Ahad, 5 Julai 2009

Aduan Kepada Perdana Menteri Tidak Mendapat Respons - Kata Kawan Blogger


Askm dan Salam Blogging

Saya pemilik blog luahfikiran (http://www.luahfikiran.blogspot.com) memohon jasa baik tuan, jika difikirkan bersesuaian, untuk memuatkan posting saya terbaru dalam blog tuan. Posting tersebut bertajuk "Mana Pergi Janji "Kerajaan Berjiwa Rakyat" ? Aduan Kepada Perdana Menteri Tidak Mendapat Respons". Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kandungan artikel

Terima kasih atas sokongan. Selamat Berjuang !

Friday, July 3, 2009

Itulah persoalan LF ketika ini terhadap kerajaan yang memerintah. Tanda tanya yang terbentuk hasil daripada pengalaman kurang enak dan amat mengecewakan yang LF lalui sendiri semasa berhubung secara e-mail dengan YAB Perdana Menteri. Surat e-mail bertarikh 9 hb Jun 2009 dan 22 Jun 2009 tidak mendapat apa-apa respons daripada Pejabat Perdana Menteri. LF merasa cukup hampa! LF bukan mengirim surat layang tetapi mengutus surat e-mail secara resmi berserta dengan butir-butir peribadi. Justeru itu, LF tertanya-tanya apakah kerajaan yang memerintah sekarang ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru, bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan rakyat?
-
Pejabat Perdana Menteri telah menyediakan saluran “E-Maklumbalas YAB Perdana Menteri Malaysia” yang dimuatkan dalam laman web Pejabat Perdana Menteri (klik di sini). Sudah semestinya kewujudan saluran aduan terbuka seperti ini akan mengundang banyak aduan daripada rakyat. LF percaya pihak pengendali laman web ini sudahpun memikirkan perkara ini dan cara-cara tindakan penyelesaiannya. Dengan itu, sekiranya diberikan alasan terlalu banyak aduan yang diterima oleh YAB Perdana Menteri, maka LF menolak alasan tersebut. Bagi LF, jangan cuba memberikan harapan kepada orang lain sekiranya kita merasakan kita tidak dapat melaksanakannya. Ia pasti akan mengundang kekecewaan dan kemarahan.
-
Aduan LF berkisar soal pengeluaran wang simpanan yang tersimpan dalam Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Kerajaan (MOCCIS). LF dan isteri telah menjadi ahli kepada MOCCIS lebih daripada 20 tahun. Sepanjang tempuh menjadi ahli, LF dan isteri telah membuat simpanan bulanan melalui potongan gaji. Usaha menabung ini bertujuan untuk menampung kos sara hidup LF dan keluarga di hari-hari tua selepas bersara nanti. Jumlah wangnya tidak banyak, bukannya jutaan ringgit, tetapi jumlahnya cukup bermakna kepada kehidupan LF dan keluarga.
-
LF dan isteri telah berhenti menjadi ahli MOCCIS apabila bersara wajib empat tahun yang lalu. Apabila bersara, LF dan isteri membuat permohonan mengeluarkan wang simpanan yang terkumpul dalam MOCCIS. Amat dukacita MOCCIS tidak dapat memulangkan wang simpanan tersebut atas alasan MOCCIS berhadapan dengan masalah aliran kewangan. MOCCIS tidak mampu untuk membuat bayaran balik wang simpanan ahli-ahlinya. Sejak setahun yang lalu, pihak yang berkuasa telah meletakkan MOCCIS dalam program pemulihan. Berdasarkan laporan tahunan 2008, MOCCIS telah dapat memulangkan wang simpanan ahli-ahlinya yang telah berhenti berjumlah 96 orang. Dijangkakan masalah pemulangan wang simpanan ini akan menjadi lebih rumit apabila terdapat kalangan ahli-ahli yang telah berhenti ini meninggal dunia.
-
Atas semangat keyakinan terhadap laungan YAB Perdana Menteri iaitu “Kerajaan Berjiwa Rakyat” dan “Rakyat Diutamakan” dan di samping tersedia pula satu saluran aduan oleh YAB Perdana Menteri sendiri, maka LF telah mengirim 2 pucuk e-mail (9 Jun 2009 dan 22 Jun 2009) tetapi tidak pernah mendapat apa-apa respons daripada Pejabat Perdana Menteri.
-
LF ingin menegaskan bahawa aduan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri atas sebab kegagalan LF untuk mendapatkan penyelesaian daripada pihak MOCCIS. LF telah mengemukakan rayuan demi rayuan tetapi tidak menerima apa-apa maklumbalas daripada MOCCIS. Paling terbaru surat e-mail LF kepada MOCCIS bertarikh 27hb Mei dan 2 hb Jun 2009.
-
LF ingin tegaskan bahawa segala paparan di atas adalah kenyataan realiti yang LF benar-benar lalui. LF kini sedang memikirkan kaedah-kaedah lain untuk mengketengahkan isu ini supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya dan mendapat hak yang sepatutnya. Keyakinan LF dan isteri terhadap kesungguhan kerajaan untuk membela dan memelihara kebajikan rakyat mula goyah ! Perlu diberi perhatian bahawa masalah ini bukan masalah terpencil yang melibatkan diri LF sahaja. Ramai lagi ahli-ahli MOCCIS yang telah bersara dan berhenti yang berhadapan dengan masalah yang sama !

0 ulasan: