Ahad, 13 Julai 2008

Teras kesal gejala fitnah orang politik semakin berleluasa


HARAKAH : 04-07-08

Teras memberi perhatian berat terhadap gejala fitnah yang dikatakan menjadi leluasa dalam senario politik Malaysia.

Kenyataan PM kelmarin bahawa adanya budaya menokoktambah sesuatu berita serta menyibarkan fitnah dalam politik negara bagi Teras bukan suatu yang baru.

Kita boleh mengarang ribuan buku mengenai budaya fitnah dalam politik negara ini jika kita mahu.

Akan tetapi yang sepatutnya menjadi perhatian PM ialah bagaimana fitnah menjadi wasilah yang subur dalam politik negara. Apakah yang menyuburkan budaya ini?

Bukankah di negara ini dalam sistem pemerintahan melalui politik itu sendiri menyedia ruang dan peluang menjadi kaya raya dan senang lenang bila mendapat jawatan dan kuasa.

Lihat sahaja kesenangan mereka yang menjawat jawatan politik tinggi dalam UMNO. Budaya hidup peribadi dan ahli keluarga yang bermewahan dan gaya hidup "super lumayan menjadi jenama dalam kepimpinan UMNO itu sendiri.

Bukahkah setiap kali pemilihan MT UMNO itu sendiri diakui sebagai musim yang biasa bermulanya budaya politik wang dan budaya menfitnah yang sangat berleluasa dari dulu sehingga sekarang ?

Bukankah kerana keistimewaan yang sangat lumayan dapat diperolehi dari jawatan politik yang disandang oleh seseorang dalam UMNO itu menjadi pengetahuan umum.

Teras dengan itu berpendapat fitnah untuk merebut jawatan , fitnah untuk mendapat projek dan fitnah untuk menjatuh seseorang menjadi sangat lumrah di Malaysia khususnya dalam kerajaan sendiri.

Sementara Teras juga sangat memberi perhatian yang serius terhadap gejala ini , kami juga berpendapat tidak ada cara lain melainkan menilai semula sistem politik yang sedia ada.

Tidak ada cara jalan keluar melainkan nilai dan pegangan politik berdasarkan ketaqwaan kepada Allah sepatutnya menjadi elemen utama untuk dijadikan pegangan dikalangan ahli politik orang Islam khususnya.

Sementera itu juga adalah menjadi sangat penting agar kemewahan mereka yang mendapat jawatan tinggi ketika menjadi pemimpin negara segera dibasmi.

Sistem yang meletakkan mekanisme praktikal yang menjadikan jawatan sebagai suatu amanah dan bukan kesempatan untuk hidup selesa dan mewah mestilah dirangka.

Teras berpendapat yang menjadi kesilapan besar kepimpinan negara terutama UMNO ialah terhakisnya nilai ketaqwaan yang sepatutnya menjadi nilai Teras dalam perjuangan.

Sebaliknya apa yang telah berlaku dalam UMNO ialah berjangkitnya nilai perjuangan yang sarat dengan mengejar kekayaan dan membolot kemewahan.

Bukan sedikit kepimpinan Melayu telah tercemar dengan nilai keangkuhan dan besar diri bila berhadapan saat dengan menegakkan kebenaran dan keadilan. Bukan sedikit kebenaran dan keadilan dipinggirkan hanya kerana pihak tertentu yang memegang kuasa ingin memastikan dirinya selamat dari didakwa.

Kenapa baru sekarang PM bercakap mengenai fitnah =? Kini setelah jawapan dan tindakbalas dari pihak yang merasa dirinya benar-benar telah dianiayai akibat budaya politik kotor yang menyerang peribadi seseorang yang menjadi pesaingnya, barulah ditimbulkan soal fitnah.

Yang jelas akibat dari budaya fitnah yang berleluasa yang sememangnya cuba diselindungi ini pihak kepimpinan sendiri itulah yang mencetuskan kegawatan ini.

PM tidak harus mengeluarkan isyarat seolah beliau mahu semuanya diserah kepada pihak polis untuk menyiasat padahal beliau juga membiarkan media arusperdana menjadi penyebaran kenyataan-kenyaatan fitnah seklaigus telah menghukumkan pihak yang cuba mempertahankan dirinya.

Teras mengesa agar semua pihak kembali kepada perintah Allah yang muktamad bila berhadapan dengan tuduhan yang berbaur fitnah iaitu Surah Al Hujurat : 6"

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Teras

0 ulasan: