Ahad, 13 Julai 2008

Meningkatkan upaya niaga Bumiputera


BERITA HARIAN : 13-07-08

PKS perlu menjadi segmen penting menjana ekonomi

kESAN kenaikan harga minyak dan petrol belum sepenuhnya terasa pada peringkat ini. Syarikat-syarikat terutamanya masih cuba mengesan impaknya pada perniagaan mereka. Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kesannya tentu lebih terasa. Dengan berbekal modal yang jauh lebih kecil dan upaya kewangan yang terbatas, PKS akan menerima pukulan teruk. Akibat kurangnya daya beli pengguna, peluang kontrak perkhidmatan yang semakin kecil, aliran kewangan yang sempit dan ketidaktentuan keadaan ekonomi, PKS akan berdepan dengan banyak masalah. Itu belum lagi masalah yang dihadapi ekoran pemiutang bermasalah dan bank yang membuat tuntutan melampau.

Kita harus menerima hakikat bahawa PKS memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan keupayaan niaga Bumiputera dan orang Melayu. Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, pada keseluruhannya
PKS menyumbang sebanyak 47.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini sebenarnya cerita yang memberangsangkan. Angka ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan kedudukan di negara-negara maju. Sumbangan PKS pada KDNK Negara Jerman misalnya ialah 57 peratus, Jepun 55.3 peratus dan Korea Selatan 50 peratus. Malah dalam konteks ini kedudukan PKS kita lebih baik berbanding negara-negara Asean seperti Thailand (38.9 peratus), Singapura (34.7 peratus) dan Filipina (32 peratus).

Dalam satu wawancara khas dengan RTM baru-baru ini Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Noh Omar bagaimanapun mendedahkan dalam konteks "sumbangan PKS yang dibangunkan oleh MECD", sumbangannya masih kecil yakni 13.4 peratus KDNK pada tahun 2007.

Beliau menganggap penting memperkasa PKS Bumiputera bagi mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi. Beliau juga menyebutkan tentang program latihan dan bimbingan selain peluang-peluang perniagaan baru yang membabitkan sistem vendor, francais, kontrak perdagangan dan pembuatan dan lebih penting lagi menambah dana dan modal sedia ada.

PKS Bumiputera ini kritikal bagi memastikan kejayaan dasar membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun DEB dilihat pada masa ini dengan penuh curiga dan wasangka oleh banyak pihak, tetapi penjanaannya dalam apa jelmaan sekalipun harus dipertahankan. DEB atau apapun dasar seumpamanya tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara. Tambahan pula Bumiputera dan orang Melayu masih memerlukan bantuan untuk menjadikan mereka lebih berjaya dalam perniagaan.

Masyarakat Perdagangan dan Perusahaan Bumiputera (MPPB) harus dibangunkan. Sasaran pencapaian 30 peratus ekuiti yang tidak tercapai apabila tempoh dasar itu tamat menuntut penilaian semula. DEB tidak boleh dikuburkan begitu sahaja. Agenda memperkasa ekonomi Bumiputera harus diteruskan walau dalam apa bentuk dan jelmaan apapun.

Dalam konteks inilah pentingnya Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang diwujudkan pada tahun 2004 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Majlis ini membabitkan 13 kementerian dan agensi yang relevan serta Bank Negara. Majlis ini akan memastikan strategi dan program sokongan pembangunan PKS berjalan seperti yang dirancang. MECD sendiri diberikan tanggungjawab memberikan latihan, menyediakan peluang perniagaan, kemudahan pembiayaan dan penyediaan premis berniaga.

Apa yang penting ialah usaha berterusan bagi memastikan bahawa moto kempen baru kementerian itu di kalangan Bumiputera "Keusahawanan Sebagai Kerjaya Pilihan" akan disambut. Tetapi sekadar
menceburkan diri dalam dunia perniagaan tanpa latihan dan bimbingan dan sokongan institusi dan perbankan akan menimbulkan banyak masalah. Orang Melayu masih memerlukan payung dan tongkat, sekurang-kurangnya buat sementara waktu. MECD menyedari keperluan latihan dan bimbingan ini. Maka itu semua program latihan kementerian itu kini diselaraskan di bIawah nstitut Keusahawanan Negara atau Insken.

Tumpuan terlalu besar yang diberikan pada kejayaan tokoh korporat Melayu dan syarikat mereka kadang-kadang menyebabkan kita lupa wujudnya ahli perniagaan kecil yang terbabit dalam sektor peruncitan, pengeluaran produk makanan, restoran dan kedai makan, hospitaliti, perladangan kontrak, pembuatan, bekalan dan lain-lain. Banyak juga yang terbabit dalam perniagaan di Pasar Tani dan pasar malam. Sesiapapun yang mengatakan orang Melayu tidak mempunyai budaya niaga akan sedar bagaimana unsung heroes ini menampakkan ketekunan luar biasa. Siapa kata orang Melayu tidak berusaha?

Bagi banyak peniaga kecil ini apa yang diperlukan ialah bantuan kredit agar mereka tidak perlu pergi kepada "Along" atau peminjam wang tidak berlesen. Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) ialah cerita kejayaan membanggakan bagaimana aspek pembiayaan mikro-kredit dapat dilaksanakan. Tekun mengambil model Grameen Bank di Bangladesh yang sangat berjaya itu. Menurut MECD, sehingga Disember 2007, Tekun telah meluluskan pinjaman sebanyak RM201.6 juta kepada 25,580 ahli perniagaan dan usahawan kecil.

Tekun bukan lampu ajaib untuk menyelesaikan semua masalah peniaga dan usahawan kecil. Tetapi Tekun menjadi harapan kumpulan yang selama ini sukar mendapat pembiayaan dari bank dan institusi kewangan. Grameen Bank yang diasaskan oleh Profesor Dr Muhammad Yunus mengambil prinsip "menghormati orang miskin." Sistem perbankan tradisional melupakan mereka. Hari ini Grameen Bank memberi khidmat di 72,833 buah kampung di Bangladesh. Dengan hanya memberikan pinjaman RM74 untuk membeli seekor kambing misalnya bank itu telah mengubah kehidupan jutaan rakyat miskin di Bangladesh.

Tekun menggunakan konsep yang lebih kurang serupa, bezanya Tekun masih sebahagian dari skim pembiayaan di bawah MECD. Kejayaan Tekun harus dikaji semula, sekiranya kejayaannya memuaskan, Tekun harus dijadikan sebuah bank seperti Grameen Bank. Ini bukan sekadar menambah sebuah lagi bank sedia ada tetapi Tekun sebagai bank mempunyai impak yang jauh lebih besar dari mana-mana bank yang memodali program pembangunan ahli perniagaan dan usahawan kecil. Tentulah SME Bank dan Bank Rakyat tidak boleh memainkan peranan sebuah Grameen Bank.
Maka itu dalam usaha memastikan pembiayaan mikro-kredit dapat disalurkan secara berkesan Tekun harus mengambil bentuk Grameen Bank.

Potensinya cukup besar. Orang miskin dan peniaga kecil-kecilan mungkin lebih menghormati bantuan yang diberikan pada mereka. Grameen Bank misalnya tidak menghadapi banyak masalah pembayaran kembali. Dalam kes Tekun, oleh kerana pinjamannya kecil, maka risiko pembiayaan kembali tidaklah setinggi mana.

Noh mengakui dalam wawancara itu perlunya MECD melihat di luar kotak. Mungkin desakan, gesaan dan amarannya mulai membuahkan kejayaan. Noh membuat teguran terbuka kelemahan agensi di bawahnya agar memulakan budaya baru. Memang sasaran MECD untuk melahirkan 150,000 usahawan baru, mewujudkan 50 francaisor dan 1,000 francaisi baru, membangunkan 75,000 sumber manusia profesional dalam pelbagai bidang serta melatih 200,000 tenaga mahir bagi keperluan pelbagai industri dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK) dianggap ambitious.

Tetapi MECD tidak ada pilihan lain. Masa depan ekonomi Bumiputera bergantung pada program yang direncanakannya dalam waktu yang terdekat ini.

0 ulasan: