Selasa, 1 Januari 2008

SEKOLAH AGAMA RAKYAT NEGERI KELANTAN


Isu yang telah lama dibincang dan diperkatakan oleh semua rakyat. Isu yang hendak dikatakan sudah basi tidak juga kerana isu ini sentiasa menjadi buah mulut semua orang yang terlibat dengannya. Isu ini juga melibatkan untung nasib bangsa, agama dan Negara. Isu yang telah lama membengkak dalam jiwa rakyat Negeri Kelantan yang tiada kesudahannya sehingga ke hari ini. Isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang kini diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan (PAS). Isu yang boleh dikatakan seperti tarik papan-sorong papan atau pun seperti pi-mai-pi-mai-tang-tu. Isu yang tiada kata sepakat dan juga tiada kesudahan yang sahih diantara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

Isunya adalah teramat jelas disini; Kerajaan Pusat ingin mengambil alih pengurusan dan pentadbiran SAR daripada Kerajaan Negeri.

Namun apa yang menjadi persoalannya, mengapa begitu payahnya kerajaan negeri menyerahkan SAR tersebut kepada kerajaan pusat jika ianya adalah baik untuk bangsa, agama dan Negara kita. Apakah kerana disebabkan oleh agenda politik masing-masing?

Saya memetik kata-kata saudara Mohd Fadli Jusuh, Penolong Setiausaha Agung, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGUMB) dalam berita harian (28/12/07) :

“Syarat yang diberikan itu jelas menunjukkan minat kerajaan negeri yang mahu terus mentadbir SAR dan berkuasa penuh dalam sistem pelajaran sedangkan tujuan asal penyerahan SAR untuk membantu memperbaiki mutu pelajaran”.

“ Kerajaan negeri perlu menerima syarat yang telah digariskan kementerian dan tidak melengah-lengahkan masa hanya kerana mengutamakan kepentingan politik”.

“ Persetujuan kerajaan negeri mendaftar untuk mendapatkan bantuan termasuk membayar gaji guru, pembelian peralatan dan menaik taraf bangunan sekolah tetapi mereka juga mahu pengurusan sekolah kekal di bawah mereka.

“Kenapa perlu mendapat kelulusan Lembaga Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk membuat sebarang perubahan kurikulum padahal Kementerian Pelajaran sendiri mempunyai kurikulum dan pengalaman pentadbiran yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Begitu juga dengan kata-kata daripada saudara Wan Mansor Wan Mahmood, Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) cawangan Kelantan dalam artikel yang sama pada hari tersebut:

“Nasib SAR di Kelantan semakin tidak menentu kerana hasrat kementerian untuk menyalurkan bantuan secara ikhlas tidak mendapat layanan positif daripada kerajaan negeri.

“Mereka perlu memikirkan kebaikan terutama kepada pelajar yang akan mendapat bantuan biasiswa dan buku teks selain berpeluang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)”.

“Mereka lebih berminat mengetahui jawatan terutama di kalangan pihak pentadbir sekolah dan takut tergugat sekiranya jawatan mereka itu disandang oleh kakitangan kerajaan dan pengetua juga dilantik oleh kementerian”.

Adakah apa yang ditawarkan oleh kerajaan pusat itu satu sandiwara politik pihak UMNO yang ingin mengubah suai pemikiran para kakitangan dan pelajar sekolah tersebut? Adakah tawaran itu adalah salah satu agenda tersembunyi pihak UMNO untuk mencuci pemikiran mereka yang terlibat dengan sekolah itu? Atau pun adakah pihak PAS juga mempunyai agenda mereka disebalik penubuhan SAR itu sendiri?

Bagi saya sebagai rakyat jelata, tidak kira siapa yang menguruskan sekolah itu, yang paling penting adalah objektif utama dan hala tuju sekolah agama rakyat itu ditubuhkan. Jika disebut sekolah, sudah pasti ianya adalah satu tempat dimana pelajar menuntut ilmu tidak kira ilmu akhirat atau pun ilmu duniawi. Bila disebut ‘sekolah’, maka ia bukanlah tempat/pusat/markas untuk mengerakkan parti politik masing-masing.

Sesungguhnya saya percaya rakyat jelata tidak suka jika sekolah tersebut dijadikan tempat/pusat/markas bagi parti-parti politik tertentu menggerakkan ideology mereka.

Setiap kali melintasi mana-mana sekolah agama itu maka tersentak di hati ini alangkah daifnya sekolah ini. Dengan diberi nama ‘SEKOLAH AGAMA RAKYAT’, begitukah keadaannya ‘sekolah agama’ itu di Negara ini. Apa yang nyata adalah para pemerintah negeri dan Negara adalah mereka yang beragama islam, tetapi alangkah malunya kita bila melihat keadaannya. Malu dan memalukan keadaannya. Lebih teruk dari sekolah-sekolah lain seperti sekolah yang didirikan untuk kaum India dan Cina.

Itu baru sahaja melihatnya dari luar, bagaimana pula jika dilihat dari dalam? Silap-silap boleh menitiskan air mata.

Semoga kedua-dua pihak dapat bertolak ansur diantara satu sama lain demi kepentingan anak bangsa dan agama. Carilah jalan penyelesaian yang terbaik agar apa yang dipanggil Sekolah Agama Rakyat itu dapat dijadikan satu contoh satu-satunya sekolah agama yang bertaraf antarabangsa yang pernah wujud di dunia ini iaitu di Tanah Melayu.

Biarlah pihak UMNO dan PAS berbalah kerana ideology politik, tetapi janganlah mereka berbalah jika untung nasib bangsa dan agama menjadi taruhannya.



0 ulasan: