Isnin, 14 April 2008

Segera buat peralihan kuasa - TDM


UTUSAN : 12-04-2008

KAJANG 12 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan peralihan kuasa daripada pucuk kepimpinan tertinggi dilakukan sekarang tanpa perlu menunggu Perhimpunan Agung UMNO, Disember ini.

Bekas Perdana Menteri berkata, proses tersebut perlu berjalan segera supaya peralihan yang telah dirancang berjalan lancar.

Katanya, beliau khuatir sekiranya peralihan kepimpinan dilakukan pada Perhimpunan Agung UMNO, akan ada kumpulan perwakilan yang mendesak Abdullah untuk meletakkan jawatan di pentas perdebatan.

Jika itu berlaku, jelasnya, sudah tentu imej Abdullah akan tercalar dan sekali gus boleh membuatkan ahli-ahli UMNO secara keseluruhannya berasa hilang hormat kepadanya.

''Mesej rakyat dan ahli UMNO sekarang ini cukup jelas. Mereka mahu Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) letak jawatan. Oleh itu, kita tidak mahu beliau turun secara paksaan dan antaranya, melalui desakan-desakan perwakilan ketika Perhimpunan Agung nanti.

''Lebih baik beliau menyerahkan jawatan itu kepada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) sekarang dan itulah yang terbaik. Saya percaya selepas berlaku peralihan itu nanti, situasi akan menjadi bertambah baik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Krisis Kepimpinan Melayu Pasca PRU-12: Di mana Silapnya?' anjuran Gabungan Cawangan-cawangan UMNO Hulu Langat di sini, hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Abdullah selaku Presiden akan berbincang dengan Najib mengenai pelan peralihan kuasa.

Muhyiddin berkata, Abdullah memberitahu perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib.

Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus sedar usaha untuk memulihkan UMNO memerlukan masa yang panjang dan langkah melengah-lengahkan peralihan kuasa tersebut hanya akan merugikan parti.

Katanya, beliau mengimpikan peralihan yang akan berlaku itu sama seperti yang dilaluinya pada tahun 2003.

''Saya sayangkan UMNO dan saya mahu parti ini terus relevan," katanya.

Ditanya siapakah yang paling layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden parti jika Abdullah benar-benar meletak jawatan, beliau berkata, mengikut tradisi, Najib merupakan calon paling sesuai.

''Saya bercakap dalam konteks tradisi. Apabila seorang Presiden berundur, yang menggantikannya sudah tentu timbalannya dan inilah yang berlaku di dalam UMNO selama ini.

''Bagi saya peralihan kuasa yang dirancang ini merupakan langkah permulaan kita untuk memulihkan UMNO. Kita harus mengakui rakyat semakin menjauhi UMNO,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir berkata, sebarang hukuman ke atas ahli UMNO yang terbukti mensabotaj dengan mengundi parti lawan pada pilihan raya umum lalu merupakan tindakan tidak demokratik.

''Apa yang perlu dipersoalkan ialah mengapa mereka mensabotaj parti. Sudah tentu ada sebabnya,'' katanya.

Beliau berkata, jawapannya adalah kerana ahli-ahli UMNO terlalu kecewa kepada barisan kepimpinan parti sedia ada ekoran kegagalan mereka mengurus parti serta negara dengan baik.

Rakyat terguris - Anak TDM kata


UTUSAN : 12-04-2008

JITRA 12 April - Perasaan rakyat yang terguris ekoran kritikan berterusan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa antara punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri utara Semenanjung pada pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, maklum balas yang diterimanya menunjukkan rakyat berasa kecewa apabila bekas Perdana Menteri itu dikritik hebat termasuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sendiri.

Katanya, ini kerana sentimen rakyat terhadap Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun masih kuat, membuatkan mereka menzahirkan perasaan kecewa itu menerusi peti undi.

"Rata-rata rakyat memaklumkan kepada saya mereka berasa begitu kecewa atas cacian dan penghinaan yang telah dilontarkan terhadap ayah saya. Malangnya ia daripada orang-orang UMNO dan BN sendiri.

"Ini mengguris hati mereka, maka dizahirkan melalui undi pada pilihan raya baru-baru ini," katanya.

Mukhriz juga berkata, DAP memberi perhatian istimewa kepada Dr. Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu masih berpengaruh dalam politik meskipun telah bersara lima tahun lalu.

"Malah Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah kecundang dalam pilihan raya yang diterajui pihak Barisan Nasional (BN) oleh Dr. Mahathir satu ketika dahulu.

"Jadi kalau 'badut' boleh kalahkan Karpal, jadi Karpal tu agaknya lebih teruk dari 'badut'lah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek pemasangan paip di Kampung Telaga Jambu, Pida 2, Jerlun di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, kenyataan Karpal yang meminta Dr. Mahathir berhenti mengkritik kepimpinan sedia ada jelas mempunyai kepentingan tersendiri.

"Setiap kali pihak pembangkang mengeluarkan kenyataan seperti itu khususnya Karpal, kita mesti ingin mengetahui kenapa?. Saya yakin beliau mempunyai sebab untuk berbuat demikian," katanya.

Ketuanan Melayu tercabar- Tengku Faris


UTUSAN : 12-04-2008

KUALA LUMPUR 12 April – Usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar, titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda bertitah, beberapa perkembangan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap suatu hari nanti.

“Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya lalu menunjukkan masyarakat Melayu berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan dari segi politik dan ekonomi,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Kira-kira 3,000 peserta menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dikenali sebagai Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).

Antara NGO terlibat ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Baginda menambah, orang Melayu kini juga semakin keliru tentang kedudukan benteng kekuatan mereka dalam usaha mempertahankan hak dan ketuanan Melayu.

Justeru baginda bertitah, perkara utama yang harus diketahui dan difahami ialah peruntukan Perlembagaan yang menegaskan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.

“Peruntukan berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

“Perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda turut mengingatkan orang Melayu pada masa depan supaya bijak berpolitik agar tidak berlaku keadaan ‘menang sorak kampung tergadai’.

Baginda bertitah, kini ada orang Melayu telah bertindak ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ yang akhirnya, menggadaikan masa depan bangsa hanya kerana marahkan pemimpin.

“Paling menyedihkan, ada pula yang taksub hendakkan kuasa sehingga bertindak membujur lalu, melintang patah asalkan dapat kuasa,” titah baginda.

Menurut baginda, lebih memburukkan perpecahan Melayu itu apabila ada pula sebilangan pemimpin Melayu sendiri yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa.

“Ini berbeza dengan pemimpin kaum lain yang sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.

“Selagi sikap seumpama ini tidak dikikis, maka selagi itulah usaha untuk menyatukan bangsa Melayu hanya akan menjadi satu impian sahaja,” titah baginda.

Justeru, baginda menyeru orang-orang Melayu supaya jangan hanya bercakap sebaliknya mesti bertindak dan menunjukkan hasil tindakan yang benar-benar mencapai matlamat yang disasarkan.

“Sekiranya ini dapat dicapai, beta amat berbangga dan sesungguhnya kedaulatan dan ketuanan Melayu akan terus kukuh dan terbilang dengan institusi raja-raja Melayu memayunginya.

“Sesungguhnya beta mempunyai impian dan harapan untuk melihat suatu keadaan di mana perbalahan dan perbezaan pendapat di antara semua pemimpin Melayu Islam itu dirungkai menerusi satu muzakarah yang diadakan secara tertutup, berhemah dan bijaksana,” kata baginda.

Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, baginda berharap segala perbezaan pendapat diketepikan dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara.

Tun akan berhenti bercakap bila..


UTUSAN : 12-04-2008

MINGGUAN: Dalam situasi sekarang bagaimana Tan Sri melihat kesan daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Dr. Mahathir?

MUHYIDDIN: Saya mempunyai penghormatan yang tinggi kepada Tun kerana saya tidak pernah melupakan jasa beliau kepada saya. Beliaulah yang melantik saya memegang jawatan dalam parti dan melaluinya saya mendapat jawatan dalam kerajaan.

Apa pun orang kata tentang Tun kita tidak boleh melupakan jasanya. Cuma mungkin beliau melihat situasi seperti mana saya katakan.

Tentu Tun pun peka dan sudah tentu beliau pun hendak bersuara. Ini bukannya pertama kali beliau bersuara, sudah bertahun-tahun.

Sebagai seorang tokoh pejuang Melayu dalam negara kita, beliau peka dengan apa yang berlaku dan mungkin beliau cukup bimbang melihat keadaan begini. Sebab itu beliau lebih terbuka untuk mengkritik, walaupun orang kata tidak sepatutnya beliau begitu kerana boleh menimbulkan masalah dalam UMNO.

Tetapi biarlah Tun mengeluarkan pandangannya, walaupun kadang-kadang kritikannya terlalu tajam sehingga ada orang mengatakan ia menjadi salah satu sebab kekalahan BN.

Namun saya tidak mahu menyatakan begitu kerana beliau agak terpanggil untuk berbuat sesuatu kerana Tun pernah memimpin parti.

Beliau tidak mahu parti ini hanyut maka beliau fikir Presiden parti harus bertanggungjawab , kita tidak perlu menyebelahi beliau atau tidak, kita mendengar pandangannya. Mungkin ada hikmah daripada apa yang beliau katakan untuk kita berfikir.

Walaupun ada orang marah dia tetapi ada juga orang menyokongnya. Semasa saya pergi ke Kedah, bukan main kuat menyatakan kenapa kita hendak mengkritik Tun.

Mereka kata empat kawasan Parlimen di Kedah yang dimenangi oleh BN, semuanya Tun pernah berperanan penting iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu dan Alor Star.

Saya tidak tahu bahawa mereka mempunyai kaitan yang begitu kuat kerana Kedah adalah negeri asal Tun .

Mungkin Tun sebagai orang lama melihat ''negeri aku pun sudah kalah.''

Oleh itu, bagi saya biarlah, kalau hendak diketemukan Tun dengan Pak Lah pun tergamam kedua-dua nak bercakap, pernah dulu mereka bertemu tetapi pertemuan itu tidak membawa apa-apa hasil pun.

Malahan ia tidak menutup mulut Tun untuk tidak berkata apa-apa. Kadang-kadang kritikan beliau tajam dan kita tidak seronok nak dengar tetapi kita nak cakap macam mana?

Agak sayalah, bila Tun mula melihat sudah ada perubahan berlaku, saya rasa beliau akan berhenti. Tun ada satu tujuan sahaja, tidak perlulah saya sebut apa tujuan itu, tetapi kalau beliau lihat ada satu inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang beliau fikir agak sesuai dilakukan, rasanya beliau tidak akan mengkritik lagi.

Saya tidak mahu menyokong sesiapa, tetapi saya mahu mengambil pandangan rasional iaitu beliau ada hak untuk bersuara biarpun kadang-kadang pedih dan pahit.

Kalau kita dalam situasi di mana kapal kita hendak tenggelam, apabila Titanic kita sudah mula menjunam sedangkan kita tidak berbuat apa-apa, saya tidak tahulah macam mana.

Kesal lantik Pak Lah - Tun kata

HARAKAH : 12-04-2008

KAJANG, 13 April (Hrkh) - "Persoalan sama ada saya kesal atau tidak pada waktu ini kerana melantik Abdullah sebagai Perdana Menteri, memang saya kesal. Sebab sewaktu saya pilih dia dulu, dia dikenali sebagai 'Mr Clean'. Dulu bukan main bersih."

Demikian antara penegasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu diajukan pertanyaan sama ada beliau menyesal melantik Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Persoalan tersebut ditimbulkan sewaktu sesi soal jawab bersama beliau dalam satu majlis bertajuk 'Krisis Kepimpinan Melayu Pasca PRU-12, Mana Silapnya' anjuran Umno Hulu Langat di salah sebuah hotel di sini, semalam

Mahathir menjelaskan, beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana telah terlalu lama memegang jawatan tersebut dan telah tiba masanya beliau menyerahkan kepada orang lain.

"...tetapi apabila saya pilih dia, rupanya Umno itu miliknya, milik keluarganya.

"Jika dia beritahu saya dahulu bahawa sebaik sahaja dia ambil alih, dia akan serahkan kepada orang kedua yang terdiri daripada Khairy Jamaluddin, Reezal Merican, tetapi sekarang payahlah saya hendak tarik balik.

"Memang saya kesal, tetapi saya tidak tahu keadaan ini akan berlaku,"katanya.

Sementara itu, beliau turut diajukan persoalan sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Abdullah kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihan raya kerana unsur sabotaj ahli-ahli BN sendiri.

Menjelaskan pertanyaan tersebut, jelas Mahathir dalam sebuah negara merdeka yang mengamalkan demokrasi, seseorang berhak mengundi sesiapa sahaja calon pilihannya.

Malah katanya, tindakan yang diambil ke atas orang yang mengundi calon pilihannya adalah tidak demokratik.

"Ini yang menjadi masalah kerana kita tidak faham cara yang demokratik. Dalam pemilihan pemimpin, tidak dibenarkan kita melantik 'si polan' sahaja.

" Dalam parti tidak ada demokrasi dan dalam negara tidak akan ada demokrasi,"tegasnya.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Mahathir menegaskan Abdullah seharusnya 'tanya dahulu pada diri sendiri' punca sebenar berlakunya sabotaj dalam pilihan raya lepas.

"Tanya dulu pada diri jika berlaku sabotaj, kenapa...Kenapa beliau mengatakan ahli BN sabotaj?

"Sebenarnya ahli Umno memilih parti lawan bukan kerana sayangkan parti lawan tetapi untuk menyampaikan maklumat bahawa 'parti awak', awak itu tidak betul.," katanya.

Dengan 'cara itu' katanya ahli Umno sebenarnya cuba menyedarkan kepimpinan namun pemimpin tidak sedar akan kesilapan mereka,"katanya.

Sementara itu, Mahathir turut mempersoalkan tindakan Abdullah yang dilihat tergesa-gesa mengadakan pilihan raya sedangkan beliau boleh menunggu sehingga 2009 untuk mengadakan pilihan raya.

Tambah Mahathir, BN berjaya mencapai kemenangan besar pada 2004 kerana rakyat belum melihat pencapaian sebenar Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2008, rakyat telah melihat sejauh mana pencapaian beliau.

"Rakyat sudah tidak tertarik, bosan dan mungkin meluat dengan kepimpinannya. Malangnya kepimpinan tetap tidak sedar,"katanya.

Mahathir juga turut mencuit hati tetamu yang hadir dengan kata-kata sinisnya terhadap bekas Timbalan Menteri Kewangan yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok, Dato' Dr Awang Adek Hussin.

"Bukan main lagi hendak menang, Awang Adek isytihar dialah bakal Menteri Besar dan gambarnya dijaja ke merata tempat. Inilah keadaan sebelum pilihan raya,"katanya.

Sementara itu, dalam sidang media itu beliau turut ditanya sama ada akan terus membuat teguran kepada kepimpinan Abdullah.

Jelas Mahathir bahawa beliau berhak untuk membuat teguran, walau siapa pun yang menjadi Perdana Menteri malah tegasnya, teguran itu bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk keseluruhan parti.

Perpaduan melayu tidak lagi bergantung kepada UMNO

HARAKAH – 12-04-2008

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh) - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu membuktikan bahawa Umno sudah tidak layak lagi menerajui bangsa dan umat Melayu setelah parti itu menghakis dan memupuskan keperibadian dan identiti Melayu selama memegang tunggak kuasa.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang berkata perpaduan dan survival Melayu sebenar akan dapat dipupuk bukannya melalui perubahan di dalam Umno sebaliknya melalui perubahan drastik terhadap sikap dan pendirian kerajaan Persekutuan yang masih di dalam tangan parti berkenaan.

"Umno ditolak dalam pilihan raya lalu kerana umat Melayu mahukan perubahan dan pembaharuan," katanya dalam satu kenyataan media yang dibuat dari Hospital Sultanah Nur Zahirah,Kuala Terengganu pagi tadi.

Kata Ustaz Hadi segala bentuk penjajahan minda orang Melayu yang dibelenggu oleh kehadiran peraturan dan perundangan yang dicipta oleh Umno perlulah segera dihapuskan bagi memastikan agenda perubahan dapat dilaksanakan.

Antaranya peraturan yang perlu dihapuskan ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menyekat kemajuan dan kebebasan berfikir mahasiswa dan pensyarah serta ahli akademik Melayu selama ini, katanya.

"Begitu juga media arus perdana, perlu dibebaskan agar orang Melayu dapat berfikir dengan lebih matang dan kritikal.

"Kerajaan perlu membenarkan wujudnya lebih banyak media yang bersifat ilmiah dan bukannya menjurus kepada hiburan yang menghayalkan semata-mata, yang banyak mencorakkan budaya dan pemikiran bangsa Melayu kini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan di bidang ekonomi, orang-orang Melayu jauh tercicir dan sering terpinggir apabila amalan-amalan ekonomi digunakan sebagai umpan dan rasuah untuk memperolehi sokongan dan kuasa.

"Pemberian subsidi dan bantuan kerajaan seolah menjadi hak dan percaturan Umno sehingga orang Melayu akhirnya tidak maju sebaliknya lesu dan tertipu," katanya.

Ustaz Hadi menjelaskan bahawa perpaduan dan kekuatan Melayu akan terbina jika orang-orang Melayu sentiasa disuntik dengan kesedaran beragama malah penyebaran dan dakwah serta kesedaran Islam perlulah dipulihkan segera.

"Selama ini jabatan-jabatan dan institusi agama diperkudakan oleh Umno untuk kepentingan dan kelangsungan politik mereka.

"Orang-orang Melayu yang tidak menerima kefahaman Islam sebenar akhirnya tidak menguntungkan bangsanya malah menjadi liabiliti kepada ummah," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang.

Jumaat, 11 April 2008

Ahli UMNO meluat dengan PM dan KJ ?

Umno disabotaj atau ahli meluat dengan PM dan Khairy?

HARAKAH : 10-04-2008

Umno/BN sekali lagi menyalahkan ahli-ahlinya yang dikatakan mensabotaj calon-calon Umno/BN dan menyebabkan kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Terbaru, bekas ahli Parlimen Tanah Merah, Ir Shaari Hassan mendakwa ada kalangan ahli yang mensabotaj selain berkempen memburuk-burukkan calon termasuk dirinya di Tanah Merah.

Pelbagai bukti ditampilkan Shaari termasuk risalah memburuk-burukkan beiau yang dikatakan dilakukan atas alasan sabotaj oleh ahli-ahli pada pilihan raya lalu.

Sebelum ini beberapa laporan turut menyebut dakwaan berlakunya sabotaj di kalangan ahli Umno ke atas calon yang dipilih kepimpinan Umno pada pilihan raya lalu.

Kekalahan besar Umno/BN pada pilihan raya lalu sesungguhnya memberi tamparan besar kepada parti itu hingga banyak suara mengkritik kepimpinan Umno/BN yang dikepalai Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antara yang paling vokal ialah, bekas Perdana Menteri, Tun DR Mahathir Mohamad yang lantang menyatakan Abdullah perlu bertanggungjawab atas kekalahan besar dalam sejarah ini termasuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir juga menyalahkan Abdullah sebagai pemimpin yang tidak mendengar nasihat dan pandangan orang lain sebaliknya hanya mendengar pandangan menantunya, Khairy Jamaluddin.

Senada dengan Dr Mahathir, anaknya, Dato' Mukriz Mahathir pula mengutus surat terbuka kepada Abdullah supaya melepaskan jawatan.

Perang terbuka itu menyebabkan Abdullah rimas, dan terpaksa menyerang kembali Mahathir dengan pelbagai tuduhan.

Namun paling menghangatkan suasana, Abdullah dikatakan cukup bimbang dengan suara-suara kalangan ahli yang dilaporkan mungkin mengintai peluang untuk menyokong calon-calon lain yang akan bertanding jawatan Presiden Umno termasuk veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Kini suasana dalaman Umno begitu kalut, jawatan Ketua Pemuda Umno mungkin menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru (mungkin antara Dr Mohd Khir Toyo, Mukriz Khairy Jamaluddin atau muka baru).

Semuanya gara-gara pada pilihan raya umum lalu mereka mengalami kekalahan besar kepada Pakatan Rakyat termasuk hilang lima negeri.

Umno mula kelemasan dan terpaksa mengalih isu bahawa kekalahan dalam pilihan raya umum lalu adalah kerana adanya sabotaj ahli-ahli terhadap calon yang ditampilkan.

Suka penulis merujuk kepada kenyataan Dr Khir Toyo semasa menyampaikan pandangan dalam Forum Umno Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 di Petaling Jaya 1 April lalu.

Dr Khir menyatakan bahawa beliau tidak menolak adanya campur tangan dalam pemilihan calon-calon yang mewakili Umno pada pilihan raya lalu.

Sementara Tun Mahathir pula menyimpulkan bahawa campur tangan Khairy menyebabkan mereka yang sepatutnya menjadi calon tidak dapat bertanding dalam pilihan raya lalu.

Ia katanya menyebabkan rakyat meluat kepada Umno/BN selain kemarahan rakyat ke atas kepimpinan Abdullah yang sangat lemah dan ekonomi yang tidak menentu.

Justeru, dakwaan Ir Shaari (Tanah Merah) bahawa ahlinya mensabotaj mungkin benar, kerana ahli Umno sudah meluat dengan kepimpinan yang ada hari ini.

Malah mungkin juga ahli Umno sudah mula mencatur strategi untuk menyertai Pakatan Rakyat yang dilihat lebih dominan membantu rakyat hari ini.

Ahli UMNO patut henti beri sokongan kepada Pak Lah


HARAKAH : 08-04-2008

KUALA LUMPUR, 7 Apr (Hrkh) - Sudah sampai masanya ahli-ahli Umno mempertimbangkan semula sokongan mereka kepada pemimpin parti itu setelah usaha dan sokongan mereka tidak dihargai langsung, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Kasihan ahli-ahli Umno yang berpuluh-puluh tahun bertungkus-lumus untuk memenangkan parti mereka.

"Baru kali ini parti mereka mengalami kekalahan teruk, mereka yang dipersalahkan kononnya kerana mensabotaj parti sendiri," kata beliau.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja enggan mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti yang dipimpinnya malah menyalahkan sesiapa sahaja dan apa jua perkara kecuali diri sendiri.

Beliau menyifatkan sikap Abdullah itu sebagai "memalukan ahli-ahli Umno kerana mempunyai pemimpin seperti itu".

"Dengan membutakan matanya kepada kemarahan rakyat terhadap pentadbirannya yang banyak memudaratkan negara ini, beliau berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) jika tidak disabotaj ahli-ahli sendiri.

"Seputih mana pun penarafan yang diberikan kepada sesuatu kawasan oleh jentera partinya, Perdana Menteri tidak boleh kata kawasan-kawasan itu dijamin menang. Mana boleh jamin dan atasi kuasa Allah yang membolak-balikkan hati?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Mahfuz meminta Perdana Menteri supaya "beristighfar banyak-banyak," memuhasabahkan diri sendiri serta berundur seberapa segera bagi menyelamatkan negara ini.

"Contohilah tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang enggan menjadi menteri untuk mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk partinya atau Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menawarkan diri untuk mengundur diri," kata beliau.

Ku Li lemah di Kelantan, apa beza dgn Pulau Pinang?


HARAKAH : 08-04-2008

Tertekan sungguh nampaknya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mutakhir ini. Belum pun terubat rasa malu dan kecewa atas kekalahan teruk partinya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 bulan lalu, satu demi satu masalah dan kerenah anak-anak buahnya pula yang terpaksa dihadapinya kini.

Barisan Nasional (BN) bukan saja gagal merampas Kelantan daripada PAS, tetapi hilang empat lagi negeri ke tangan pakatan parti-parti pembangkang. Itu sudah cukup memeningkan kepala Abdullah.

Tambah mengusutkan keadaan, BN turut hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. Keadaan itu belum pernah dialami kerajaan pemerintah atas nama BN. Kali terakhir ia berlaku ialah kepada kerajaan Perikatan pada Pilihan Raya Umum 1969 lalu.

Namun, apakah yang lebih memalukan seorang Perdana Menteri selain tawarannya melantik anggota kabinet ditolak oleh ahli partinya sendiri? Belum pernah berlaku dalam sejarah pembentukan kabinet BN, dua Ahli Parlimennya yang dinamakan sebagai timbalan menteri menolak pelantikan mereka.

Ahli Parlimen Jerantut, Dato' Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar. Rakan sejawatnya Ahli Parlimen Kimanis, Dato' Anifah Aman pula menolak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan. Kedua-dua mereka dilaporkan menemui Abdullah pada petang sama Perdana Menteri mengumumkan senarai kabinet barunya, 18 Mac lalu.

Serba-serba bagaikan tidak menjadi buat Abdullah. Tindakan nekadnya menggugurkan beberapa menteri kabinet yang berjaya mempertahankan kerusi ditandingi mereka dalam pilihan raya bulan lalu bagaikan tidak dihargai.

Percaturannya dalam menyusun anak-anak buahnya mendapat tentangan pelbagai pihak, sama ada yang menjadi mangsa pengguguran mahu pun pihak yang tidak berpuas hati dengan jawatan ditawarkan.

Ada lagi yang lebih memeningkan Abdullah. Anak-anak buahnya di Sabah dan Sarawak dikatakan turut tidak berpuashati meskipun telah diberikan sejumlah jawatan menteri penuh dan timbalan menteri. Kedua-dua negeri dikatakan mengambil kesempatan atas keadaan terdesak BN Pusat yang sangat bimbangkan kesetiaan mereka kini. Mereka didesas-desuskan akan meninggalkan BN dan menyertai pembangkang.

Justeru, Abdullah terpaksa memujuk mereka agar terus setia. Mereka pula menuntut bayaran lebih besar atas kesetiaan mereka menjamin kelangsungan kerajaan Pusat. Mereka bukan sahaja menuntut diberikan lebih banyak kuota dalam kabinet, malah turut mengemukakan beberapa tuntutan lain.

Dalam keadaan tercari-cari satu pasukan yang mantap dan kuat untuk menghadapi keadaan segenting kini, Abdullah dapati timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak banyak membantu. Sebaliknya, Najib lebih banyak membisu, termasuk terhadap tuntutan agar Abdullah mengundurkan diri daripada kepimpinan parti dan kerajaan.

Di masa sama, kumpulan demi kumpulan ahli partinya tampil mendesak Abdullah meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno. Malah, ada yang mahukan jawatan itu dipertandingkan secara terbuka, tanpa perlu ada prasyarat kuota pencalonannya.

Telah banyak ulasan dan komen Abdullah tentang cabaran ahli-ahlinya sendiri agar beliau memberikan laluan kepada tokoh lain pula memimpin parti dan kerajaan. Ada ketika beliau mempertahankan pendiriannya untuk terus kekal. Di ketika lain, beliau menganggap desakan terhadapnya agar mengundurkan diri sebagai tidak wajar, sedangkan partinya masih kukuh dan dapat memerintah dengan baik.

Namun nampak benar Abdullah tidak begitu berwibawa dalam menepis serangan orang terhadapnya. Hujah dikemukakannya tidak kukuh, susun atur ayatnya juga tidak boleh memulangkan paku buah keras kepada penentangnya.

Media elektronik malam tadi (Ahad) sekali lagi menyiarkan komen spontan Abdullah terhadap desakan tersebut. Beliau antara lain mengulas usaha semakin rancak oleh Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mencabarnya untuk jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti hujung tahun ini.

Alasan diberikan Abdullah untuk menidakkan keupayaan Ku Li menerajui Umno sangat dangkal. Beliau mengatakan selama ini anak raja Kelantan itu tidak memberikan apa-apa sumbangan untuk mengembalikan Kelantan kepada BN.

Dengan hujah itu, Abdullah jelas sekali terikut-ikut hujah sama yang pernah dilontarkan anak-anak buahnya sebelum ini, bahawa daripada sibuk merawat parti di peringkat nasional, adalah lebih baik Ku Li terlebih dahulu buktikan keupayaannya merawat BN di Kelantan.

Tidak dinafikan sepintas lalu, hujah itu ada kewajarannya. Bagaimana mungkin seorang pemimpin menawarkan diri menerajui parti di peringkat nasional jika kepimpinan parti di peringkat negerinya sendiri pun beliau gagal kuasai? Apatah lagi, dalam membuktikan keupayaannya memimpin parti ke arah kejayaan, Ku Li boleh dikatakan gagal apabila Umno/BN kalah teruk di negerinya sendiri, Kelantan dalam pilihan raya umum lalu.

Namun, tidakkah kita terfikir bahawa dengan mengemukakan hujah itu sebagai senjata utama mematahkan serangan Ku Li, Abdullah sebenarnya turut mendedahkan dirinya kepada peluru yang sama? Bukankah negeri Abdullah sendiri, Pulau Pinang juga gagal dipertahankan BN?

Bahkan, jika dari segi perkiraan politiknya, kegagalan Abdullah mempertahankan Pulau Pinang boleh dianggap lebih besar dan lebih memalukan berbanding kegagalan Ku Li menawan semula Kelantan. Dalam parti, Abdullah adalah presiden. Dalam kerajaan, dia adalah Perdana Menteri. Sebagai perbandingan, apa yang ada pada Ku Li dalam parti dan kerajaan?

Secara tradisi pula, kekuatan PAS di Kelantan bukan tandingan BN. Kelantan telah diperintah PAS sejak pilihan raya umum pertama selepas merdeka hingga 1978. Era keduanya bermula 1990 hingga sekarang. Isu bagi Ku Li di Kelantan ialah merampas negeri itu yang telah menjadi milik orang sejak sekian lama. Ia bukan suatu kerja yang mudah.

Ada pun Pulau Pinang, ia diperintah BN sejak 1971, apabila Parti Gerakan yang menang pada 1969 meyertai BN. Sebelum itu pun sejak merdeka lagi ia telah diperintah BN (atas nama Perikatan) sehingga pilihan raya 1969 itu.

Kes Pulau Pinang ialah kejatuhan atau kehilangan kerajaan yang elok-elok diperintah BN. Sedangkan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri adalah Abdullah sendiri.

Kita bukan hendak menyebelahi Ku Li. Bagi kita pembangkang, siapa saja pun menjadi Presiden Umno, dia tidak akan memberikan kebaikan secara mudah kepada pembangkang.

Namun, dalam nilaian politik kita, Perdana Menteri yang ada kini sudah semakin menyerlahkan ketidakwibawaannya untuk terus memimpin negara. Barangkali tepat sebagaimana disuarakan banyak pihak, bahawa sudah sampai masanya untuk Abdullah berundur dari parti dan kerajaan!

Tun kata : UMNO akan hancur jika Pak Lah kekal

HARAKAH : 08-04-2008

Ketika presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi penjelasan tentang ketewasan buruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac, Tun Dr Mahathir Mohamad terus menghalakan kritikannya kepada penggantinya itu.

"Kalau orang ini tidak ada (di tampuk kekuasaan), mereka (pengundi) akan kembali kepada Umno," katanya, selepas mengulangi kecaman kepada Abdullah dan "ahli keluarganya" dalam siri kritikan kedua minggu ini.

Dr Mahathir melancarkan siri pertama di sebuah hotel di Petaling Jaya awal minggu ini.

Beliau menjawab satu pertanyaan peserta yang ingin mengetahui langkah-langkah kedepan yang boleh diambil parti itu selepas kepemimpinan Abdullah dikatakan gagal menyelamatkan kemerosotan undi BN dan Umno baru-baru ini.

"Penerangan harus dibuat, termasuk cakap-cakap di kedai kopi," katanya, sambil menambah ahli Umno mesti memilih pemimpin yang berani bercakap, dan bukan tukang angguk.

Menjawab satu lagi soalan tindakan selanjutnya jika tiada pemimpin Umno berani mencabar Abdullah untuk jawatan presiden pada pemilihan agung Umno Disember ini, Dr Mahathir mencadangkan ahli berkempen bagi menjayakan mesyuarat khas (EGM) untuk memansuhkan sistem kuota pencalonan.

"Majlis Tertinggi boleh cadang agar buat EGM," katanya.

Bagaimanapun beliau sendiri melahirkan rasa ragu-ragu majlis ini boleh membuat cadangan itu kerana rata-rata ahlinya disifatkannya dipenuhi tukang angguk.

"Kita nak minta diadakan rapat umum supaya kita boleh bercakap sikit," tambahnya. "(Abdullah mendakwa) semua orang menyokong dia, kenapa dia takut?"

Selain Abdullah, sasaran kegemaran beliau termasuklah menantu perdana menteri dan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

"Kalau kita benarkan menantu mentadbir negara, akan hancurlah negara kita," kata Dr Mahathir.

Sebelum itu, beliau mengulangi penjelasannya pada Selasa bahawa kekalahan teruk itu disebabkan ahli-ahli Umno sendiri mengalih sokongan kepada pembangkang sebagai satu "mesej" kepada kepemimpinannya.

"Tidak mungkin (pembangkang) menang banyak kalau orang Umno tidak mengundi parti lawan kerana (mereka) kecewa kepada kepemimpinan yang ada," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, dalam pertemuannya dengan ketua-ketua penerangan Umno negeri, Abdullah mendedahkan BN, khususnya Umno, tewas di 14 kerusi parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) angkara sabotaj ahli-ahli sendiri.

Tanpa sabotaj itu, tambahnya, BN dapat mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN mendapat 140 kerusi parlimen - kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Umno tewas di 31 kerusi parlimen apabila hanya mampu mempertahankan 78 daripada 109 kerusi yang dimenanginya pada 2004.

Menurut Abdullah lagi, jika tidak berlaku sabotaj dalam kalangan ahli-ahli Umno di 22 kerusi DUN tersebut, BN tidak akan kalah di Kedah dan Perak.

Menurutnya, semua kerusi parlimen dan DUN terbabit merupakan "kawasan putih" dan BN tidak menghadapi masalah untuk memenanginya.

Dr Mahathir mengambil kesempatan hari ini untuk menjawab beberapa kritikan kepadanya dalam tempoh beberapa hari ini selepas serangan awalnya pada 1 April.

"Semua serang saya, dengan nada yang sama. Tentulah ada arahan," katanya dalam program 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir' di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Menjawab kritikan ahli Majlis Tertinggi (MT) Dato' Ahmad Shabery Cheek, Dr Mahathir memulangkan paku buah keras dengan mengingatkan bahawa menteri penerangan itu sendiri terlibat dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) - parti yang dituduh punca perpecahan utama Umno.

"Dia lupa, dia datang daripada Semangat 46," kata Dr Mahathir, sambil menjelaskan bahawa beliaulah yang menghidupkan kembali Umno sehingga keahliannya kini lebih tiga juta orang selepas diharamkan susulan krisis pemilihan agung Umno 1987.

"Siapa yang memulihkan kembali Umno? Sambutan begitu baik, ada ahli tiga juta orang," tambahnya.

Kelmarin, Ahmad Shabery menggesa mantan presiden Umno itu tidak memecah-belahkan Umno sehingga parti itu diharamkan pada 1988.

Mengulas kenyataan Dato' Seri Zainuddin Maidin yang mendakwa bekas ketuanya itu turut menjadi faktor penyumbang prestasi buruk BN baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ada pihak beranggapan "ahli Umno bodoh dan tidak pandai membuat pilihan."

Walaupun pada pilihanraya umum 1999 BN mengalami ketewasan teruk tetapi ia masih berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga, katanya.

"Orang Cina memberi sokongan begitu kuat sekali. Orang Melayu kecewa kerana kes mata lebam (terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim). Orang Melayu kasihan tengok orang sakit... (Mereka) bukan mempertikai kepemimpinan saya," kata Dr Mahathir.

Kira-kira 600 penyokong Umno, termasuk beberapa pemimpin lama, menyertai majlis tersebut.

Turut berucap di majlis itu termasuklah bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan penganjur majlis, ketua cawangan Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman.

Ahli UMNO sabotaj?


HARAKAH : 08-04-2008

Semalam Abdullah Ahmad Badawi merungut dan membebel di hadapan satu sidang akhbar yang disediakan khusus sebagai platform untuk beliau meluahkan perasaannya.

Bukan mudah untuk kita (warga Malaysia) mendapat peluang untuk mendengar rungutan dan bebelan perasaan secara terus dari mulut Abdullah Ahmad Badawi.

Di sini kita dapat lihat betapa Abdullah Ahmad Badawi tidak mempunyai satu karisma untuk menjadi pemimpin besar. Baharu kena komen dan ulasan dari pelbagai pihak sudah tidak dapat duduk diam.

Malah melalut tidak tentu hala dan mengeluarkan ulasan yang tidak kena hujung pangkalnya. Jika beginilah sikap dan perangai Abdullah Ahmad Badawi, maka tidak sewajarnya beliau berada dianjung kuasa. Cara yang ditunjukkannya bukanlah cara pemimpin, tetapi cara budak-budak hingusan.

Abdullah Ahmad Badawi semalam telah membebel mengenai beberapa tindakan yang Mahathir Mohammed dan Tengku Razaleigh lakukan. Malah beliau juga mengambil kesempatan untuk menghentam Mukriz Mahathir secara berkias.

Semuanya dilakukan demi untuk menguatkan hujahnya bahawa Khairy Jamaluddin tidak menguasai beliau. Namun semua orang (waima wartawan asing) pun tahu betapa pengaruh Khairy Jamaluddin sememangnya menguasai Abdullah Ahmad Badawi.

Namun satu hujah beliau yang saya rasakan amat melucukan bila mana Abdullah Ahmad Badawi mengatakan bahawa kekalahan Barisan Nasional (Umno) di Kedah dan Perak adalah disebabkan oleh sabotaj dalaman.

Apakah maknanya sabotaj dalaman ini? Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Abdullah Ahmad Badawi adalah ramai ahli @ penyokong Barisan Nasional diperingkat akar umbi membuat satu sabotaj sehinggakan kekalahan besar BN di kedua-dua negeri ini.

Apa yang pasti tindakan Abdullah Ahmad Badawi yang menyalahkan para penyokong Barisan Nasional di kedua-dua negeri ini pastinya akan melukakan hati banyak pihak. Tindakan Abdullah Ahmad Badawi ini seperti bidalan "tuangkan minyak ke dalam api" yang mana ianya satu tindakan yang paling bodoh dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi (beliau terkenal kerana suka bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu).

Kini bukan sahaja Abdullah Ahmad Badawi bermusuh dengan parti pembangkang, Mahathir Mohammed, Tengku Razaleigh namun dengan semua penyokong Barisan Nasional di negeri Kedah dan Perak.

Nampaknya Abdullah Ahmad Badawi memang suka mencari musuh. Tindakan menyalahkan ahli sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai satu tindakan terdesak untuk menaikkan imej. Namun seperti mana semua pihak tahu, kesan jangkamasa panjangnya adalah lebih lagi. Abdullah Ahmad Badawi memang terkenal suka bercakap tanpa berfikir.

Nampak gayanya Abdullah Ahmad Badawi pasti akan kecundang dalam pemilihan Umno yang akan datang kerana beliau telah membuat terlalu ramai musuh. Tindakan bodoh yang dilakukan olehnya (menyalahkan ahli) pastinya akan dikenang selamanya.

Nasihat peribadi saya kepada Abdullah Ahmad Badawi, sila jangan banyak bercakap dan lebihkan usaha. Adalah lebih baik Abdullah Ahmad Badawi melantik Khairy Jamaluddin menjadi jurucakap bagi pihak dirinya (Perdana Menteri Malaysia) supaya terserlah kepimpinan Khairy Jamaluddin.

Lagi banyak Abdullah Ahmad Badawi suarakan yang menjurus kepada menyalahkan ahli dan penyokong Barisan Nasional, lagi bahaya kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno (Barisan Nasional). - ketuaperusuh.wordpress.com