Selasa, 1 Julai 2008

Nasharudin cadang Petronas wujudkan tabung bagi pesakit miskin


25 Jun 08

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) mencadangkan agar Petronas mewujudkan tabung khas bagi membantu pesakit kronik yang miskin.

Semasa bangun mengutarakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, Ustaz Nasharudin bertanyakan sama ada Petronas akan menubuhkan tabung bagi membolehkan rakyat miskin mendapat rawatan penyakit kronik di Pusat Perubatan Prince Court milik Petronas.

Katanya dengan cara ini rakyat yang miskin tidak perlu bersusah payah bagi mendapatkan rawatan penyakit kronik dengan belanja yang besar di hospital swasta lain.

Begitupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Amirsham Abul Aziz yang menjawab soalan itu menyatakan Petronas tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Soalan itu ditimbulkan selepas soalan asal yang dikemukakan Mohamad Azmi Ali (KeADILan-Gombak) berhubung rasional Petronas mewujudkan 'Prince Court Medical Centre' yang menelan belanja RM544 juta.

Menurut Menteri tersebut, penglibatan Petronas dalam bidang ini dibuat atas dasar tanggung jawab sosial, dan selaras dengan misi korporatnya.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan menyediakan pelacongan kesihatan bertaraf dunia, katanya._

0 ulasan: