BERITA HARIAN : 13-07-08
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memperkatakan pelan peralihan kuasa dan cabaran yang dihadapi dalam temu bual bersama wartawan Berita Minggu, Rasid Rahaman dan Ziauddin Sharuddin
PERDANA Menteri mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada pertengahan 2010 dengan menamakan Datuk Seri sebagai pengganti. Apakah pandangan Datuk Seri berhubung pelan peralihan kuasa ini?
Apabila pelan ini diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pelbagai reaksi timbul, terutama tempoh masa. Paling penting ialah Perdana Menteri (PM) dan saya mencapai kata sepakat berhubung pelan itu dan paling utama bukan hanya jawatan itu, tetapi apa yang hendak dilakukan apabila memegang jawatan itu.
Perhitungan utama saya ialah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Pelan perali-han kuasa itu memberi saya masa mencukupi untuk membuat persediaan sebagai pemimpin utama menghadapi pilihan raya itu.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memilih saya sebagai penggantinya melalui peralihan kuasa ini.
Adakah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno bersetuju terhadap pelan itu?
Tiada yang membangkang. Ini juga adalah antara ketetapan dalam Program
Apakah ini dapat menamatkan pelbagai tanggapan di luar yang sebelum ini mahu tarikh itu dinyatakan secara jelas?
Ramai orang tidak boleh terima pelan peralihan kuasa melainkan ditetapkan tarikh. Apabila perkara ini dibincangkan pada peringkat MT, mereka kata, kalau hendak meyakinkan orang ramai, termasuk pada peringkat akar umbi, tarikh peralihan kuasa mesti diumumkan. Walaupun rundingan adalah antara saya dan Presiden parti, tetapi kami berdua perlu mengambil kira suara ramai.
Tempoh 24 bulan cukup panjang dan macam-macam boleh berlaku?
Peribahasa Inggeris ada menyebut 'A week is too long" (seminggu adalah terlalu panjang). Dalam politik, macam-macam boleh berlaku dalam seminggu. Pelan ini mempunyai kelainan kerana peralihan kuasa dilakukan secara berperingkat oleh PM kepada saya.
PM berhasrat mendedahkan saya terhadap selok-belok pentadbiran dalam negara dan luar negara. Mulai tahun ini, PM meminta saya menghadiri per-sidangan yang biasanya beliau hadiri bermula dengan Dialog Selatan Afrika di Zambia pada hujung bulan ini. Kemuncaknya adalah saya akan berucap mewakili negara di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau kata saya memerlukan ruang untuk membina jaringan peringkat antarabangsa dan untuk mereka mengenali saya. Begitu juga tahun depan dan seterusnya, ada beberapa langkah yang akan dibuat oleh PM.
Persediaan dalam negara?
Saya diamanahkan oleh PM untuk mempengerusikan banyak Jawatankuasa Kabinet dan jawatankuasa ad hoc untuk menangani pelbagai isu. Kedua, hampir semua jawatankuasa yang dipengerusikan PM, jika tidak sebagai Timbalan Pengerusi, saya akan menjadi anggota jawatankuasa itu. Ketiga, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Kabinet ketika ketiadaan PM.
Dari segi politik, saya sebagai Timbalan Presiden Umno, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno akan menjalankan tugas dari hari ke hari. Orang kata banyak pengurusan harian dirujuk kepada saya kecuali soal dasar besar yang dibawa kepada Presiden parti.
Dua tahun adalah tempoh panjang untuk menerima pelbagai tuduhan seperti yang berlaku sekarang. Tidakkah ini menjejaskan Datuk Seri?
Saya menghadapi pelbagai serangan sejak pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok. Ini bukan perkara baru bagi saya. Kalau kita tidak buat salah, apa yang patut kita takut. Saya sedar bahawa dalam politik, ini adalah permainan public opinion (tanggapan umum) yang berkaitan dengan soal persepsi dan bukan realiti serta kebenaran.
Sebab itulah semalam pada perhimpunan (taklimat khas Presiden dan Timbalan Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra) Khamis lalu, saya bersumpah Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa saya tidak mengenali Altantuya (Shaaribu) sama sekali. Mereka yang berada dalam perhimpunan bertepuk dengan gemuruh dan ada yang sambut dengan takbir.
Bagaimana menghadapi sasaran tohmahan yang semakin kerap?
Saya boleh jawab sebab semua ini sebenarnya adalah permainan politik. Sebab itulah, saya tidak berasa runsing dan ketika perhimpunan itu, saya boleh bersumpah atas nama Allah bahawa saya tidak mengenali Altantuya yang dijadikan isu untuk menyerang saya. Isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) juga membuat laporan polis mengenai Akuan Bersumpah oleh Raja
Tidak ada apa yang saya rasa khuatir dan bimbang. Kita faham ini adalah percubaan untuk membuatkan persepsi rakyat terhadap saya begitu negatif. Jika mereka tidak percaya, sekurang-kurangnya mereka sangsi terhadap saya. Itu sudah cukup. Mereka juga buat begini untuk mengalihkan perhatian daripada masalah mereka sendiri, sedangkan apa yang mereka hadapi adalah lebih berat kerana ada tuduhan yang khusus.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan bahawa tempoh peralihan kuasa terlalu lama. Pandangan Datuk Seri?
Kita tetap hormat pandangan beliau, tetapi kita perlu sedar bahawa keputusan ini mesti dibuat secara kolektif. Setiap pemimpin ada pandangannya, tetapi akhirnya kita mesti membuat keputusan secara kolektif. Itulah yang dibuat oleh MT Umno.
Ahli Umno menunggu tarikh (peralihan kuasa) dan tarikh sudah diberikan. Selaras dengan pendirian kebanyakan Badan Perhubungan Umno (tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti), sepatutnya ini tidak menjadi isu. Parti juga sepatutnya boleh menerima serta merapatkan barisan dan meneruskan usaha menguatkan parti.
Pemilihan parti kian hangat diperkatakan. Apakah parti mampu menahan kemungkinan perpecahan akibat pertandingan sengit?
Pertandingan paling sesuai adalah pada peringkat Naib Presiden dan ke bawah. Pertandingan lebih atas boleh membawa akibat buruk dalam parti. Walaupun orang sangat seronok dengan pertandingan kerana pelbagai sebab, tetapi akibat pertandingan banyak yang tak fikirkan.
Pertandingan peringkat Presiden pada 1987 menyebabkan Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan dan sekumpulan ahli dalam Umno keluar parti. Kita kalah di Kelantan hingga hari ini tak dapat tebus balik. Krisis antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, pula memberi kesan pada Pilihan Raya Umum 1999 apabila kita kalah di Terengganu dan Kelantan terus kalah.
Dalam keadaan kita kalah di beberapa negeri baru-baru ini pun, Umno pula berbalah lagi yang boleh menyebabkan rakyat bosan terhadap Umno. Rakyat kata apalah Umno asyik berebut jawatan. Mungkin ada pandangan yang terlalu negatif dan boleh membawa kepada akibat yang sangat serius kepada kedudukan kita pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimana jika akar umbi parti mahu Datuk Seri bertanding jawatan Presiden?
Saya sudah buat ketetapan, maka saya mesti terikat kepada keputusan saya seperti Presiden mesti terikat dengan keputusannya. Barulah ada makna kepada pengumuman itu. Saya kena pertahankan jawatan saya, tak lebih daripada itu.
Umno adalah parti demokratik. Sebab itulah saya merayu kepada parti supaya menerima pelan peralihan kuasa ini. Kalau kita dapat menerangkan dengan jelas pelan itu dan diterima, mereka tidak akan mencalonkan orang lain.
Datuk Seri yakin rakyat akan menerima proses peralihan kuasa ini?
Insya-Allah dan keyakinan mereka itu perlu diukur. Kita tidak boleh kata mereka terima, kita kena buat penjelasan, turun padang, tunjukkan keberkesanan dasar kita dan ujian terbesar adalah pilihan raya ke-13.
Apa yang sebenar berlaku dalam Umno hingga menyebabkan penyokong parti sendiri mengundi pembangkang?
Sebenarnya ada banyak faktor. Umno juga ada pelan pemulihan yang kita buat secara terancang. Ini termasuk peralihan kuasa secara tersusun, terhormat, bersopan dan inilah yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Beliau berjiwa besar kerana bukan senang hendak melepaskan jawatan.
Saya katakan ketika taklimat khas tempoh hari tuan-tuan sebagai ketua bahagian hendak lepaskan jawatan pun susah. Nak lepaskan jawatan ketua kampung pun susah. Maknanya Perdana Menteri menerima hakikat bahawa ramai yang mahukan perubahan, tetapi perubahan mesti dilakukan secara bersopan dan mengikut tradisi dan konvensyen Umno.
Apa pandangan Datuk Seri terhadap tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus mendakwa Ahli Parlimen BN akan melompat menyertai Pakatan Rakyat dengan 16 September depan sebagai tarikh akhir?
Ini adalah permainan politik Anwar yang mahu menampakkan bahawa pembangkang boleh menubuhkan kerajaan. Dia mahu menguji kesetiaan Ahli Parlimen BN. Kepadanya, manalah tahu kalau ada Ahli Parlimen BN yang yakin dan dengan sendiri melompat ke pembangkang.
Setakat ini, tidak ada pun. Semakin menghampiri tarikh itu, semakin kecewa dia. Kalau tak dapat menubuhkan kerajaan pada 16 September, ini adalah tamparan hebat terhadap kewibawaannya sebagai pemimpin.
Datuk Seri terus menjadi sasaran berterusan Anwar. Apakah yang berlaku sebenarnya?
Pokoknya ialah saya menjadi penghalang utama kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri. Itu terlalu jelas. Ezam (Mohd Nor), menyatakan perkara ini secara terbuka. Ketika saya menjadi Exco Pemuda, Anwar menganggap sayalah paling berwibawa, tetapi sekarang menganggap sebagai pesaing utama.
0 ulasan:
Catat Ulasan