Jumaat, 26 Oktober 2007

WAWASAN 2020 – MAJUKAH NEGARA KITA – 2

Dalam tulisan saya sebelum ini yang dsiarkan dalam blog saya pada 18 Oktober 2007 (Khamis), banyak persoalan-persoalan yang wujud serta berligar-ligar dalam pemikiran rakyat jelata tentang keadaan Negara kita yang dikatakan akan mencapai Negara maju pada tahun 2020 nanti. Tulisan itu juga mempersoalkan tentang corak kemajuan yang akan kita kecapi dan hadapi pada tahun 2020 nanti.


Sekali lagi saya ingin melahirkan rasa amat berbangga dan bersyukur kerana mempunyai seorang pemimpin yang mempunyai pemikiran yang jauh telah dianugerahkan kepada rakyat Negara ini. Di masa dan tika itu sudah pasti rakyat kebanyakkan tidak terpikir langsung untuk memperkatakan tentang hala tuju negaranya di masa-masa akan datang.

Namun demikian sekali lagi saya ingin bertanya majukah Negara kita pada masa itu? Jika jawapan menyatakan Negara kita sudah maju; apakah rupa kemajuan itu?

Kemajuan itu mempunyai maksudnya yang tersendiri. Berbagai-bagai perupamaan dan perbandingan yang boleh dibuat bagi menunjukkan akan maksud kemajuan itu sendiri.Bagi yang memahami, sesuatu kejadian, peristiwa atau perubahan itu tidak akan terjadinya dengan sendiri. Ia tidak akan terjadi dalam sekelip masa sahaja. Ia semestinya akan melibatkan kepelbagaian perkara yang perlu bagi menjana serta menggerakkan Negara ini kearah apa yang dipanggil kemajuan itu. Disamping itu, Negara ini juga perlu menjalani beberapa proses yang dipanggil evolusi ( bukan revolusi atau reformasi ). Proses evolusi ini akan bermula dan terus berkembang dari keadaan yang tiada apa-apa kepada apa yang ada pada masa kini dan akan datang. Proses evolusi juga akan berkembang dan berkembang sehingga menjadikan Negara ini mantap dan bersedia dalam apa cabaran sekali pun.

Sebagai contohnya, proses evolusi yang berlaku terhadap langskap dan fizikal Negara ini. Jika dahulunya rakyat jelata membina rumah serta bangunan dengan menggunakan kayu serta beratap rumbia tetapi kini rumah sudah boleh didirikan bertingkat-tingkat dengan menggunakan konkrit. Proses evolusi telah memainkan peranan dalam merubah corak pembinaan satu-satu rumah kediaman atau bangunan yang berasaskan kayu kepada penggunaan bahan-bahan konkrit.

Bagi yang mempelajari ilmu biologi, mereka akan faham apa itu istilah evolusi ini. Secara mudahnya evolusi itu adalah merupakan satu perubahan bentuk sama ada fizikal, rupa, sifat dan sebagainya bagi sesuatu benda, makhluk atau sesuatu.

Untuk menjadi Negara maju pada 2020, Negara ini perlu mengalami banyak proses evolusi yang sudah pasti memerlukan satu tempoh masa yang tertentu. Namun malangnya, kita hanya ada masa selama 13 tahun sahaja untuk menjejak ke tarikh keramat itu. Seperti yang ditanya oleh rakyat jelata diakhir tulisan saya dahulu; pada ketika itu, adakah Negara kita sudah maju?

Di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir dahulu negeri Kelantan terkenal dengan istilah negeri paling mundur di Malaysia. Penjanaan pendapatan ekonomi negeri tidak setanding dengan negeri-negeri lain di Negara ini. Negeri Kelantan dikatakan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik. Pengurusan kerajaan negeri yang tidak baik dan berbagai-bagai lagi istilah atau kenyataan dikeluarkan bagi menunjukkan betapa mundurnya Negeri Kelantan.

Apa yang menjadi persoalan di dalam kepala otak saya selama ini; wawasan 2020 adalah satu wawasan NEGARA MALAYSIA untuk mencapai status Negara maju. Bila sahaja sebut Negara Malaysia, kepala otak rakyat malahan budak sekolah sudah tahu bahawasanya Negeri Kelantan juga adalah salah satu negeri-negeri bersekutu dalam Negara Malaysia. Bila sebut NEGARA sudah pasti keseluruhan negeri-negeri di bawah naungan Bendera Malaysia perlu mencapai apa yang yang dipanggil maju itu. Jika salah satu negeri itu tidak maju maka orang masih melihat Negara ini masih lagi tidak maju keseluruhannya.

Malang lagi malang bagi Negeri yang mempunyai ramai bangsa melayu ini. Demi perbalahan politik, pihak pemerintah telah mengambil satu langkah yang boleh dikatakan menyimpang jauh daripada apa yang di -impikan dalam Wawasan 2020 itu sendiri. Demi perbalahan politik, untung nasib bangsa dan negeri kelantan telah dianak-tirikan oleh pihak pemerintah Negara.

Padahal rakyat kelantan juga menyanjung perlembagaan Malaysia. Rakyat kelantan juga mendaulatkan Yang Dipertuan Agong. Rakyat kelantan juga menghormati undang-undang Negara. Rakyat kelantan menyambut dan merayakan hari kemerdekaan bersama-sama rakyat dari negeri lain. Rakyat kelantan juga mengangkat dan menghormati bendera Malaysia. Rakyat kelantan juga melafazkan rukun serta ikrar Negara seperti rakyat di negeri lain. Rakyat kelantan juga hanya mempunyai satu lagu kebangsaan yang dipanggil Lagu Negaraku untuk dinyayikan bagi membakar semangat kenegaraan.

Apa salahnya rakyat dan negeri kelantan? Mengapa pihak pemerintah telah menidakkan hak rakyat dan negeri ini untuk maju bersama-sama serta seiringan dengan negeri lain? Adakah kerana rakyat kelantan telah memilih parti pas sebagai parti yang memerintah negeri kelantan? Adakah kerana kegagalan parti pas dalam menguruskan negeri menyebabkan negeri ini ketinggalan? Adakah kerana rakyat negeri ini tidak produktif atau tidak ingin maju?

Persoalan-persoalan tadi hanya boleh dijawab oleh pihak UMNO dan PAS sahaja. Itu pun jika pihak kerajaan pusat dan negeri ikhlas dalam memberi jawapannya kepada rakyat kelantan. Saya percaya, jika persoalan tadi ditanyakan pada kedua-dua pihak sudah pasti bukan jawapan yang diperolehi tetapi tuduh menuduh, tunding menunding, maki hamun, kata mengata, carut mencarut dan sebagainya yang kita perolehi. Rakyat jelata akan terus terngaga dan terpinga-pinga sendirian.

Sekarang kerajaan pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Pak Lah telah memperkenalkan islam hadhari di Negara ini. Apa yang difahami islam hadhari ini bukannya agama yang baru atau salah satu cabang islam yang baru tetapi masih agama islam yang asal dengan berlandaskan kepada prinsip kesederhanaan dan keadilan kepada manusia sejagat.

Jika itulah apa yang dimaksudkan dengan islam hadhari, tidak ada sebab untuk pihak pemerintah kerajaan pusat untuk menidakkan apa yang diingini oleh rakyat negeri kelantan khususnya dan rakyat Negara ini amnya. Pihak kerajaan pusat juga perlu adil dalam mengagihkan kekayaan Negara dengan sama rata kepada negeri kelantan seperti apa yang negeri-negeri lain dapat. Prinsip kesederhanaan dalam semua perkara perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan pusat dalam menghadapi pihak yang dikatakan pihak pembangkang. Pak Lah perlu ingat bahawasanya islam hadhari diperkenalkan pada zaman pemerintahannya dan jika prinsip-prinsip serta amalan-amalan yang terkandung didalamnya tidak diikuti oleh pihak pemerintah ( sudah semesti ia bersangkut paut dengan Pak Lah sebagai ketua ) maka Pak Lah dengan sendiri telah menolak apa yang beliau telah perkenalkan itu.

Jika itu yang terjadi, maka rakyat jelata akan menolak apa yang dipanggil islam hadhari itu. Malahan kepercayaan kepada kepimpinan Pak Lah akan terus pudar dari hati rakyat jelata dan jangan hairan jika apa yang diperkenalkan itu akan memakan kerajaan pimpinan Pak Lah dan diri Pak Lah itu sendiri.

Begitu juga dengan pihak pemerintah negeri yang diterajui oleh Parti PAS. Pihak Pas mendakwa bahawasanya mereka ini memperjuangkan sepenuhnya nilai-nilai islam. Banyak slogan-slogan yang didengari yang dikeluarkan oleh pihak Pas bagi menunjukkan mereka ini benar-benar memperjuangkan agama islam di Negara ini. Slogan seperti membangun bersama islam, serambi mekah dan berbagai lagi slogan yang tidak payah disebut panjang lebar di sini.

Pihak PAS telah lama memerintah kelantan. Satu-satunya negeri yang yang dikatakan ‘core’ pas itu. Sudah 17 tahun pas memegang tampuk pemerintahan negeri kelantan. Rakyat negeri kelantan memilih serta memberi kepercayaan kepada pihak pas untuk membangunkan negeri tercinta itu. Adakah pihak kerajaan negeri tahu akan tanggungjawabnya terhadap amanah itu? Adakah adanya kesungguhan pihak kerajaan negeri dalam usaha-usaha untuk mencapai cita-cita nasional itu? Apakah rancangan-rancangan pihak pemerintah negeri dalam usaha untuk menuju kearah itu?

Walaupun pihak pas ini dikatakan berhaluan kiri dan tidak selari dengan apa yang dibawa oleh pihak kerajaan pusat namun saya percaya tidak semua perkara akan ditentang oleh parti itu terhadap apa yang dibawakan oleh pihak UMNO. Jika soal pembangunan dan kemajuan itu ditolak oleh pihak PAS maka saya menanggap parti ini juga menentang apa yang terkandung dalam prinsip islam yang didokongnya itu.

Tidak salah jika pihak PAS mengaku mereka tiada keupayaan dalam usaha untuk membangunkan negeri bagi mencapai kemajuan seperti yang diimpikan dalam wawasan 2020. Mengaku salah bukan bermakna mengaku kalah. Mengaku salah demi untuk kepentingan semua pihak terutamanya dalam menunaikan tanggungjawab, menunaikan harapan rakyat jelata serta melunaskan amanah yang diberikan oleh rakyat kelantan.

Walaupun berstatus parti pembangkang yang memerintah negeri. Tidak salah bagi pihak PAS meminta pertolongan dari pihak lain terutamanya daripada pihak kerajaan pusat demi tujuan tersebut. Banyak kerajaan-kerajaan dari Negara-negara islam di dunia ini memohon pertolongan daripada bangsa-bangsa lain yang tidak seagama di dunia ini bagi membantu memulihkan atau memajukan Negara mereka. Apatah lagi kerajaan pusat ini diperintah oleh pemimpin-pemimpin yang juga seagama.

Pihak PAS perlu ingat. Jika Allah s.w.t mengizinkan mereka memerintah negeri kelantan sehingga mencecah ke tahun 2020, harapan rakyat negeri untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakyat di negeri lain tidak kesampaian, maka dengan sendirinya perjuangan Parti PAS adalah sia-sia dan telah melanggari tanggungjawabnya kepada islam itu sendiri. Mereka telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab, amanah dan harapan rakyat kelantan. Mereka telah menghampakan harapan rakyat kelantan. Saya percaya sudah pasti bencana yang akan dihadapi oleh parti pas akan lebih teruk berbanding dengan pihak umno.

Jika UMNO dengan ISLAM HADHARI-nya manakala PAS dengan ISLAM-nya maka saya percaya kedua-dua pihak ini tahu apa yang ditutut oleh ISLAM itu sendiri. Walaupun berbeza dari segi ideology politik tetapi kedua-dua parti masih mempunyai persamaan dalam perwatakan masing-masing iaitu ISLAM. Selain itu, ahli dan penyokong kedua-dua parti adalah terdiri daripada anak bangsa melayu. Kesamaan bangsa dan agama sepatutnya dijadikan satu jambatan untuk kedua-dua belah pihak bekerjasama.

Pertelingkahan serta perbalahan kedua-dua parti politik ini akan merugikan bangsa melayu. Jika masing-masing masih lagi mengamalkan sikap tindas menindas diantara satu sama lain maka jalan kearah memaju serta memodenkan negeri kelantan akan terus ketinggalan dan ditinggalkan. Secara langsungnya, proses evolusi yang diinginkan terjadinya di negeri kelantan khususnya dan Negara ini amnya dalam menuju kea rah Negara maju pada wawasan 2020 akan menjadi kabur.

Kini kerajaan pusat telah melancarkan satu perancangan jangka panjang untuk negeri-negeri pantai timur. Rancangan itu mungkin adalah salah satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan pusat dalam usaha untuk memaju serta memodenkan negeri kelantan. Dengan pelancaran misi pembangunan Koridor Timur (ECER) itu, diharapkan pemimpin dari kedua-dua parti yang kedua-duanya berbangsa melayu dan beragama islam itu akan mengambil seberapa banyak kesempatan yang ada bagi membangunkan Negeri Kelantan.

Seharusnya misi nasional itu tidak akan dijadikan alat oleh kedua-dua parti UMNO dan PAS dalam kempen-kempen mereka yang melampau yang sudah semestinya akan mengelirukan pemikiran rakyat. Rakyat kelantan sentiasa mengalu-alukan apa yang dipanggil kemajuan itu tetapi dengan bersyarat kepentingan serta keistimewaan bangsa melayu yang mendiami negeri tidak akan dirampok serta dianiaya oleh mana-mana pihak sekalipun.

Pemimpin-pemimpin seperti Yang Mulia Tan Sri Tengku Razaliegh Hamzah, Dato’ Mustapha Muhamad, Dato’ Anuar Musa, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Tuan Hj. Hussam Musa dan ramai lagi pemimpin-pemimpin berkaliber dari Negeri Kelantan agar dapat duduk semeja untuk memikirkan tentang kemajuan serta kemodenan yang akan dikecapi oleh rakyat jelata serta negeri Kelantan.

Tidak salah untuk berkhayal. Tidak salah untuk bermimpi. Tidak salah untuk bercita-cita. Kata orang letaklah cita-cita itu setinggi langit dan jika ia jatuh, ia akan jatuh di atas bulan dan bukannya ke tanah (bumi). Namun demikian, sehingga kini rakyat jelata masih tertanya-tanya, majukah Negara kita nanti?

(Utusan Malaysia : 26 Oktober 2007)

Ruang lahirkan usahawan

Oleh Azman Anuar (WARTAWAN UTUSAN)

Jika masyarakat Melayu di Pantai Timur yang sebelum ini mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Pusat, kini sedikit sebanyak mereka boleh menarik nafas lega.

Angin perubahan yang membawa program lonjakan mega ekonomi sedang bertiup kencang ke kawasan sebelah sana. Banyak ‘ikan besar’ dan ‘ikan kecil’ sedang menuju ke wilayah mereka. Terpulang sama ada penduduk Pantai Timur mahu atau tidak memasang jaring dan pukat untuk menangkap hasil rezeki yang sedang disalurkan ke sana.

Ketika ini banyak pihak memperkatakan tentang pelbagai koridor ekonomi baik yang sedang dilaksanakan mahupun yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Misalnya Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Recoda di Sarawak.

Pun begitu, jangan dilupakan bahawa inisiatif pembangunan ekonomi ini adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Program ini telah dirangka untuk mengagih-agihkan kekayaan negara hingga melangkaui pegangan ekuiti termasuk aspek-aspek pemilikan kekayaan lain, khasnya pemilikan aset produk bumiputera.

Perkara utama dalam RMK-9 ialah membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) secara aktif dalam ekonomi wilayah pembangunan baru itu.

Kerajaan telah memperuntukkan RM1.372 bilion untuk membangunkan MPPB di bawah RMK-9.

Sejajar dengan matlamat ini, maka dasar-dasar dan program untuk meningkatkan pemilikan bangunan komersial dan penginapan dalam sektor hartanah di bandar, hak milik intelektual dijalankan, begitu juga perhatian berat kerajaan terhadap syarikat perniagaan baik kecil atau sederhana.

Melalui aktiviti yang akan datang ke ECER, diyakini ia dapat menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi merapatkan jurang ekonomi. Jangan lupa, matlamat RMK-9 juga adalah untuk membasmi kemiskinan tegar dan menyasarkan kemiskinan hanya 2.8 peratus menjelang 2010. Kerajaan telah memperuntukkan RM4.465 bilion untuk membasmi kemiskinan di seluruh negara.

Di samping itu, langkah-langkah ini diteruskan untuk menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan identiti kaum berdasarkan sektor ekonomi.

Untuk memastikan kewujudan golongan bumiputera kukuh dan bertahan dalam bidang sektor perdagangan dan perindustrian, pendekatan baru perlu diterapkan. Lalu ECER adalah idea dan pendekatan ke arah matlamat tersebut yang selalu kita lupakan.

Apa yang perlu ditekankan ialah bukan sahaja bilangan usahawan bumiputera yang akan dihasilkan di ECER tetapi lebih penting ialah kualiti mereka dari segi daya saing dan produktiviti.

Satu program khas akan dilaksanakan untuk mengubah syarikat kecil dan sederhana bumiputera yang terpilih dengan perolehan pendapatan jualan tahunan di antara RM1 juta dan RM25 juta dibantu menjadi syarikat besar.

Ini boleh dilakukan melalui bantuan agensi pelaksana untuk membantu ahli perniagaan bumiputera. Permodalan Nasional Bhd. misalnya akan menggalakkan lebih ramai bumiputera menyertai skim amanah saham secara aktif. Manakala Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, dengan modal permulaan RM2 bilion, boleh mengembangkan usaha membantu bumiputera memiliki hartanah di lokasi yang strategik, terutama di kawasan bandar.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula menyediakan kemudahan latihan dan program pembangunan usahawan kepada peniaga bumiputera.

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga menyediakan pakej pembangunan usahawan bersepadu bagi membantu bumiputera di sektor peruncitan kecil dan sederhana.

Laporan RMK-9 yang dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri mengatakan kerajaan telah menetapkan sasaran meningkatkan pemilikan modal bumiputera di antara 20 hingga 25 peratus menjelang 2010. Untuk tujuan itu, sekurang-kurangnya pemilikan bumiputera mesti mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2020.

Ingatlah bahawa pemilikan modal bumiputera meningkat kepada RM100 bilion pada 2004 berbanding dengan RM63 bilion tahun 2000. Namun nisbah pegangan ekuiti masih tidak berubah pada 18.9 peratus.

Dalam RMK-9, kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan nisbah perbezaan pendapatan bumiputera dengan kaum Cina kepada 1:1.50 pada tahun 2010 daripada 1:1.64 pada 2004, dan di antara bumiputera dengan kaum India kepada 1:1.15 daripada 1:1.27.

Langkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan ECER pada 29 Oktober (Isnin) ini adalah sebahagian daripada fokus utama di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bertujuan membela nasib orang Melayu.

Keputusan kerajaan membangunkan wilayah pembangunan ini selepas melancarkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), adalah satu cabaran yang perlu diberi sokongan padu oleh semua pihak terutama penduduk tempatan di Kelantan, Terengganu, Pahang serta Mersing di Johor.

Pelancaran ECER diharap usaha melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang menekankan kepada usaha mewujudkan lebih ramai usahawan bumiputera patut menjadi agenda utama memandang 80 peratus penduduk kawasan pembangunan itu adalah orang Melayu dan bumiputera.

Di sinilah usaha untuk menambah bilangan usahawan bumiputera dapat dijayakan dengan membuka ruang dan peluang untuk mereka merebut dan menyertai aktiviti ekonomi dan perniagaan di ECER.

Jurang perbezaan pendapatan dan pegangan ekonomi dalam masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera perlu dirapatkan.

Penduduk bumiputera di Pantai Timur harus sedar bidang keusahawanan membuka peluang untuk mereka memperoleh pendapatan dan kekayaan yang lebih berbanding makan gaji dalam program pembangunan ECER.

0 ulasan: