Sabtu, 5 April 2008

'Hanya orang Gua Musang tahu'

UTUSAN MALAYSIA : 05-04-2008

KUALA LUMPUR 4 April – Persepsi bahawa UMNO kini berada dalam keadaan darurat seperti yang digambarkan oleh UMNO Bahagian Gua Musang pada persidangan perwakilan khasnya hari ini, tidak akan menjejaskan kedudukan parti tersebut.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah anggapan daripada satu bahagian sahaja tetapi tidak menggambarkan keseluruhan suara daripada ahli UMNO.

‘‘Itu hak mereka, atas sebab apa mereka buat persepsi itu hanya orang di Gua Musang sahaja yang tahu.

‘‘Bagaimanapun, kalau itu yang diputuskan oleh perwakilan dalam mesyuarat khas itu dan dikemukakan kepada Ibu Pejabat UMNO maka ia akan diteliti oleh pucuk pimpinan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara Lion Blast Furnace Sdn. Bhd. dengan Beijing Shougang International Engineering Technology Co. Ltd. di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa parti itu kini dalam keadaan ‘darurat’ sokongan dan keyakinan rakyat terhadapnya terjejas.

Tengku Razaleigh berkata, tindakan segera perlu diambil sebelum kerosakan yang berlaku di dalam parti merebak sehingga menjejaskan asas tamadun dan perjuangan UMNO yang ditubuhkan sejak tahun 1946.

Menurut Tengku Razaleigh, UMNO perlu mengadakan mesyuarat agung khas bagi mengukuhkan semula parti itu dengan dihadiri semua perwakilan yang selama ini menentukan kelangsungan parti tersebut.

0 ulasan: