak ulasan dan komen Abdullah tentang cabaran ahli-ahlinya sendiri agar beliau memberikan laluan kepada tokoh lain pula memimpin parti dan kerajaan. Ada ketika beliau mempertahankan pendiriannya untuk terus kekal. Di ketika lain, beliau menganggap desakan terhadapnya agar mengundurkan diri sebagai tidak wajar, sedangkan partinya masih kukuh dan dapat memerintah dengan baik.
Namun nampak benar Abdullah tidak begitu berwibawa dalam menepis serangan orang terhadapnya. Hujah dikemukakannya tidak kukuh, susun atur ayatnya juga tidak boleh memulangkan paku buah keras kepada penentangnya.
Media elektronik malam tadi (Ahad) sekali lagi menyiarkan komen spontan Abdullah terhadap desakan tersebut. Beliau antara lain mengulas usaha semakin rancak oleh Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mencabarnya untuk jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti hujung tahun ini.
Alasan diberikan Abdullah untuk menidakkan keupayaan Ku Li menerajui Umno sangat dangkal. Beliau mengatakan selama ini anak raja Kelantan itu tidak memberikan apa-apa sumbangan untuk mengembalikan Kelantan kepada BN.
Dengan hujah itu, Abdullah jelas sekali terikut-ikut hujah sama yang pernah dilontarkan anak-anak buahnya sebelum ini, bahawa daripada sibuk merawat parti di peringkat nasional, adalah lebih baik Ku Li terlebih dahulu buktikan keupayaannya merawat BN di Kelantan.
Tidak dinafikan sepintas lalu, hujah itu ada kewajarannya. Bagaimana mungkin seorang pemimpin menawarkan diri menerajui parti di peringkat nasional jika kepimpinan parti di peringkat negerinya sendiri pun beliau gagal kuasai? Apatah lagi, dalam membuktikan keupayaannya memimpin parti ke arah kejayaan, Ku Li boleh dikatakan gagal apabila Umno/BN kalah teruk di negerinya sendiri, Kelantan dalam pilihan raya umum lalu.
Namun, tidakkah kita terfikir bahawa dengan mengemukakan hujah itu sebagai senjata utama mematahkan serangan Ku Li, Abdullah sebenarnya turut mendedahkan dirinya kepada peluru yang sama? Bukankah negeri Abdullah sendiri, Pulau Pinang juga gagal dipertahankan BN?
Bahkan, jika dari segi perkiraan politiknya, kegagalan Abdullah mempertahankan Pulau Pinang boleh dianggap lebih besar dan lebih memalukan berbanding kegagalan Ku Li menawan semula Kelantan. Dalam parti, Abdullah adalah presiden. Dalam kerajaan, dia adalah Perdana Menteri. Sebagai perbandingan, apa yang ada pada Ku Li dalam parti dan kerajaan?
Secara tradisi pula, kekuatan PAS di Kelantan bukan tandingan BN. Kelantan telah diperintah PAS sejak pilihan raya umum pertama selepas merdeka hingga 1978. Era keduanya bermula 1990 hingga sekarang. Isu bagi Ku Li di Kelantan ialah merampas negeri itu yang telah menjadi milik orang sejak sekian lama. Ia bukan suatu kerja yang mudah.
Ada pun Pulau Pinang, ia diperintah BN sejak 1971, apabila Parti Gerakan yang menang pada 1969 meyertai BN. Sebelum itu pun sejak merdeka lagi ia telah diperintah BN (atas nama Perikatan) sehingga pilihan raya 1969 itu.
Kes Pulau Pinang ialah kejatuhan atau kehilangan kerajaan yang elok-elok diperintah BN. Sedangkan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri adalah Abdullah sendiri.
Kita bukan hendak menyebelahi Ku Li. Bagi kita pembangkang, siapa saja pun menjadi Presiden Umno, dia tidak akan memberikan kebaikan secara mudah kepada pembangkang.
Namun, dalam nilaian politik kita, Perdana Menteri yang ada kini sudah semakin menyerlahkan ketidakwibawaannya untuk terus memimpin negara. Barangkali tepat sebagaimana disuarakan banyak pihak, bahawa sudah sampai masanya untuk Abdullah berundur dari parti dan kerajaan!
0 ulasan:
Catat Ulasan