Ketiga-tiga nama yang disebut sebagai tajuk itu adalah berperanan besar dalam menjaga kebajikan masyarakat yang dikatakan kurang berkemampuan atau pun lebih dikenali sebagai golongan yang miskin, ditimpa bencana, kesusahan dan sebagainya lagi.
Dua nama yang ditubuh khas itu ( jabatan kebajikan dan zakat ) adalah berperanan lebih besar jika dibandingkan dengan apa yang dipanggil tv3. Peranan yang amat diharapkan oleh golongan yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan daripada jabatan-jabatan tersebut.
Namun apa yang menyedihkan, kedua-dua jabatan itu tidak dapat memainkan peranannya dengan lebih agresif dan telus terhadap golongan yang dikatakan tidak bernasib baik itu. Mereka tidak dapat mengesan akan kewujudan golongan-golongan yang terpinggir, miskin tegar, hilang kemampuan, hilang punca dan sebagainya lagi di kawasan masing-masing. Mereka tidak dapat menyalurkan setiap dana atau pun apa yang disumbangkan kepada jabatan masing-masing dengan semaksimum yang mungkin kepada golongan-golongan yang disebut tadi.
Kini, terdapat ura-ura menyatakan bahawasanya kedua-dua jabatan itu sudah pun dipengaruhi oleh parti-parti politik tertentu yang mengeluarkan sumbangan dan pertolongan mengikut kata atau telunjuk parti-parti politik tersebut. Mereka akan mengambil langkah yang sewajarnya jika diarahkan oleh orang-orang tertentu dalam satu-satu parti politik tertentu.
Mereka juga dikatakan memilih bulu dalam menyampaikan sumbangan atau pun pemberian terhadap golongan yang malang itu.
Kini, nama TV3 lebih dikenali sebagai salah satu saluran yang boleh mengetengahkan masalah atau luahan yang dihadapi oleh golongan tersebut. Mereka terus menerus mendedahkan kesusahan-kesusahan yang dihadapi oleh golongan tersebut melalui program BERSAMAMU.
Apa yang menjadi persoalannya, mengapa TV3 dapat mengesan kewujudan golongan tersebut terlebih dahulu sedangkan kedua-dua jabatan yang ditubuhkan khas itu tidak dapat mengesan akan kewujudannya. Setelah disiarkan oleh TV3, kedua-dua jabatan itu barulah terhegeh-hegeh memaklumkan kepada orang ramai bahawasanya mereka akan menjalankan kerja mereka bagi membantu golongan tersebut.
Pernah terdengar di telinga ini, adalah menjadi lebih baik sekiranya wang sumbangan, peruntukan yang disediakan dan dana yang ada pada jabatan-jabatan itu diserahkan kepada TV3 agar kerja-kerja kebajikan itu dapat disalurkan terus kepada golongan tersebut yang tidak dihiraukan oleh jabatan-jabatan tersebut.
Adakah kedua-dua jabatan itu sudah lupa akan tugas dan tanggungjawab mereka terhadap bangsa, agama dan Negara? Adakah kakitangan mereka hanya cukup sekadar untuk makan gaji sahaja. Mereka perlu ingat bahawasanya kewujudan mereka adalah semata-mata untuk menjaga untung nasib golongan yang kurang berkemampuan itu.
Itu belum disebut lagi adanya unsur-unsur yang tidak beretika yang wujud dalam organisasi tersebut.
Semoga pihak yang diberi tanggungjawab itu dapatlah memainkan peranan masing-masing dengan sedaya upaya agar setiap rakyat jelata dapat menikmati dan mengecapi kehidupan yang lebih baik bersama-sama dengan mereka yang leih bernasib baik.
0 ulasan:
Catat Ulasan