23-06-08
GLUGOR, 23 Jun (Hrkh) - Kualiti kepimpinan Melayu di bidang politik, budayawan, korporat dan intelektual terus diperkatakan apabila unsur-unsur rasuah, penyelewengan, konspirasi, berebut jawatan dan mengejar jawatan terus menjadi amalan, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras),Azmi Abdul Hamid.
Menurutnya, tabiat buruk itu tidak ke mana sebaliknya merugikan masa depan orang Melayu sendiri apabila ada di kalangan orang atasan tetap memperagakannya tanpa rasa sebarang kebimbangan.
Akibat terlalu banyak retorik terutamanya politik boleh menyaksikan kepimpinan yang tidak menguntungkan bangsa,katanya.
"Tabiat buruk sesetengah kepimpinan Melayu di segala bidang seperti politik, budayawan, korporat atau entelektual merugikan bangsa Melayu sendiri. Rakyat yang terbawa-bawa dengan perwatakan kepimpinan akan mengambil tabiat itu sebagai satu idola, " tegasnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Mencetuskan Kebangkitan Bangsa' di Kongres Pemaufakatan Melayu Pulau Pinang zon utara di Univesiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
Katanya lagi,di kalangan orang politik pula mereka lebih gemar mencari puncak perjawatan dengan gaya kepimpinan beraspirasi tinggi sedangkan banyak isu melibatkan nasib Melayu nyata terbiar sehingga ada yang datang dalam rangka lawatan lima tahun sekali.
Tambahnya,Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat ingin mengembalikan peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah didesak oleh rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) masih berada 'di awan-awangan' pelaksanaannya.
"Jika beliau, sebagai orang atasan Dato' Seri Abdullah patut merealisasikan apa yang dicadangkan ketika baru-baru memegang tampok pemerintahan.
"Rakyat mula mempertikaikan slogan 'bekerja dengan saya' bukan 'bekerja untuk saya' akhirnya terbongkar apabila terdapat keluarganya sendiri terlibat dengan percaturan politik sempit, " tambahnya lagi.
Menurut Azmi,Teras mendapati kepimpinan Melayu hilang tumpuan untuk membaiki nasib bangsa malahan ada antaranya sanggup berada dalam kelompok elit demi mempertahankan status quo.
Justeru itu katanya, Teras mengajak pengerak bangsa akur kepada hakikat bangunya bangsa terletak kepada kuanliti kepimpinan yang ditampilkan.
"Kesejatian kepimpinan masih pudar dan tidak terang lagi. Bangsa Melayu kena cari Izzah berteraskan Islam barulah kemelut yang meruncing dapat diatasi.
"Seandainya tidak diberikan perhatian tidak mustahil nasib bangsa Melayu terus terhimpit, tersepit dan seterusnya menjadi bagaikan 'nyawa-nyawa ikan' sahaja,"tegasnya.
Selain Azmi yang terlibat membentangkan kertas kerja ialah Profesor Dato' Dr. Zainal Kling dan Profesor Madya Dr. Mustafa Kassim.
Program setengah hari itu dianjurkan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dengan kerjasama Ikatan Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (Ikatan)
0 ulasan:
Catat Ulasan