Khamis, 30 Julai 2009

ANTI- ISA dan PRO-ISA


1 Ogos ini adalah penentunya. Penentu kepada sejarah huru-hara Negara. Huru-hara disebabkan oleh pertembungan dua kelompok PRO dan Anti-ISA.

Walaupun sudah dijelaskan bahawasanya kerajaan akan mengkaji semula ISA, namun itu nampaknya tidak dapat menyejukkan mereka yang bersikap anti-ISA.

Setahu saya, ISA adalah satu undang-undang yang SAH dan diluluskan oleh Parlimen untuk diwartakan sebagai salah satu undang-undang di Negara ini. Seksyen 73 dan seksyen 8 telah diperuntukkan didalam system undang-undang Negara ini. ISA juga selaras dengan Perkara 149 perlembagaan Negara.

Secara logiknya, jika ianya lahir daripada Parlimen, maka kenapa ianya hendak dihapuskan di jalan raya dan kaki lima dan bukannya di dalam Parlimen. Kenapa kita tidak menggunakan saluran yang betul jika benar-benar ingin menghapuskannya. Adakah kaedah saluran belakang menjadi pilihan Pakatan Rakyat?

Secara logiknya juga, mereka yang menetang ISA juga boleh dianggap sebagai penetang kepada Perlembagaan Negara dan tidak salah jika mereka ini dikenakan tindakan undang-undang.

Kata orang, jangan menjadi seperti anjing meyalak bukit, bukit tetap berdiri teguh. Tetapi jika sebiji batu bukit jatuh keatas anjing, naya tu. Kita tidak boleh salahkan bukit kerana menjatuhkan batu keatas kepala anjing, tetapi kita kena salahkan anjing tersebut yang datang kepada bukit.

Kepada yang pro- pula, tidak usahlah bersikap seperti mereka yang anti. Walau pun berarak siang malam, undang-undang ISA tidak akan dapat dihapuskan dengan cara berarak di jalan raya. Tuan-tuan sekalian akan menambahkan lagi kemungkinan kerosakan yang mungkin akan terjadi.

PAKCIK :-

Sokong ISA tapi tidak mahu berarak.
Sokong ISA tapi minta perbaiki kelemahan.

Rabu, 29 Julai 2009

Sekadar renungan – Belia kampong yang serba salah


Beberapa hari lepas pakcik berpeluang untuk pulang ke kampong halaman di limau kasturi. Pulang bertemu ibu bapa, adik beradik dan juga sahabat handai. Disamping melawat ibu bapa sebagai tujuan utama bercuti kali ini, pakcik juga ingin melihat perkembangan terkini rakan-rakan sekampung. Rakan-rakan yang tidak keluar mencari rezeki di luar kampong.

Sampainya di kampong, pakcik diajak oleh mereka untuk minum kopi. Pakcik tahu tujuan mereka mengajak pakcik minum kopi. Tujuannya adalah untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati mereka terhadap kedudukan mereka kini .

1. LADANG RAKYAT memusnahkan masa depan mereka.

Salah seorang dari mereka mengeluh pasal Ladang rakyat yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS. Tanah yang telah diterokai oleh ibu bapa mereka sejak berpuluh tahun dahulu telah dirampas begitu sahaja oleh pemimpin politik. Jika tanah itu diambil, apa yang ada pada mereka lagi. Mereka kini sudah beranak pinak, apa yang boleh mereka berikan kepada anak mereka.

Walau pun bantahan telah mereka kemukakan melalui wakil rakyat PAS setempat, namun tiada apa-apa respond malahan mereka telah dipersalahkan sehinggakan wakil PAS tersebut bersama-sama taukeh cina tersebut tergamak membuat laporan polis bahawasanya mereka ( penduduk kampong ) telah membuat khianat terhadap pekerja dan jentera yang terlibat dalam projek tersebut.

Akibat dari laporan polis tersebut, beberapa penduduk disoal siasat oleh polis dan tindakan wakil rakyat Barisan Nasional DUN Nenggiri ( YB Yusoff ) yang tampil menjernihkan suasana amat dihargai oleh mereka.

Memang betul tanah tersebut adalah tanah kerajaan. tetapi tiadakah belas kasihan pihak politik yang mendakwa mereka sebagai parti Islam dalam soal moral dan kebajikan terhadap rakyat jelata. Ini adalah soal rezeki dan punca pendapatan seumur hidup mereka dan anak cucu mereka. Ianya telah dirampas oleh kerajaan negeri.

2. AkTIVITI SUKAN dan BUDAYA dihalang

Bagi mereka yang berada dikampung, waktu petang adalah waktu bersosial sesame sendiri. Bagi anak muda@ belia di sini, selain memancing di sungai galas, mereka akan berkumpul dan bermain sepak takraw.

Namun, mereka mengeluh kerana kelengkapan tempat untuk mereka bersukan adalah amat daif sekali. Tiada siapa yang peduli. Jika dahulu, Pemuda UMNO bahagian gua musang sentiasa menyokong tetapi sejak kawasan tersebut dimenangi oleh PAS, mereka sudah kehilangan arah dalam mendapatkan prasarana tersebut.

Pernah mereka mengadu hal ini kepada wakil PAS tempatan. Jawab wakil tersebut, “daripada membuang masa bermain sepak takraw, lebih baik pergi ke pondok belajar agama”. Begitu daifnya pemikiran orang islam kita.

Begitu juga pada waktu malam, beberapa bulan lepas mereka telah menubuhkan kelab dikir barat. Bilamana berpeluang, mereka akan berkumpul dan berlatih berdikir barat. Itupun ada yang memberi amaran kepada mereka. Daripada dok melalut ditengah malam, lebih baik pergi belajar agama di pondok.

Namun kata kawan saya yang bernama Idrus, kenapa dulu masa mereka sudah tidak bersekolah tiada seorang pun datang menyuruhnya pergi ke pondok. Tetapi bila mereka berdikir barat, ada pula yang datang cuba menyekatnya.

Bagi pakcik, ini adalah kesan daripada polisi PAS suatu ketika dahulu yang telah memfatwakan aktiviti budaya adalah sesuatu yang salah.

3. KEMUDAHAN ASAS yang ketinggalan sejak 15 tahun

Mereka juga mengeluh kerana kemudahan asas dikampung masih tidak berubah sejak sekian lama. Katanya, budak-budak sekarang tidak payah lah nak bersohor (berbangga) dengan apa yang ada. Semua sudah ada semasa mereka celik mata. Mereka tidak tahu susah senang kami di suatu ketika dahulu.

Kesungguhan Mat Jaki untuk melihat kampong kami berubah selari dengan tempat tempat lain amat dikagumi oleh pakcik. Katanya, “takkan kito nok dok lagu ni sapa ko tuo..pahtu anok kito pun lagu ni jugok..gapo dio tu. Ore-ore tuo tu kubur kato mari rumah kato gi. Puok dio dok lagu ni pon takpo. Kito ni hok mudo..ore lain sene, pat kito susoh. Tokleh jadi ni”.

4. PENDAPATAN SAMPINGAN yang terus menerus ‘ter-samping’.

Mereka juga mengharapkan adanya inisiatif daripada mana-mana wakil kerajaan memberikan mereka satu projek khas kepada mereka dalam usaha untuk menjana pendapatan sampingan. Mereka kini hanya mengharapkan hasil daripada getah sekerap yang murah dan jika hujan, mereka sudah hilang punca pendapatan.

Aktiviti ekonomi sampingan amat diharapkan oleh mereka.


PAKCIK:-

Sungguh cekal rakan sekampung mengharungi hidup mereka. Semoga adanya sinar dalam kehidupan masing-masing. semoga tercapai apa yang dihajati oleh mereka dalam meneruskan hidup ini.

Bagi pakcik, jika wakil rakyat serta parti yang diwakilinya tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya, maka WAJIBLAH kita menukarnya agar rakyat tidak terus menerus menanggung apa yang tidak sepatutnya mereka tanggung.

Wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan Negara.

PST : wakil rakyat PAS (DUN GALAS) sedang sakit tenat, adakah akan ada pilihanraya kecil DUN GALAS nanti?

Selasa, 28 Julai 2009

PAS kata dan UMNO balas..




PAS Kata:-

1) UMNO haram
2) UMNO sesat
3) UMNO perkauman
4) UMNO penipu
5) UMNO perasuah
6) Pergi jahanam UMNO
7) Nate UMNO
8) Mahafiraun
9) UMNO sekular
10) UMNO tak malu
11) UMNO biadab
12) UMNO celaka
13) Bla..bla..


UMNO jawab :-


1) PAS pembohong
2) PAS bukan parti islam
3) PAS pertubuhan sesat
4) PAS anjing DAP dan PKR
5) Ulama PAS ulama politik
6) PAS guna agama untuk politik
7) PAS ada Erdogan
8) PAS hipokrit
9) PAS janji kosong
10) Bla..bla..

Dua melayu Islam tengah caci mencaci sesamanya. UMNO mendakwa parti nya adalah parti professional orang melayu dan PAS parti yang mendakwa dirinya parti islam. Orang melayu islam ternganga-nganga melihat telatah mereka.

Datang pula PKR yang lagi kuat kuasa putar alamnya. Rakyat terus jadi bengong. Gila tidak gila, normal tidak normal.


Sabtu, 25 Julai 2009

KEGAGALAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR – Siapa Bertanggungjawab?



Isu kerajaan Selangor dibawah pakatan rakyat (PR ) :-

1) Exco yang gambar lucahnya tersebar masih lagi diterima sebagai pemimpin oleh kerajaan Selangor.

2) Kegagalan sesetengah ahli exco melakukan kerja sebagai wakil rakyat sehingga dicadangkan oleh Azmin untuk merombak semula ahli pentadbiran negeri.

3) Cadangan penggunaan wang baitulmal (zakat) untuk membayar gaji oleh menteri besar.

4) Kes rasuah ahli exco yang dalam siasatan SPRM sehingga menyebabkan kematian teoh.

Lihat juga beberapa janji semasa pilihanraya :-

Urustadbir Berwibawa

-Memastikan Semua Pemimpin Bersih Dari Rasuah
-Menyiasat Penyelewengan Pentadbiran Tanah Dan Sumber Negeri
-Menghentikan projek-projek membazir dan rugi
-Memastikan ketelusan pentadbiran negeri
-Menghentikan campur tangan politik dalam perniagaan
-Melarang ahli-ahli Exco terlibat dalam perniagaan

SLOGAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR:-

Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan.

PAKCIK :-

Tidak sampai sepenggal memerintah, kerajaan PR ini boleh dikatakan seperti indah khabar dari rupa. Tidak bertanggungjawab dan berbohong kepada rakyat.

Siapa bertanggungjawab? Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar harus bertanggungjawab di atas kegagalan-kegagalan tersebut.

Jika dahulu kita bersetuju dan mendesak mana-mana pemimpin dari BN termasuk Perdana Menteri meletakkan jawatan terhadap kegagalan beliau, maka hari ini kita selaku rakyat jelata ingin mendesak agar Menteri Besar Selangor itu bertanggungjawab dan meletakkan jawatannya.

Kegagalan beliau menguruskan pentadbiran kerajaan seperti yang dijanjikan terutamanya terhadap kes rasuah sehingga menyebabkan kes kematian saudara Teoh adalah tidak boleh diterima sama sekali.



Jumaat, 24 Julai 2009

TEOH mati, yang hidup jadi GILA.




Siapa Teoh Beng Hock? Tidak payah cerita kerana semua orang sudah kenal. Sudah mati baru terkenal dan dikenali di seluruh Negara.

Mati bukan disebabkan oleh penyakit , kemalangan atau pun mati tua. Tetapi mati dengan cara yang tidak halal dan tidak normal untuk mati. Seoalah-olah beliau mati kerana telah ‘MENEMUI atau MENGHADAPI’ jalan mati. Oleh kerana ‘MENEMUI atau MENGHADAPI’ jalan mati, maka beliau TERPAKSA mati atau DIPAKSA mati.


Matinya Teoh Beng Hock, seluruh Negara menjadi gila. Orang pertama menjadi GILA adalah BOS beliau. Macam orang kena rasuk hantu. Meracau-racau di pejabat SPRM dengan tanpa sebab. Puak pembangkang berarak ke sana sini membawa lilin. Kononnya untuk meratapi kematiannya tetapi hati masing-masing mendoakan agar kerajaan dipersalahkan.

NIZAR melayu dan islam dan beberapa ISLAM yang berkopiah sama-sama mempraktikkan budaya kapir. Matlamat menghalalkan cara. Begitu juga dengan ANWAR dan AZMIN. Janji dapat simpati rakyat. bukannya simpati terhadap Teoh tetapi simpati kepada Parti mereka agar rakyat terus menyokong mereka.

Sudah jelas mereka ini menjadi semakin gila. Gila politik. Semua perkara dipolitikkan. Nasib baik mereka tidak mendengar KENTUT mana-mana pemimpin dalam kerajaan. Nanti itu pun akan dijadikan modal politik mereka.

Bayangkan jika pemimpin UMNO yang berbuat demikian, apa yang akan terjadi...habis semua fatwa beserta kepelbagaian ayat Al-Quran dikeluarkan bagi mengharamkan pemimpin tersebut.

Punca kematian juga menyebabkan pihak kerajaan DIPAKSA menubuhkan badan bebas siasatan keatas SPRM dan Inkues bagi menyiasat kematian beliau. Satu lagi pembaziran wang rakyat telah berlaku. Pembaziran wang rakyat kerana menubuhkan Suruhanjaya Diraja hanya semata-mata kes kematian Teoh.

Adakah polis Malaysia sekarang ini sudah tiada kredibiliti lagi untuk menyiasat dan mencari punca kematian seperti kes ini? Bagaimana dengan beberapa kejayaan polis dalam menyelesaikan beberapa kes seperti ini? Adakah mereka sudah tiada keupayaan? Apakah ‘istemewanya’ Teoh itu?

Apakah sumbangannya terhadap Negara ini? Adakah sumbangan dan jasa beliau lebih besar dari pemimpin-pemimpin besar Negara?

Setiap kali pergeseran politik antara parti pemerintah dengan pembangkang, seringkali diminta ditubuhkan Suruhanjaya Diraja. Apa semua ini. Sudah menjadi karut marut. Emosi menyelubungi pemikiran.

Teringat semasa zaman ANWAR menjadi TPM dahulu, beliau telah mengarahkan polis untuk memaksa Umi Hafilda berbohong dan menutup mulut. Salah guna kuasa. Tidak gila, bersih dan berintegritikah beliau?

Semoga kita semua dapat sembuh semula dari kegilaan ini.


Pst : Pakcik rasa rugi kerana tidak sempat nak berniaga lilin dan air semasa perarakan tersebut. Kalau tidak boleh dapat untung banyak.


Rabu, 22 Julai 2009

Antara Manek Urai dan Gua Musang



Walau pun mengalami kekalahan di Manek Urai, pihak BN masih lagi bersemangat untuk memberikan pembangunan kepada kawasan tersebut. Usaha tersebut perlulah dipuji dan terima kasih di ucapkan. Harapan kerajaan BN untuk menjadikan Manek Urai sebagai satu-satunya kawasan contoh pembangunan yang ingin dibawa oleh pihak kerajaan amatlah dialu-alukan. Terima kasih diucapkan sekali lagi.

Persoalan saya adalah, jika BN yang telah nyata mengalami kekalahan tetapi masih berhasrat untuk membangunkan kawasan tersebut, bagaimana pula dengan Gua Musang?

Padahal, umum tahu bahawasanya Gua Musang dan Jeli merupakan pertahanan kerajaan BN di Kelantan. Gua Musang dikepalai oleh YM Tg Razaleigh Hamzah manakala Jeli pula dikepalai oleh Tok Pa.

Apa yang menarik tentang rakyat Gua Musang, kemana sahaja arah perjuangan beliau akan diikuti oleh rakyat. JASA BELIAU KEPADA RAKYAT GUA MUSANG MENGATASI SEGALA – GALANYA.

Dapat dilihat, sejak beliau balik semula ke pangkuan UMNO, Parlimen Gua Musang juga kembali kepada UMNO. Sudah dua tiga penggal Gua Musang dibawah UMNO. Namun tidak pernah kendengaran bahawasanya kerajaan akan menjadikan Gua Musang sebagai kawasan anak emas, anak angkat, kawasan contoh pembangunan atau pun sebagainya lagi.

Jika Manek Urai satu DUN yang kecil dan kalah pula dijanjikan berbagai kemudahan, bagaimana pula dengan Gua Musang yang kerusi ADUN dan 2 DUN-nya di miliki oleh BN?

Tengku sudah banyak melakukan pengorbanan terhadap UMNO. Beliau sanggup membubarkan partinya Semangat 46 dan masuk UMNO. Beliau telah memulihkan sedikit sebanyak sokongan rakyat kelantan terhadap UMNO/BN. Namun, beliau masih diketepikan oleh orang UMNO.

Beliau semakin disisihkan oleh orang UMNO. Padahal, semua orang tahu bahawasanya beliau amat dihormati oleh rakyat kelantan . ini juga diakui oleh pemimpin UMNO seluruh negara. Tetapi tiada seorang pun UMNO yang datang kepadanya dan BEKERJASAMA dalam melakukan banyak perkara sama ada di dalam dan luar negara. Kepentigan parti dan sebagainya.

UMNO/BN seharusnya membayar dengan harga yang setimpal terhadap segala pengorbanan beliau selama ini.

Banyak perkara yang dapat dilakukan di Gua Musang. Satu kawasan yang di pegang oleh Tengku. Namun ianya tidak seperti yang diharapkan. Kerajaan tidak seharusnya meninggalkan Tengku begitu sahaja tanpa memberikan apa yang sepatutnya terhadap beliau.

Tengku boleh memberi banyak sumbangan sama ada terhadap parti, bangsa, agama dan Negara. Cuma syaratnya, beliau diletakkan ditempat yang sepatutnya oleh UMNO dan bukannya disisihkan begitu sahaja.


Kesimpulannya, saya tidak menghalang hasrat kerajaan dalam mewujudkan Manek Urai sebagai satu-satunya kawasan contoh pembangunan di Kelantan. Tetapi demi maruah Tengku dan rakyat Gua Musang, kerajaan BN/UMNO seharusnya memberikan tumpuan yang lebih besar terhadapnya.

Persoalannya, kenapa Manek Urai dan bukannya Gua Musang?


Selasa, 21 Julai 2009

ISU dan DASAR SEMASA - APA STATUSNYA

Sempena motto kerajaan ; 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, saya selaku rakyat ingin mendapatkan status terkini tentang isu-isu yang menyelubungi Negara kita terutamanya selepas PRU-12. Isu-isu yang boleh dikatakan terlibat secara langsung terhadap kepentingan rakyat dan juga berkait rapat dengan kestabilan politik Negara ini.

1) Status Pembinaan Jambatan bengkok yang menggantikan tambak Johor ( bermula dari Tanah Johor sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Singapura ).

Jambatan yang dikatakan boleh memberi kelebihan kepada Negara berkenaan dengan laluan kapal dagang disamping memulihkan semula system semulajadi laut di pantai johor.

2) Status dasar Pertanian yang diperkenalkan oleh pentadbiran PAK LAH yang masih lagi dilihat tidak sampai kepada golongan sasar.

Jika di Kelantan, semakin banyak sawah padi ditinggalkan dan telah ditukar rupa kepada tapak-tapak pembinaan perumahan atau pun bangunan komersial.

3) Status kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu yang sudah tidak diberi perhatian oleh media. Kes yang berprofil tinggi dan dimanipulasikan secukupnya oleh pembangkang semasa pilihanraya.

Keputusan mahkamah adalah amat diperlukan dalam memberi keadilan kepada semua pihak sama ada kepada Altantuya, keluarga , mereka-mereka yang dituduh serta nama perdana menteri sendiri.

4) Isu harga air mentah yang di jual kepada singapura dengan harga termurah di dunia yang diperjuangkan oleh TUN di suatu ketika dahulu. Isu ini juga penting kerana ia melibatkan hasil pendapatan Negara yang boleh membantu dalam soal pembangunan.

5) Status pencapaian terkini rancangan-rancangan Koridor pembangunan yang telah dilancarkan oleh PAK LAH dalam menuju wawasan 2020.

Dapat dilihat dengan jelas, perkembangan tentang koridor-koridor itu sudah perlahan dan masih tidak dapat dilihat akan hasilnya.

6) Perbicaraan kes liwat Anwar masih lagi tidak berpenghujung. Walau pun kes ini adalah kes peribadi Anwar, tetapi rakyat sudah diheret sama dan ini telah menyebabkan rakyat dan Negara kehilangan produktiviti serta kos yang tidak dapat diperkatakan. Bersalah atau tidak perlu ditentukan secepat mungkin. Jangan biarkan rakyat menanggung masalah peribadi antara Anwar dan Saiful.

7) Isu Pemansuhan ISA. Walau pun kerajaan telah mengumumkan ISA akan dikaji semula, namun pihak pembangkang masih lagi memainkan lagu ini. Selagi rakyat tidak difahamkan dan diyakinkan kenapa ISA tidak perlu dihapuskan, selagi itulah pembangkang akan menggunakannya sebagai isu.saya percaya, pembangkang juga mempunyai sebab yang kukuh dalam memperkatakan tentang perkara ini.

8) Isu terbaru yang semakin mendapat perhatian adalah berkenaan dengan bayaran royalty petroleum kepada negeri Kelantan. Selaku rakyat negeri Kelantan, perkara ini amat penting dijelaskan sama ada Kelantan adalah layak atau pun tidak menerima royalty tersebut.

Jika layak, dimanakah wang tersebut dan kemanakah wang tersebut digunakan. Wang tersebut amat diperlukan oleh rakyat Kelantan dalam melaksanakan pembangunan negeri Kelantan.

Jika tidak layak, kerajaan seharusnya memberikan sebab-sebab yang sepatutnya agar perkara ini tidak dipolitikkan oleh pihak pembangkang di masa-masa akan datang.

9) Kes pengesahan kerajaan perak masih tiada kata putus. Walau pun telah diputuskan oleh Mahkamah bahawa Nizar telah kalah, tetapi rayuannya masih berjalan dan kes ini dikira masih tidak selesai sepenuhnya.
Rakyat masih meneliti perkara ini.

10) Dasar 1Malaysia, yang diperkenalkan oleh kerajaan masih lagi tiada perincian lanjut daripada pihak kerajaan. Rakyat masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang disebutkan dengan 1Malaysia. Dasar ini juga telah menimbulkan banyak persoalan terutamanya dasar kerajaan terhadap orang melayu.

11) Isu rasuah yang melibatkan pihak exco Selangor. Tidak kira mereka dari parti pemerintah atau pembangkang, mereka hendaklah dibawa ke muka pengadilan agar ianya tidak memudaratkan kepentingan rakyat dan Negara.

12) Yang terbaru adalah, kes kematian Teoh Beng Hock setiausaha politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah. Beliau dikatakan saksi tuduhan rasuah dan kematiannya patut mendapat keadilan yang sewajarnya.

Pihak pembangkang sedang mengambil kesempatan terhadap isu ini. Rakyat dibabitkan secara langsung dan ini merupakan sau lagi kerugian yang terpaksa dialami oleh Negara. Lagi cepat isu ini diselesaikan, rakyat akan dapat membuka fikiran siapa sebenarnya yang bersalah dan siapakah sebenarnya berada dilandasan yang betul.

Mungkin banyak lagi isu-isu yang timbul dan memerlukan perhatian serta penyelesaian daripada pihak kerajaan demi kepentingan rakyat dan Negara.

Saya tidak timbulkan isu-isu terpencil yang melanda pihak pembangkang kerana saya tahu bahawasanya isu yang timbul sejak kebelakangan ini adalah terhasil daripada kelemahan mereka sendiri dan tidak perlu campurtangan pihak kerajaan pusat.

Isu-isu atau dasar-dasar yang disebutkan di atas merupakan isu yang telah menjerut serta menghantui pemikiran rakyat. isu tersebut juga telah dipolitikkan dan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan selepas persaraan TUN DR MAHATHIR.

Rakyat memerlukan penjelasan dan tindakan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan terhadap segala isu.


Ahad, 19 Julai 2009

UPSR – Penilaian semula



Saya tertarik dengan cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata beliau bahawasanya UPSR hanya dijadikan medium untuk mendapat tempat di asrama penuh semata-mata.

Bagi mereka yang pernah menonton drama cikgu Limau Kasturi, sudah pasti dapat memahami akan kesulitan yang dihadapi oleh saya dan rakan-rakan sekampung semasa di sekolah rendah dahulu. Pergi ke sekolah seawall pukul 5.00 pagi dan pulang pada jam 12.00 tengahari ( itu dahulu ).

Saya juga ingin memberi pandangan mengenai apa yang telah saya hadapi semasa di sekolah rendah di suatu ketika dahulu. Saya mengaku bahawasanya keputusan UPSR saya adalah teruk sekali. Keputusan itu telah menidakkan saya untuk mendapat tempat di mana-mana sekolah berasrama penuh dan keputusan itu juga telah menyebabkan saya diletakkan di kelas ‘terakhir’ semasa di tingkatan satu.

Namun demikian, selepas keputusan peperiksaan Penilaian menegah Rendah (PMR) diumumkan, saya telah layak untuk memasuki kelas aliran sains dan ini telah mengubah sejarah hidup saya keseluruhannya.

Apa yang saya ingin tuliskan kali ini adalah, UPSR bukanlah satu-satunya kaedah dalam menentukan kecermerlangan seseorang pelajar itu terutamanya bagi pelajar di luar Bandar yang tidak mendapat pendedahan serta pendidikan yang setara dengan mereka yang berada di Bandar.

Walaupun kita mempunyai system pendidikan yang dikatakan terbaik, namun halangan-halangan tertentu yang dihadapi oleh pelajar di luar Bandar telah menyebabkan kebolehan serta kemampuan mereka yang sebenar tidak dapat diserlahkan melalui UPSR tersebut.

Penilaian tentang kemampuan atau pencapai oleh seseorang pelajar yang diterjemahkan melalui peperiksaan UPSR yang diwajibkan ketika pelajar ditahap enam ( darjah 6 ) boleh dikatakan sudah terlambat dalam kontek “memberikan penilaian sebenar” terhadap kemampuan seseorang pelajar tersebut.

Saya bukannya menyokong akan cadangan tersebut, tetapi apa yang ingin saya katakan adalah ; Semoga pihak Kementerian Pendidikan dapat melakukan atau memperkenalkan sesuatu kaedah yang lebih realistic dalam proses penilaian atau menilai akan kemampuan sebenar seseorang pelajar terutamanya bagi mereka yang berada di luar Bandar.

Sesuatu cara yang lebih adil dan sama rata dalam memberi peluang kepada pelajar dari luar Bandar untuk mencapai cita-cita ke menara gading.

Rabu, 15 Julai 2009

PRK MANEK URAI – KALAH & MENANG



Tahniah kepada PAS dan Tahniah kepada UMNO.

Tahniah kepada PAS kerana memenangi PRK kali ini dan tahniah kepada UMNO kerana semakin diterima rakyat.

Walau pun sering dikatakan Manek Urai adalah kubu kuat PAS, namun ianya nyaris-nyaris terlepas ke tangan pihak UMNO dan ini memberi peringatan kepada mana-mana parti politik bahawasanya rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai setiap masa akan peranan parti politik itu terhadap mereka.

Apa pun sentimen yang dimainkan, rakyat akan tetap dengan pendirian masing-masing dan akan bertindak menukar kerajaan sekiranya kerajaan sedia ada tidak melakukan apa-apa untuk kepentinga n rakyat. rakyat juga akan bertindak mengekalkan kerajaan itu sekiranya mereka yakin terhadap mereka. Itulah kuasa rakyat.

Kerajaan PAS negeri Kelantan seharusnya mencari jalan yang lebih baik dalam mengambil hati rakyat jika ingin terus berkuasa di Negeri Kelantan. Seperti di dalam kempen-kempen pihak UMNO, walau pun sudah memerintah Kelantan selama 20 tahun, kerajaan PAS Kelantan masih lagi gagal membangunkan negeri tersebut seperti yang dikehendaki oleh rakyat.

Mungkin kempen tersebut ada benarnya dan harus diteliti oleh pemimpin PAS negeri.

PAS juga diharapkan agar tidak lagi mempermainkan isu-isu agama yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan PENGANUT AGAMA ISLAM di Negara ini.

Pihak PAS seharunsya merasa tidakselesa dengan perkembangan ini.

Bagi UMNO pula, peningkatan sokongan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. UMNO/BN semakin mendapat sokongan daripada rakyat. walau pun diberi masa selama selama lapan hari untuk berkempen, UMNO/BN hampir-hampir merobohkan tembok kebanggaan PAS selama ini. Bayangkan masa yang ada dalam dua tahun sebelum PRU-13 nanti. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

Itu pun bersyarat. Syaratnya ialah pihak BN/UMNO seharusnya menunjukkan kepada rakyat bahasanya mereka akan melaksanakan konsep 1MALAYSIA, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan dengan sebenarnya. UMNO/BN juga perlu mempertingkatkan lagi integrity pihaknya serta pentadbiran awam yang selama ini dilihat serong oleh rakyat jelata.

Walau apa pun, terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin dan Tok PA yang bersungguh-sungguh dalam pilihanraya kali ini. Anggaplah PRK ini sebagai satu permulaan untuk UMNO/BN bangkit semula dalam menghadapi PRU-13 nanti.

UMNO dan PAS adalah parti politik..yang mana yang lebih memberi kebaikan kepada rakyat, maka yang itulah yang akan dipilih oleh rakyat untuk menjadi kerajaan.

Kerajaan yang dipilh oleh rakyat dan kerajaan yang berkerja untuk rakyat.

Selasa, 14 Julai 2009

KESIMPULAN KEMPEN DI MANEK URAI – Penyokong PAS dan BN



Genap jam 10.00 malam tadi PAKCIK menelefon kawan di Manek Urai dan bertanyakan parti mana yang akan menang esok :-

PENYOKONG PAS :-

1) PAS akan menang
2) UMNO sudah lajak dari perahu


PENYOKONG UMNO/BN


1) UMNO/BN akan menang
2) Orang manek urai nak pembangunan

Kesimpulan :

PAS : UMNO = 50:50

SELAMAT MENGUNDI dan PILIHLAH YANG TERBAIK daripada yang BAIK.

Ahad, 12 Julai 2009

SEKULAR DAN HUDUD



Perlembagaan Persekutuan :-

1) Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa ugama Islam ialah ugama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).

2) Negara-negara Islam lain Afrika, Asia dan Eropah telah menggunapakai Perlembagaan sekular.

3) Perancis, Turki, India dan lain-lain menyatakan dengan jelas dalam perlembagaan negara tersebut adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama.

4) Negara Sekular tidak akan meletakkan Perkara 3 dan 11 di dalam Perlembagaan, tidak akan menyebut hal-hal yang berkaitan agama dan tidak akan menyebut YDP Agong sebagai ketua agama Islam.

5) Negara Sekular tidak akan membenarkan Mahkamah syariah serta institusi-institusi yang berbentuk keagamaan diwujudkan di Negara ini. Tidak kira ianya agama islam atau pun lain-lain agama.

6) Perkara 11(4) memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi menyekat penyebaran agama lain kepada orang islam.

7) Negara sekular tidak akan membenarkan masjid-masjid atau pusat ibadat lain didirikan dan tiada peruntukkan akan diberikan terhadapnya.

8) Negara sekular tidak akan membenarkan penubuhan institusi keagamaan seperti Majlis fatwa Negara, majlis agama islam ( JAKIM ), Universiti Islam Malaysia (UIAM) dan sebagainya lagi.

9) Negara Sekular tidak akan membenarkan program-program berbentuk keagamaan seperti Majlis Al-Quran dan sebagai sama ada diperingkat negeri atau pun persekutuan.

10) Negara sekular tidak akan membenarkan program-program keagamaan disiarkan atau dicetak seperti Azan dan sebagainya.

11) Negara sekular tidak akan membenarkan ajaran agama islam di ajar di sekolah-sekolah dan tidak akan membenarkan penubuhan pondok-pondok serta sekolah-sekolah agama seperti sekolah agama rakyat dan sebagainya.

12) Negara sekular tidak akan membenarkan penubuhan parti-parti yang menggunakan agama dan pertubuhan-pertubuhan yang berasaskan agama. Parti PAS ( Parti Islam Se-malaysia ) tidak akan wujud jika negara ini adalah benar-benar sekular.

Malaysia adalah Negara yang berinstitusikan sekular dan bukannya berfahaman sekular.

1) Institusi Sekular -

Penubuhan institusi dan fungsi yang berasakan oleh keperluan semasa Negara. System dan badan kerajaan serta fungsinya ditentukan oleh keperluan rakyat dan Negara yang berlatarbelakangkan agama dan kaum yang berbeza dengan tidak menolak segala nilai dan kehendak agama.

2) Fahaman Sekular :-

Satu ideology yang menolak segala unsur, prinsip dan kehendak agama dalam menentukan apa-apa dasar dan rancangan kerajaan. Fasisme, Komunisme dan Marxisme adalah fahaman sekularisme.


KISAH HUKUM HUDUD

1) Negara-negara lain yang tidak mengamalkan sistem hudud, tetapi ia diiktiraf oleh umat Islam dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagai negara Islam.

2) Jika kerajaan ini bukan Islam kerana tidak melaksanakan hukum hudud samalah seperti tidak ada negara Islam di dalam dunia ini kerana kesemua 53 buah negara Islam di dalam dunia ini tidak melaksanakan hukum hudud.

3) Al-Quran bukan sebuah kanun undang-undang. Ia tidak menyebut semua kesalahan jenayah atau sivil. Selain daripada memberi beberapa hukuman khusus, yang perlu dilihat dalam konteks sejarahnya, al-Quran memberi dua prinsip universal hukuman, iaitu hukuman setimpal dan hukuman ihsan.

Enam kaedah menghukum disebut dalam Quran :-

a) Qisas, atau hukuman balasan sama.
b) Ta’zir, atau budi bicara hakim mengikut dua prinsip universal hukuman;
c) Diat, atau bayaran ganti-rugi,
d) Li’an, atau sumpah laknat,
e) Muhabalah, atau ujian kebenaran melalui doa,
f) Kaffarah, atau penebusan dosa.

4) hudud tidak disebut dalam al-Quran sebagai suatu kaedah menghukum. Dengan berpandu kepada kaedah-kaedah ini, masyarakat Islam boleh melakukan reformasi undang-undang yang sangat diperlukan mereka untuk membawa masyarakat Islam ke satu sistem perundangan dan satu sistem sosial yang paling baik dalam dunia.

5) Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Namun begitu, sehingga sekarang Undang-undang ini belum dikuatkuasakan oleh Negeri Kelantan. Namun Kerajaan tetap berjanji akan melaksanakan Hukum Hudud tersebut, setelah dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.

6) Seseorang itu tidak akan menjadi murtad sekiranya menolak apa yang dikatakan hukum hudud tersebut kerana hukum hudud tidak disebut sebagai rukun islam.

( Mengucap dua kalimah Syahadah, Menunaikan Solat lima waktu sehari semalam, Membayar Zakat, Menunaikan Ibadah Puasa di Bulan Ramadhan dan Mengerjakan Haji bagi mereka yang mampu. )

Berikut adalah petikan ucapan TUN Dr. Mahathir di Nilam Puri, 1994 dan mengapa pihak KERAJAAN menolak cadangan tersebut:-

a) Ini tidak bermakna kita menolak hukum hudud. Kita hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.

b) UMNO tidak melihat undang-undang ini sebagai UMNO, sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan politik dalam perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji, terima atau tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti. UMNO tidak berbuat demikian.

c) Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO secara sewenang-wenang.

d) Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga dipertanggung jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia. Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat semata-mata, walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut Perlembagaan Negara.

e) Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh. Mereka ini hendaklah terdiri daripada orang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan kepada agama Islam.

Namun mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan jenayah. Seperti biasa mereka perlu mengambilkira keadaan semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.

f) Kerajaan Malaysia, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia akan mengambil tindakan untuk menubuhkan badan ini. Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima atau dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.


Kata-kata Datuk Zaid Ibrahim


Apabila PAS menggubal undang-undang Jenayah Syariah 1993, ia menggunakan nama hudud untuk menyakinkan pengundi Melayu bahawa ia sudah melaksanakan tuntutan Islam.

Tetapi penggubal undang-undang itu sepatutnya tahu undang-undang jenayah tidak boleh digubal di peringkat Dewan Undangan Negeri kerana hanya Parlimen sahaja boleh berbuat demikian disebabkan ada hal-hal tertentu perlembagaan Negeri tidak boleh melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan itu dari segi teknikal adalah tidak sah. Kerajaan Negeri tiada keupayaan dari segi undang-undang untuk menggubal undang-undang jenayah.

Apa sahaja system yang diinginkan, proses dan caranya mestilah kena dengan kehendak Perlembagaan Negara.

Kata Karpal Singh DAP

Langkah mayat saya dahulu jika PAS ingin menubuhkan negara islam di negara ini.


Jumaat, 10 Julai 2009

PAS juga PERASUAH?



Pilihanraya dan rasuah seakan-akan menjadi sinonim dengan masyarakat kita. Bunyi sahaja pilihanraya, maka isu rasuah juga kedengaran. Tidak kira ianya pilihanraya kecil atau pun pilihanraya umum. Isu tetap ada.

Jika sebelum ini kita selalu diberitakan pihak UMNO/BN yang kerap melakukan rasuah. Namun kini berbeza pula dengan pilihanraya ini. Rasuah dikatakan dilakukan oleh pihak PAS. Bunyinya macam tidak percaya. Tetapi dalam dunia ini, apapun boleh terjadi.

Teringat saya sewaktu pilihanraya umum ke-12 lepas. Pada awalnya hati sudah bertekad untuk memangkah PAS bagi kedua-dua calon DUN dan ADUN. Pada waktu itu hati terasa untuk melihat PAS menjadi kerajaan di Negara ini. Terasa bersihnya PAS itu dan kotornya UMNO itu.

Namun, dihari pilihanraya tersebut, maha adilnya tuhan itu telah menunjukkan kepada saya bahawasanya PAS itu bukanlah seperti yang saya gambarkan. Dua orang kawan sekampung saya tidak mahu datang untuk mengundi!!..Untuk mengetahui keadaan sebenar, saya ke rumah mereka dan bertanyakan hal tersebut. Jawab mereka, dua hari lepas orang UMNO ada memberinya wang sebanyak RM 50 dan memintanya memangkah BN dalam pilihanraya nanti. Namun, semalam orang PAS pula datang memberinya RM 100 agar tidak payah keluar mengundi.

Mereka juga berkata, oleh kerana kedua-dua perayu undi telah memberinya wang, jadi mereka malu untuk keluar mengundi dan jika mengundi, sudah pasti mereka akan rasa bersalah terhadap kedua-dua pihak.

Semasa itu, hati saya menjadi sedih kerana tidak disangka-sangka apa yang difikirkan BERSIH oleh saya itu sebenarnya lebih kotor daripada yang kotor. Oleh kerana tanggungjawab saya sebagai rakyat maka saya terpaksa juga keluar mengundi. Nak tahu apa yang pangkah..oleh kerana ingin memberikan sesuatu yang adil, maka bagi kerusi PARLIMEN saya berikan kepada Tengku Razaleigh (UMNO) dan DUN pula saya berikan kepada PAS. Adilkan kerana kedua-duanya adalah perasuah.

Berbalik kepada isu MAnik Urai, saya tidak hairan jika sekiranya diberitakan PAS juga bermain dengan rasuah. Namun yang saya hairan, PAS juga adalah PERASUAH.

Jika kita SELALU mendengar pihak PAS menuduh dan melaporkan isu rasuah UMNO semasa pilihanraya kepada pihak SPRM, kenapa pula jika benar TERBUKTI pihak PAS juga melakukan rasuah kita tidak melaporkannya kepada pihak SPRM?

Kesimpulannya, salah laku rasuah semasa pilihanraya tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana parti politik dalam proses merayu undi. Ianya amat merosakkan akhlak kita semua. Rasuah sepatutnya dilaporkan agar ianya tidak menjadi TABIAT orang politik. TABIAT yang akan merosakkan negara di suatu hari nanti.

Selasa, 7 Julai 2009

ULAMA?

Justify Full

Masih adakah ulama yang benar-benar bersih dari gejala politik dalam Negara ini?

Wujudkah ulama yang dikatakan menghambakan diri sepenuhnya kepada agama. Ulama yang tidak melibatkan diri daripada mana-mana ideology politik. Ulama yang tidak digelar ulama PAS , ulama UMNO, Ulama PKR atau pun Ulama DAP.

Kenapa saya kata ulama Parti? sebab ulama-ulama yang bergiat dalam parti politik adalah ulama parti masing-masing. Masing-masing akan mengeluarkan hujah masing-masing mengikut kehendak atau kepentingan parti masing-masing. Mereka juga akan mengeluarkan fatwa yang menyebelahi Parti masing-masing.

Jika dalam PAS mereka yang dikatakan berstatus ulama itu kerap kali dilihat membuat kenyataan-kenyataan yang memihak kepada partinya. Mereka menghentam UMNO di sana sini, kiri dan kanan, atas dan bawah. Walau pun diserang sedemikian rupa, Ulama dalam UMNO masih berdiam diri dan tidak mengeluarkan kenyataan balas dalam mengimbangkan apa yang ulama PAS lemparkan terhadap UMNO.

Bagi system demokrasi yang diamalkan, setiap hujah dari rakyat atau pun sesiapa (termasuk dari parti pembangkang) seharusnya di jawab atau diberi penerangan oleh parti pemerintah. Begitu juga bagi kes apabila ulama-ulama dalam PAS menyatakan satu-satu hujah atau fatwa mereka pada masa-masa tertentu atau mengikut keadaan tertentu, pihak kerajaan seharusnya menampilkan mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan ugama ( ulama ) dalam menjawab hujah tersebut dari segi pandangan agama.

Hujah ulama sepatutnya dijawab oleh ulama. Tidak kira sama ada ianya ulama dari pas atau pun dari pihak kerajaan. Apabila ulama menjawab ulama, maka rakyat dapat membuat pertimbangan siapakah yang betul dan siapakah yang salah.

Faktor penolakan rakyat terhadap UMNO kerana DI MATA rakyat PAS dipimpin oleh golongan ulama. Padahal, mereka tidak nampak kewujudan ulama di pihak kerajaan.

Ulama-ulama dalam kerajaan mengambil sikap defensive terhadap satu-satu perkara yang ditimbulkan oleh ulama dari pihak pembangkang.

Kenyataan di atas adalah berkenaan ulama parti. Tetapi persoalan saya, masih wujudkah golongan ulama yang bebas dari ideology politik di Negara ini?

Isnin, 6 Julai 2009

Penasihat Pilihanraya PAS yang BENGONG



Datuk wan rahim Wan Abdullah yang merupakan Penasihat Jentera Pilihanraya PAS Kelantan, telah berkata bahawasanya pihaknya SENGAJA membiarkan UMNO menyerang peribadi Tok Guru Nik Aziz kerana ianya akan dijadikan sebagai satu senjata atau pun strategi parti untuk menarik perhatian pengundi.

Nak tanya Datuk Wan, adakah ini caranya PAS mengajar rakyat dalam meraih undi dan adakah cara inilah selama ini dipraktikkan oleh PAS?

Jika inilah caranya yang diamalkan oleh pihak PAS, maka terbuktilah PAS dibangunkan diatas dasar fitnah memfitnah dan menipu rakyat. Dasar mengambil peluang daripada perbuatan fitnah.

Perkataan SENGAJA itu melambangkan perkara ini dirancang terlebih dahulu dan jika mengena sasaran, rakyat akan membenci UMNO dalam apa jua sekali pun.

Satu cara atau kaedah yang tidak bermoral dan beretika terhadap maruah seseorang (lebih-lebih lagi yang digelar ulama) telah berlaku dalam PAS.

Strategi beliau yang ‘SENGAJA’ itu telah pun memakan diri tok guru nik Aziz. Tok guru telah dihina ke tahap yang hina akibat daripada ‘strategi bodoh yang sengaja’ yang telah beliau lakukan.

Hanya orang gila sahaja sanggup membuka seluarnya dikhalayak ramai. Walau pun dikeji dan dihina, tiada apa-apa perasaan terhadap perbuatannya itu.

Ahad, 5 Julai 2009

Aduan Kepada Perdana Menteri Tidak Mendapat Respons - Kata Kawan Blogger


Askm dan Salam Blogging

Saya pemilik blog luahfikiran (http://www.luahfikiran.blogspot.com) memohon jasa baik tuan, jika difikirkan bersesuaian, untuk memuatkan posting saya terbaru dalam blog tuan. Posting tersebut bertajuk "Mana Pergi Janji "Kerajaan Berjiwa Rakyat" ? Aduan Kepada Perdana Menteri Tidak Mendapat Respons". Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kandungan artikel

Terima kasih atas sokongan. Selamat Berjuang !

Friday, July 3, 2009

Itulah persoalan LF ketika ini terhadap kerajaan yang memerintah. Tanda tanya yang terbentuk hasil daripada pengalaman kurang enak dan amat mengecewakan yang LF lalui sendiri semasa berhubung secara e-mail dengan YAB Perdana Menteri. Surat e-mail bertarikh 9 hb Jun 2009 dan 22 Jun 2009 tidak mendapat apa-apa respons daripada Pejabat Perdana Menteri. LF merasa cukup hampa! LF bukan mengirim surat layang tetapi mengutus surat e-mail secara resmi berserta dengan butir-butir peribadi. Justeru itu, LF tertanya-tanya apakah kerajaan yang memerintah sekarang ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru, bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan rakyat?
-
Pejabat Perdana Menteri telah menyediakan saluran “E-Maklumbalas YAB Perdana Menteri Malaysia” yang dimuatkan dalam laman web Pejabat Perdana Menteri (klik di sini). Sudah semestinya kewujudan saluran aduan terbuka seperti ini akan mengundang banyak aduan daripada rakyat. LF percaya pihak pengendali laman web ini sudahpun memikirkan perkara ini dan cara-cara tindakan penyelesaiannya. Dengan itu, sekiranya diberikan alasan terlalu banyak aduan yang diterima oleh YAB Perdana Menteri, maka LF menolak alasan tersebut. Bagi LF, jangan cuba memberikan harapan kepada orang lain sekiranya kita merasakan kita tidak dapat melaksanakannya. Ia pasti akan mengundang kekecewaan dan kemarahan.
-
Aduan LF berkisar soal pengeluaran wang simpanan yang tersimpan dalam Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Kerajaan (MOCCIS). LF dan isteri telah menjadi ahli kepada MOCCIS lebih daripada 20 tahun. Sepanjang tempuh menjadi ahli, LF dan isteri telah membuat simpanan bulanan melalui potongan gaji. Usaha menabung ini bertujuan untuk menampung kos sara hidup LF dan keluarga di hari-hari tua selepas bersara nanti. Jumlah wangnya tidak banyak, bukannya jutaan ringgit, tetapi jumlahnya cukup bermakna kepada kehidupan LF dan keluarga.
-
LF dan isteri telah berhenti menjadi ahli MOCCIS apabila bersara wajib empat tahun yang lalu. Apabila bersara, LF dan isteri membuat permohonan mengeluarkan wang simpanan yang terkumpul dalam MOCCIS. Amat dukacita MOCCIS tidak dapat memulangkan wang simpanan tersebut atas alasan MOCCIS berhadapan dengan masalah aliran kewangan. MOCCIS tidak mampu untuk membuat bayaran balik wang simpanan ahli-ahlinya. Sejak setahun yang lalu, pihak yang berkuasa telah meletakkan MOCCIS dalam program pemulihan. Berdasarkan laporan tahunan 2008, MOCCIS telah dapat memulangkan wang simpanan ahli-ahlinya yang telah berhenti berjumlah 96 orang. Dijangkakan masalah pemulangan wang simpanan ini akan menjadi lebih rumit apabila terdapat kalangan ahli-ahli yang telah berhenti ini meninggal dunia.
-
Atas semangat keyakinan terhadap laungan YAB Perdana Menteri iaitu “Kerajaan Berjiwa Rakyat” dan “Rakyat Diutamakan” dan di samping tersedia pula satu saluran aduan oleh YAB Perdana Menteri sendiri, maka LF telah mengirim 2 pucuk e-mail (9 Jun 2009 dan 22 Jun 2009) tetapi tidak pernah mendapat apa-apa respons daripada Pejabat Perdana Menteri.
-
LF ingin menegaskan bahawa aduan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri atas sebab kegagalan LF untuk mendapatkan penyelesaian daripada pihak MOCCIS. LF telah mengemukakan rayuan demi rayuan tetapi tidak menerima apa-apa maklumbalas daripada MOCCIS. Paling terbaru surat e-mail LF kepada MOCCIS bertarikh 27hb Mei dan 2 hb Jun 2009.
-
LF ingin tegaskan bahawa segala paparan di atas adalah kenyataan realiti yang LF benar-benar lalui. LF kini sedang memikirkan kaedah-kaedah lain untuk mengketengahkan isu ini supaya mendapat pembelaan yang sewajarnya dan mendapat hak yang sepatutnya. Keyakinan LF dan isteri terhadap kesungguhan kerajaan untuk membela dan memelihara kebajikan rakyat mula goyah ! Perlu diberi perhatian bahawa masalah ini bukan masalah terpencil yang melibatkan diri LF sahaja. Ramai lagi ahli-ahli MOCCIS yang telah bersara dan berhenti yang berhadapan dengan masalah yang sama !

Jumaat, 3 Julai 2009

PRK MANEK URAI – Pandangan Penyokong BN dan PAS



Petang tadi sempat berbual dengan dua orang kawan yang tinggal di Manek Urai tentang pilihanraya tersebut. Bertanyakan pendapat masing-masing tentang parti manakah yang menang. Seorang adalah penyokong PAS sejak asal lagi dan seorang lagi adalah penyokong UMNO yang asal. Umur kedua-dua adalah dalam lingkungan 40an.

PENYOKONG PAS

Katanya UMNO akan kalah kerana sebab-sebab berikut :-

1. Pergolakan orang-orang UMNO di peringkat cawangan.

2. Khabarnya bekas ketua cawangan UMNO sedang berkempen agar penduduk kampong menolak UMNO.

3. Pemimpin dan Penyokong UMNO sedang memburukkan tok guru nik aziz dan beliau percaya bala akan menimpa UMNO.

4. Calon PAS adalah golongan ULAMA dan rakyat WAJIB menyokongnya.

5. Manek Urai adalah kubu kuat PAS sejak dahulu lagi.

6. Kempen UMNO sudah berlebih-lebihan dengan membuka pusat radio Kelantan fm di Kuala Krai.


PENYOKONG UMNO

Katanya sudah ada harapan untuk menang kerana :-

1. UMNO kalah dulu sebab penyokong UMNO pakat sokong PAS dan sekarang sudah balik kepada UMNO.

2. Dulu pemimpin tidak memandang Manek Urai, tapi kini menteri pun turun, jadi semangat penyokong dan orang kampong kepada UMNO semakin bertambah.

3. kalau UMNO menang, banyak kemudahan akan turun kepada penduduk Manek Urai.

4. Kempen UMNO sekarang ini lebih hebat daripada dulu-dulu dan peluang untuk menang dalam lingkungan 70 peratus.



Khamis, 2 Julai 2009

PRK MANEK URAI – bersihkanlah HATI semua.



Sejak gendang pilihanraya dipalu, suara-suara syaitan mula merasuk. Seiring dengan gendang tersebut, perbuatan fitnah-memfitnah, menghina dan sebagainya sedang ditulis sebagai lirik lagu untuk pilihanraya tersebut.

Padahal, yang bertanding kedua-duanya adalah melayu yang beragama islam. namun malangnya, awak-awak masing-masing sedang melakukan sesuatu yang tidak beretika terhadap lawan masing-masing.

Tidak sampai 24 jam calon UMNO diumumkan, kepelbagaian fitnah dilemparkan terhadap beliau. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak amanah dan sebagainya. tuduhan-tuduhan yang berat bertujuan memburukkan kredibiliti dan maruah beliau.

Jika beliau terlibat dengan semua itu, kenapa baru sekarang isu ini timbul? Kenapa tindakan atau aduan tidak dilakukan terhadap beliau sebelum ini?

Begitu juga dengan calon PAS yang diumumkan. Ada sesetengah mereka yang mengeji dengan tujuan menghina akan tahap pendidikannya. Apa salah beliau jika tidak berpendidikan tinggi. Beliau tetap dapat meneruskan hidup beliau tanpa meminta sedekah daripada orang lain. Itu patut dibanggakan oleh semua orang.

Itu baru sahaja permulaan, mungkin banyak lagi fitnah-fitnah dan penghinaan yang akan mewarnai pilihanraya kecil tersebut.

Sebagai seorang melayu yang berpegang kepada budaya melayu, semoga pilihanraya kali ini adalah bersih daripada gejala yang merosakkan hubungan sesame makhluk.