Selasa, 8 April 2008

Pak Lah minta BPR siasat Tun



BERITA HARIAN : 07-04-2008

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara ketika menjadi perdana menteri.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menutup mata atau melindungi Dr Mahathir jika terdapat bukti bahawa bekas Perdana Menteri itu pernah melakukan penyalahgunaan kuasa sepanjang 22 tahun memerintah negara.

"Bagi pihak kerajaan, dasar kita ialah kalau ada apa-apa tuduhan terhadap sesiapa pun, kalau ada bukti, kita tak akan pejam mata," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas desakan aktivis dan pemimpin pembangkang supaya Dr Mahathir didakwa atas beberapa kesalahan yang didakwa pernah dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

Desakan itu dibuat oleh bekas Repertoir Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kebebasan Hakim dan Peguam, Datuk Param Cumaraswam; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan pengerusi Gerak Demokrasi dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak), Ezam Mohd Noor.

Param dalam kenyataannya meminta siasatan dibuat terhadap Dr Mahathir yang didakwa campur tangan dalam siasatan BPR apabila beliau pernah mengarahkan satu fail ditutup.

Perkara itu dinyatakan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ariffin Jaka dalam satu perbicaraan kes tuduhan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000.

Kit Siang pula meminta satu inkuiri diadakan terhadap dakwaan salahguna kuasa ketika pentadbiran Dr Mahathir yang dikatakan menjejaskan institusi seperti badan kehakiman.

Ezam turut menyokong supaya siasatan dibuat terhadap Dr Mahathir yang didakwa campur tangan dalam siasatan BPR pada 1998.

Perdana Menteri berkata, bukan tugas beliau untuk membuka fail bagi sesuatu kes, sebaliknya ia terletak dalam bidang kuasa agensi seperti BPR.

"Terserah kepada BPR untuk membuka fail (terhadap Dr Mahathir) jika mereka berasa wajar dan terdapat bukti untuk berbuat demikian," katanya.

0 ulasan: