Selasa, 1 Julai 2008

Agenda Melayu kian terpinggir di Selangor


BERITA HARIAN : 01-07-08

Pakatan Rakyat kritik kerajaan negeri sebelumnya selepas gagal tunai janji manifesto pilihan raya

MENGIKUT fakta, atas nama keadilan dan kesamarataan yang cuba diperjuangkan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu kini tunduk memberi hormat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik daripada kalangan bukan Melayu.

Adun (DAP-Sungai Pinang), Teng Chang Khim kini berkuasa penuh dalam DUN Selangor selaku Speaker walaupun beliau pernah digantung daripada menghadiri persidangan DUN negeri itu kerana keengganan beliau 'meminta maaf secara sopan' berikutan insiden membuang buku 'Peraturan-Peraturan Tetap' ke dalam bakul sampah pada persidangan dewan, 2005.

Itu sudah menjadi lipatan sejarah kerana Teng selepas mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Selangor yang baru, menggantikan Tan Sri Onn Ismail pada 22 April lalu mengakui perlu banyak bersabar dan mendengar keluhan semua pihak sama ada daripada pihak pembangkang atau kerajaan.

Kini Teng adalah wakil rakyat bukan Melayu pertama menjadi Speaker DUN di negeri beraja. Bukan membangkitkan isu perkauman tetapi inilah realiti apabila Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas sedia berkongsi pentas pentadbiran bersama DAP untuk berbahas dalam apa juga usul pada persidangan DUN, meskipun membabitkan ketuanan Melayu.

Itu belum mengambil kira perbahasan oleh Adun yang mewakili kerajaan negeri dalam mengemukakan idea bagaimana mereka dapat terus memajukan Selangor yang sudah berstatus negeri maju tanpa meminggirkan kepentingan Melayu.

Masyarakat Melayu beragama Islam seterusnya diajak berfikir berikutan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali terhadap Islam Hadhari.

Katanya, Islam Hadhari tidak diperlukan di Selangor kerana ajaran Islam diamalkan di negara ini lengkap dan menyeluruh daripada segala aspek.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan semua masjid dan surau di Selangor tidak lagi menjalankan program Islam Hadhari dan pegawainya juga tidak dibenarkan menyentuh soal itu dalam khutbah Jumaat.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menyifatkan tindakan Selangor menolak sebarang bentuk dan program berkaitan Islam Hadhari sebagai naif dan hanya retorik politik untuk menindas pemikiran rakyat.

Katanya, langkah itu diambil kerajaan Selangor bagi memenuhi agenda Pakatan Rakyat terutama Pas kerana Islam Hadhari diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memecah dakwaan parti itu sebagai satu-satunya parti memperjuangkan Islam di negara ini.

Walaupun Selangor mengharamkan masjid dan surau mengadakan khutbah atau ceramah yang menyentuh mengenai Islam Hadhari, mereka tidak boleh menguatkuasakan sebarang undang-undang untuk menahan sesiapa yang melanggar arahan itu.

Kuasa berkenaan terletak pada tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempunyai hak atas urusan masjid dan surau di negeri itu.

Bagaimanapun, kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, yang Kerajaan Pusat menerusi Jakim akan meneruskan pemberian peruntukan RM24 juta kepada kerajaan Selangor bagi menjalankan program keagamaan di negeri itu, sepanjang tahun ini, wajar melegakan penganjur program berbentuk keagamaan.

Peruntukan berkenaan yang sudah ditetapkan tidak akan ditarik balik walaupun kerajaan Selangor tidak memerlukan sebarang bentuk program Islam Hadhari di negeri itu.

Apa yang berlaku sejurus PR memerintah Selangor juga pasti menimbulkan tanda tanya masyarakat Melayu berikutan isu ladang ternakan babi yang dicetuskan wakil DAP, Teresa Kok ketika penduduk Selangor masih terkejut dengan kekalahan Barisan Nasional (BN) di lima negeri.

Projek ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta yang akan dibina berhampiran tanah perkuburan Islam di Sepang dilihat mempunyai konspirasi tersembunyi dan cubaan menghalau orang Melayu dari kawasan berkenaan oleh pihak tertentu.

Kebimbangan itu pernah disuarakan Mohd Nakhaie yang berpendapat pelaksanaan projek di Kampung Tumbuk Darat, perlu dikaji sebelum dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti umat Islam yang majoriti tinggal di situ.

Beliau tidak nampak kepentingan babi kepada masyarakat sehingga haiwan itu perlu diternak secara besar-besaran kerana sensitiviti setiap kaum lebih penting dan perlu sentiasa dijaga daripada sibuk mengejar keuntungan hasil jualan babi.

"Kita bimbang projek ternakan babi ini agenda pihak tertentu untuk kuasai kawasan Sepang yang strategik. Ini konspirasi semata-mata dan dilakukan hanya untuk menghalau orang Melayu keluar dari kawasan itu," katanya.

Malah, banyak pihak mempersoalkan kenapa projek itu tidak dilaksanakan di kawasan penempatan Cina seperti di Pulau Ketam jika kerajaan Selangor benar-benar ikhlas mahu menjaga kepentingan orang Melayu.

Dalam konteks keusahawanan Melayu pula, usahawan Selangor pernah mengusulkan kepada kerajaan negeri supaya mengatasi isu persaingan antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat Bumiputera.

Mereka perlu menjadi pembimbing, pembantu dan rakan kongsi kepada syarikat Bumiputera dan bukannya pesaing. Ini bagi membantu syarikat kecil yang baru mula bertapak dalam arena perniagaan.

Setiausaha Kehormat Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (Gapums), Othman Ismail berkata, usahawan Selangor banyak menghadiri pelbagai program anjuran pelbagai persatuan perniagaan agar mereka lebih dekat dengan kerajaan dan dapat memberi pandangan, maklum balas dan idea secara terus kepada kementerian, terutama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Ketika Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang lalu, ramai bertepuk tangan tetapi sebahagian mereka yang bertepuk tangan itu belum faham dengan apa yang akan dilakukan dalam pentas baru ini.

"Saya berpendapat pentas RMK-9 bukan satu gelanggang untuk perebutan tender dan kontrak kerajaan, sebaliknya ia adalah satu dasar yang dirancang untuk rakyat negara ini mengubah kualiti kehidupan dengan matlamat tertentu dan berpegang teguh kepada peradaban di samping melonjakkan ekonomi negara," katanya ketika dihubungi.

Dalam konteks penyatuan orang Melayu menerusi pendidikan, Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS) bertekad untuk terus memperkasa pertubuhannya bagi memastikan matlamat menjadi peneraju mendidik anak bangsa cemerlang akademik tercapai.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Dr Mat Yasir Ikhsan ketika dihubungi berharap semua peringkat pimpinan tidak mengira parti harus bersama memberi perhatian khususnya dalam meningkatkan mutu pendidikan.

"KPPMS ada menggubal dasar ke arah kecemerlangan Melayu membabitkan peranan yang perlu dilakukan semua peringkat pimpinan Melayu dan kami yakin pembabitan pimpinan dari peringkat atas hingga akar umbi akan memberi kesan cukup baik kepada agenda menangani apa juga isu dalam bidang pendidikan.

"Pemimpin sekarang bagaimanapun dilihat terlebih fokus kepada politik sedangkan ekonomi dan pendidikan perlu diberi lebih perhatian.

Seharusnya apa juga langkah diambil kerajaan harus bermatlamat untuk meningkatkan sistem penyampaian pendidikan dan kecemerlangan," katanya.

Justeru, katanya, campur tangan politik dalam bidang pendidikan tidak seharusnya berlaku.

Persidangan DUN Selangor sebelum ini dianggap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai gagal membincangkan perancangan kerajaan negeri dalam membangunkan Selangor, apatah lagi dalam soal membabitkan kepentingan Melayu.

Katanya, rakyat yang mengharapkan kerajaan negeri membentangkan perancangannya dalam sidang DUN kecewa kerana apa yang diharapkan tidak berlaku, malah mereka belum jelas dengan apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Apabila kerajaan negeri gagal menyatakan perancangannya selepas 100 hari memerintah Selangor, maka ia memilih untuk mengkritik kerajaan negeri sebelumnya, mengungkit pelbagai keputusan dan tindakan yang diputuskan melalui prosedur yang betul.

"Tindakan mencari kesalahan kerajaan BN juga adalah untuk menutup kegagalan kerajaan negeri yang baru melaksanakan banyak janji dalam manifestonya," katanya.

Persoalannya kini, adakah selepas 100 hari membentuk kerajaan, pemimpin PKR, Pas dan DAP masih gagal menukar mentaliti dari pembangkang kepada kerajaan?

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Selangor

0 ulasan: