Selasa, 1 Januari 2008

NEGERI KAYA : RM10 JUTA UNTUK UPACARA PENGISYTIHARAN KUALA TERENGGANU SEBAGAI BANDARAYA

NEGERI KAYA : RM10 JUTA UNTUK UPACARA PENGISYTIHARAN KUALA TERENGGANU SEBAGAI BANDARAYA

KUALA TERENGGANU: Kira-kira RM10 juta diperuntukkan bagi menjayakan sambutan perisytiharan Kuala Terengganu sebagai bandar raya pada 1 Januari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM3 juta disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala selebihnya oleh kerajaan negeri Terengganu

"Peruntukan itu bertujuan menghias bandar Kuala Terengganu serta memasang lampu-lampu jalan bagi menceriakan lagi suasana bandaraya," katanya kepada Bernama selepas meninjau kerja-kerja persiapan sempena majlis perisytiharan Bandaraya Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan kira-kira RM4 juta khusus untuk majlis perisytiharan itu, manakala RM1 juta bagi kerja-kerja penurapan jalan, di samping RM1.5 juta bagi membersih longkang serta parit.

Katanya kerja-kerja menghias bandar Kuala Terengganu termasuk memasang lampu serta menanam pokok-pokok bunga sedang giat dijalankan dan ia dijangka siap dua hari lagi.

Ahmad berkata sambutan acara perisytiharan itu akan berlangsung selama lima hari berturut-turut bermula pada malam 31 Dis dengan majlis membaca surah Yasin di Masjid Zainal Abidin dan Masjid Kampung Tok Beng, Seberang Takir.


Ia diikuti dengan majlis penyerahan watikah perisytiharan bandar raya oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting kepada Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang kemudiannya menyerahkannya kepada Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah pada 7.45 pagi, 1 Jan ini.

Ahmad berkata pada sebelah malamnya, majlis perisytiharan akan dilakukan oleh Idris di Taman Shah Bandar dan ia diikuti dengan majlis memperkenalkan logo baru Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Beliau berkata acara kemuncak sambutan itu ialah pertunjukan bunga api secara serentak di beberapa lokasi iaitu di Seberang Takir, Gong Badak, Bukit Besar dan Taman Shah Bandar.

Selain itu, beliau berkata perarakan kereta berhias dan pertunjukan kebudayaan turut diadakan di taman berkenaan. BERNAMA

0 ulasan: