Ahad, 13 Julai 2008

Pelan peralihan kuasa kukuh perpaduan: PM


BERITA HARIAN : 13-07-08

Usaha pembangunan negara terus jadi tumpuan utama

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelan peralihan kuasa yang diumumkannya kelmarin dijangka memperkukuhkan perpaduan Umno dan kedudukan kerajaan untuk menumpukan kepada usaha melaksanakan janji dalam pilihan raya umum lalu.

Perdana Menteri juga berkata dengan itu, beliau dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dapat menumpukan kepada usaha pembangunan negara, malah akan bekerja lebih keras.

"Saya akan kekalkan rentak sama. Saya tidak akan memperlahankannya. Hakikatnya saya sekarang perlu melakukan lebih lagi," katanya kepada Bernama dan Radio RTM dalam temu bual khas di Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, semalam.

Abdullah melahirkan keazamannya menerusi kombinasi beliau dan timbalannya akan memperkukuhkan lagi Umno dan meraih sokongan lebih ramai rakyat.

"Kita perlu mendapatkan keyakinan rakyat," katanya.

Ditanya sama ada langkah beliau untuk mengundur diri secara sukarela pada 2010 adalah pengorbanan beliau kepada parti dan negara, Abdullah berkata: "Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya."

Mengenai calon Timbalan Perdana Menteri selepas peralihan kuasa itu berlaku, Abdullah berkata, beliau menyerahkan kepada Najib untuk menentukannya.

"Tak elok saya tentukan. Biarlah dia (Najib) tentukan," katanya.

Abdullah berkata, beliau yakin Najib tidak akan menghadapi masalah untuk memilih timbalannya kelak kerana ada banyak pemimpin Umno yang berwibawa.

Menghuraikan kebaikan pengumuman peralihan kuasa itu kepada Umno, Abdullah berkata, ia akan membolehkan anggota parti berasa reda terutama dalam memastikan pemilihan parti di semua peringkat berjalan dengan baik.

Ditanya
mengapa 2010 dipilih dan bukannya tahun-tahun lain, Abdullah berkata, beliau hendak memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berakhir pada 2010 terutama dalam aspek menghapuskan kemiskinan tegar.

Beliau juga mahukan hasrat membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman dan usaha memerangi rasuah tercapai.

Abdullah berkata, tempoh dua tahun itu juga akan memberi peluang kepada Najib untuk membuat persediaan yang lebih baik sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan parti.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan lebih 30,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sempena majlis penyerahan memorandum menyokong kepemimpinannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam, Abdullah berkata, rakyat perlu membuang semua perkara yang memberi persepsi negatif dan meracuni pemikiran mereka jika mahu melihat bangsa dan negara terus maju pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu tanam dalam diri bahawa tiada istilah kegagalan dalam kamus hidup dan berjuang menjadi bangsa berjaya.

"Jangan ada persepsi yang meracuni pemikiran dan pandangan negatif dalam diri sehingga kita dikalahkan oleh diri kita sendiri.

"Kita perlu tanam dalam diri bahawa tiada istilah kegagalan dalam kamus hidup dan perjuangan menjadi bangsa yang berjaya. Kita kena bencikan kegagalan dan buang jauh-jauh daripada dalam diri kita.

"Mahu seribu daya... sentiasa fikirkan kita boleh buat apa yang kita mahu dan jika gagal kena cepat-cepat bangkit dan perbetulkan keadaan," katanya.

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) hadir pada majlis itu bersama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebanyak 150 NGO dari seluruh negara bergabung di bawah naungan Yayasan Aminul Ummah Malaysia berkumpul di PICC sejak jam 11 pagi, bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Abdullah untuk membawa kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan keamanan negara.

0 ulasan: