Ahad, 13 Julai 2008

PM umum langkah baru kurang beban rakyat



BERITA HARIAN : 13-07-08

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan mengumumkan Jumaat ini satu lagi langkah untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga minyak.

“Jumaat ini, kita akan lancarkan sesuatu untuk membantu meringankan penggunaan petrol dan membantu mengurangkan kos, bebanan dan perbelanjaan...pemandu teksi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan butiran lanjut kerana ianya akan diumumkan pada Jumaat ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah terbaru kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga minyak dan bahan makanan dalam temuramah khas dengan Bernama dan Radio RTM di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, di sini, semalam.

Abdullah berkata tumpuan kerajaan ialah kepada tindakan ke arah mengurangkan bebanan perbelanjaan rakyat termasuk berjimat-cermat.

Mengenai harapan rakyat supaya menteri dan Perdana Menteri turun padang melihat masalah kenaikan harga barang, Abdullah berkata:

“Saya (akan) jumpa rakyat dan jelaskan kepada mereka, jika tidak nanti pembangkang yang akan jelaskan.”

Abdullah berkata pihak pembangkang tidak membuat apa-apa untuk mengurangkan beban rakyat.

“Depa (mereka) cakap saja. Cakap lebih daripada janji,” katanya yang jelas merujuk kepada janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya pembangkang akan menurunkan harga minyak esok jika memerintah hari ini.

Mengulas mengenai rancangan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk berdebat dengan Anwar yang dijadualkan Selasa ini termasuk mengenai isu kenaikan harga minyak, Abdullah berkata:

“Saya kira Ahmad Shabery bertekad untuk melakukannya. Beliau betul-betul tekad yang beliau dapat melakukannya dan beliau seorang pemidato yang bagus.

“Jika beliau gagal, dia kata dia akan jumpa Pak Lah, sila ambil orang lain untuk jaga Angkasapuri. Tetapi beliau seorang yang bagus, boleh dikatakan tiap minggu program kementerian beliau hadir,” katanya.

Mengenai perkembangan semasa terdapat pemimpin parti politik yang cenderung untuk memperluaskan isu perkauman, Abdullah berkata jangan.

“Ini tidak baik, perlu ada batasnya. Jangan. Ini seperti bermain dengan api. Jangan bermain dengan api dalam isu yang sensitif,” katanya.

Perdana Menteri menyifatkannya sebagai politik jalan singkat untuk menjadi popular dan mendapat undi serta menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahukan BN sentiasa kuat sepanjang masa.

“Saya tahu keputusan pilihan raya (umum lepas) itu teruk. Tetapi rakyat masih beri kita amanah untuk memimpin (negara). Kami perlu lakukan lebih banyak lagi, kami perlu bekerja keras. Kami tiada pilihan lain,” katanya.

Beliau mahu parti komponen BN memberikan tumpuan tenaga dan fokus mereka kepada rakyat tanpa ada gangguan lain.

“Dengar (keperluan) rakyat. Insya-Alah kita akan o.k. Bukan depa (mereka) benci sangat dengan kita,” katanya. - Bernama

0 ulasan: