Khamis, 25 Disember 2008

BLOG DAN POLITIK


Alahai UMNO. Itu tak boleh..ini tak boleh..jadi apa yang boleh. Seperti perempuan dalam pantang yang baru lepas bersalin. Saya tertarik dengan kata-kata dan tindakan yang diambil veteran UMNO yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithaudeen yang menolak penggunaan blog dalam menjalankan kempen.

Beliau sekaligus telah menggantung keahlian Ketua Bahagian Pokok Sena, Ahmad Lebai Sudin kerana kesalahan tersebut.

Sebagai rakyat jelata, saya amat tertarik dengan berita-berita yang diterbitkan sama ada oleh blog atau pun laman-laman peribadi seseorang itu. Apatah lagi jika artikel-artikel yang dikeluarkan itu adalah datangnya daripada individu penting Negara atau pun pemimpin-pemimpin Negara.

Kita semua tahu bahawasanya akhbar-akhbar tertentu tidak mungkin akan menyiarkan berita-berita yang tidak menguntungkan parti atau individu tertentu. Semua cerita yang dikeluarkan adalah dalam bentuk yang indah-indah belaka.

Jadi, selari dengan perkembangan jalur lebar dan maklumat dihujung jari (iklan daripada pihak kerajaan ) pada masa kini, penggunaan blog atau laman web peribadi adalah amat diperlukan.

Bagi saya sebagai rakyat jelata, maklumat tentang seseorang pemimpin atau bakal pemimpin adalah amat perlu dalam membuat keputusan terutamanya sewaktu adanya pemilihan atau pun pilihanraya.

Jika akhbar lebih tertumpu kepada isu yang general atau semasa, saya hanya mengharapkan laman-laman web atau pun blog-blog tertentu dalam mendapatkan maklumat yang lebih lengkap tentang sesuatu peristiwa.

Seperti apa yang dilaungkan oleh pihak kerajaan; Bersih, Cekap dan Amanah,Integriti, perangi rasuah, transparent dan sebagainya yang melambangkan bahawasanya kerajaan tidak berkompromi terhadap sesuatu yang membelakangkan undang-undang.

Dengan demikian, adalah tidak kena jika sekiranya pendedahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap seseorang itu (biarpun orang yang ‘terdedah’ itu pemimpin besar Negara) akan diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Tidak salah jika apa yang didedahkan itu adalah satu kebenaran. Biar pun ianya pahit untuk ditelan oleh orang telah ‘didedahkan’ itu atau pun pihak-pihak tertentu.

Ada perupamaan yang saya pernah dengar; Dalam tubuh yang sihat itu adanya penyakit yang tersembunyi. Jadi, maklumat tentang penyakit itulah yang ingin diketahui oleh rakyat jelata selaku doctor yang akan membuat keputusan tentang cara untuk mengubatinya di kemudian hari (semasa pilihanraya).

Seperti apa yang telah dibuat oleh TUN MAHATHIR (syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada beliau), apa yang ditulis olehnya dalam blognya sendiri merupakan satu azimat kepada rakyat jelata. Jika tiada orang sepertinya, manakan rakyat tahu apa yang tersirat dan tersurat akan satu-satu peristiwa yang berlaku atau terjadi.

Saya percaya mereka yang celik IT bukannya calang-calang orangnya. Mereka adalah orang yang terpelajar. Mereka boleh menilai setiap maklumat yang diterima. Setiap orang hanya mahukan kebenaran dan ketepatan tentang sesuatu perkara itu. Rakyat sudah bosan dengan perangai hipokrit pemimpin Negara. Mereka mahukan seseorang yang benar-benar ikhlas berjuang untuk bangsa, Negara, agama dan bukannya untuk kepentingan sendiri atau kroni masing-masing.

Jika boleh, saya ingin cadangkan agar setiap wakil rakyat atau ketua bahagian tidak kira dari parti mana agar dapat memperkenalkan laman web/blog masing-masing bagi memudahkan rakyat jelata melihat sendiri pergerakan atau aktiviti yang dilakukan oleh mereka dari semasa ke semasa dalam membuat keputusan disuatu masa nanti.

Kesimpulannya, saya TIDAK MENYOKONG SEPENUHNYA’ terhadap tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin Parti UMNO terhadap individu yang menggunakan internet sebagai tempat berkempen sama ada untuk dirinya sendiri atau pun untuk parti.

0 ulasan: