Selasa, 9 Oktober 2007

Orang UMNO dulu, kini dan selamanya

Saya menulis bukan untuk mendapat perhatian, saya menulis bukan untuk suka-suka, saya menulis bukan untuk memburukkan keadaan. Saya adalah boleh dikategorikan sebagai budak muda yang separuh masak dalam hidup ini. Separuh masak dalam segala segi. Saya hanya mengenali apa itu politik semasa berumur belasan tahun. Saya dilahirkan selepas 20 tahun merdeka. Saya masih mentah dan memerlukan tunjuk ajar. Tunjuk ajar dari dari semua orang untuk saya memahami kehidupan ini.

Saya mula mengenali UMNO ketika berumur belasan tahun. Saya amat kagum dengan apa yang UMNO cuba bawakan. Seruan UMNO berlegar-legar di dalam fikiran saya. Bangkitlah bangsa melayu..Majulah bersama UMNO..Majulah Agama dan Negara. Pemimpin-pemimpin UMNO bersatu hati melaungkan ideologi tersebut. Semuanya menuju kearah itu. Banyak yang kita kecapi dari apa yang telah UMNO bawakan ketika dibawah kepimpinan pemimpin-pemimpin UMNO yang lalu.

Saya masih ingat sewaktu Tun Dr. Mahathir melafazkan kata-kata bahawasanya beliau akan bersara dan beliau dengan penuh keyakinan menyerahkan TUGAS BELIAU YANG BELUM SELESAI kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu (semasa pengumuman persaraannya), ramai AWAK-AWAK UMNO dalam mesyuarat tersebut menangis kesedihan mendengar perkhabaran tersebut. Saya sendiri mengakui menitiskan air mata bila mendengar seorang pemimpin (yang saya sanjungi sejak saya mula mengenalinya iaitu ketika berumur belasan tahun ) ingin bersara. Bermacam-macam cara dilakukan bagi menunjukkan rasa sedih dan terharu terhadap persaraan Tun pada ketika itu. Namun kesedihan itu terubat bila Tun mengumumkan penggantinya adalah Dato' Seri abdullah Ahmad Badawi. Bukan saya seorang sahaja yang merasakan begitu tetapi seluruh rakyat jelata menyatakan pilihan yang dibuat oleh Tun adalah tepat sekali. Semangat UMNO kembali berkobar-kobar. AWAK-AWAK UMNO menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Pak Lah. Sokongan bukan sekadar cakap-cakap sahaja. Cuba lihat keputusan pilihanraya pertama kali semasa Pak Lah memegang tampuk pemerintahan. Saya begitu bersemangat untuk pulang mengundi ( ketika itu saya bekerja di Johor Bharu ) bagi memberi sokongan kepada UMNO dan menunjukkan sokongan kepada Pak Lah kita. Keputusan pilihanraya tersebut adalah bukti kepada kita bahawasanya pilihan Tun adalah betul dan rakyat menyukai kepimpinan yang ada pada Pak Lah.

Namun saya keliru dengan keadaan yang berlaku di akhir-akhir ini. Keliru dengan keadaan terumbang-ambing perahu yang dinaiki oleh orang-orang UMNO. Pada hari ini saya sangat sedih dan terharu dengan apa yang berlaku kepada AWAK-AWAK UMNO yang sibuk dan saling menuduh antara satu sama lain. Bermula dari atas sehingga ke peringkat bawahan masing-masing menyatakan sokongan kepada orang itu dan orang ini sebagai pemimpin mereka. Padahal mereka semua adalah orang UMNO. Apa yang mereka mahukan...adakah mereka mahukan kuasa, mahukan ganjaran, kedudukan, perhatian, atau apa saja yang bermain dalam fikiran masing-masing.

Saya telah membaca setiap apa yang ditulis di dalam Blog2 berkaitan isu-isu semasa politik di negara kita. Banyak isu cuba diketengahkan oleh mereka tentang seseorang individu penting negara. Ada yang menuduh, ada yang dituduh, ada yang mencarut, ada yang membuat nakal, ada yang menyokong, ada yang membenci dan sebagainya termasuklah pendedahan itu dan pendedahan ini yang semuanya menyatakan bahawasanya mereka adalah benar

AWAK-AWAK UMNO tengah berperang sesama sendiri, ada juga yang ingin membunuh Kapten, ada juga yang ingin membunuh bekas Kapten yang juga guru kepada Kapten pada masa ini, ada juga yang ingin membunuh kedua-duanya sekali. Ada yang ingin melaga-lagakan Kapten dengan orang kanannya. Melaga-lagaka orang Kanan Kapten dengan orang-orang tertentu dan bermacam-macam cerita ceriti yang memang membosankan jika kita membacanya. Kadang-kadang saya naik meluat membaca apa yang ingin disampaikan.

Saya dapat merasakan AWAK-AWAK UMNO sedang berperang untuk merebut jawatan di dalam UMNO. Kadang-kadang saya sedih..sedih kerana masa yang ada digunakan untuk berperang sesama sendiri dan bukannya digunakan untuk mencari jalan bagi membantu orang melayu amnya dan anak-anak melayu khususnya. Ada yang ingin naik, ada yang menjadi batu api, ada yang berkecuali dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di peringkat tertinggi UMNO. Tetapi peperangan ini sedang merebak di keseluruhan negeri, daerah dan kampong-kampung. Mereka bercakap pasal kedudukan yang perlu diisi di dalam UMNO. Siapa yang layak dan siapa yang tidak layak. Tiada langsung percakapan tentang misi yang ingin dibawa. Tiada langsung percakapan tentang masalah orang melayu. Tiada langsung percakapan tentang kecelakaan yang sedang bangsa melayu hadapi. Tiada langsung percakapan tentang nasib anak-anak muda melayu. Mereka membuang masa, tenaga dan wang ringgit bercakap mengenai KEDUDUKAN di dalam UMNO.

Kita tidak payah pergi kepada peringkat Menteri. Hanya lihat kepada peringkat ketua cawangan dan mereka yang dipanggil YB di tempat masing-masing. Apa yang mereka fikirkan..Projek..Projek..Projek..Untung..Untung..Untung..Duit..Duit..Duit..sokong itu..sokong ini..lawan itu..lawan ini..( sesama sendiri ) tetapi mereka tidak fikir macamana keadaan penduduk kampung atau di sesesuatu kawasan ( Orang-orang melayu ) yang telah memberi kepercayaan kepada mereka. Apa orang melayu dapat jika dia menjadi pemimpin. Apa racangan mereka untuk anak-anak muda melayu jika mereka menjadi ketua dan pemimpin.

Jika UMNO diibaratkan sebagai sebuah perahu, dahulu Kaptennya adalah TUN dan kini Kaptennya adalah Pak Lah. Jika kita mengambil kira apa yang diperkatakan di dalam blog-blog internet tersebut adalah benar, saya secara terang menyatakan tidak berani untuk menaiki perahu UMNO ini. Jika saya menaikinya, risikonya adalah terlalu tinggi. sama ada saya akan mati lemas jika perahu tersebut akan tenggelam, saya mati terbunuh, dibunuh atau pun saya akan mati dengan cara membunuh diri. Saya juga mungkin tidak sampai ke destinasi seperti diperkatakan oleh pihak UMNO. Saya akan hanyut dibawa arus dan mungkin tersadai di mana-mana tempat yang saya tidak tahu di mana berada.

Dahulu ( semasa saya kecil ) orang melayu sokong UMNO kerana perjuangannya. Pemimpin-pemimpinnya amat cekal mempertahan serta memperjuangkan martabat agama, bangsa dan negara. Namun kini apa yang saya nampak UMNO adalah satu parti untuk orang melayu tertentu menjadikannya batu loncatan untuk mencari keuntungan ( mungkin bukan semua ). Mereka-mereka ini mempergunakan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk kepentingan pribadi (mungkin bukan semua).

Cuba tanya ketua cawangan, apa yang mereka nak buat jika menjadi Ketua..Sudah tentu jawapannya nak bagi pembangunan. Pembangunan yang macam mana tu??? nak buat jalan..nak buat sekolah..nak buat itu..nak buat ini dan macam2 lagi dia nak buat. Tanya pula wakil rakyat..dia cakap nak majukan kawasan itu...tanya pula ahli parlimen...nak bangunkan daerah dia..tanya menteri..jawapannya lebih kurang sama..saya maksudkan jawapan itu bukan semuanya memberikan jawapan tersebut..tetapi kebanyakkannya itulah jawapannya. Dengan kata lain..Projek..Projek..Projek.

Di peringkat menteri dan pembuat dasar ada menyebutkan untuk memajukan bangsa melayu..tetapi apabila ianya sampai di peringkat bawahan..lain pula yang jadi..Bangsa melayu masih sama..hanya mereka yang tertentu sahaja memperolehi apa yang diperkatakan. Pemikiran orang kampung masih sama. Tidak banyak yang berubah sejak dari saya kecil sehingga sekarang. Orang melayu kampong hanya pandai mencari rezeki sekadar untuk hidup sahaja. Orang melayu kampong masih agung-agungkan orang bukan melayu. Orang melayu kampong masih rendah diri. Orang melayu kampong masih tidak tahu apa itu wawasan Negara. Orang melayu kampong masih tertanya-tanya apa itu dasar kerajaan. Orang melayu kampong masih sesat di tengah jalan. Orang melayu kampong tidak kenal pemimpin mereka. Orang melayu kampong tidak tahu apa yang terjadi. Orang melayu kampong terus ketinggalan dan ditinggalkan. Orang melayu kampong masih ada yang hidup seperti di zaman 80an lagi. Orang melayu kampong masih tidur dan tiada siapa yang mengejutkan mereka dari tidur. Anak-anak melayu hilang arah. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Anak-anak melayu dibiarkan. Anak-anak melayu tidak tahu apa perjuangan UMNO. Mereka tidak peduli. Orang melayu masih susah untuk berniaga. Orang melayu mencari-cari tempat untuk mengadu masalah. Orang melayu masih tersisih. Orang melayu masih ketinggalan dan ditinggalkan oleh pemimpin mereka. Nasib pelajar melayu yang telah menamatkan pengajian masih dalam keadaan terumbang ambing. ORANG MELAYU SEMAKIN LAYU

Di zaman Tun, peluang dibuka seluas-luasnya kepada orang melayu untuk berniaga. Tetapi pemimpin dan orang yang diberi kepercayaan oleh orang melayu untuk membangunkan orang melayu telah melupakan orang melayu. Mereka telah mengkhianati bangsa melayu. Mereka diberi kepercayaan oleh pemimpin-peminpin UMNO agar membantu bangsa melayu, tetapi mereka lebih suka berurusan dengan orang bukan melayu. Mereka mengambil sedikit sahaja dari kekayaan UMNO dan Negara tetapi memberikan keseluruhan kekayaan tersebut kepada bangsa lain. Mereka juga telah menjadikan bangsa lain mendapat lebih dari bangsa melayu. Demi mendapat keuntungan yang cepat disamping mengelakkan kekayaan tersebut jatuh ke tangan melayu lain, mereka sanggup bersekongkol dengan bangsa lain. Mereka telah diperbodohkan oleh bangsa lain. Kini, kita dapat lihat apa yang bangsa melayu dapat, semuanya mengigit jari. Pemimpin UMNO tersebut ( Bangsa Melayu ) telah dipergunakan oleh bangsa lain. Pemimpin yang diberi tanggungjawab inilah yang telah menghampakan hasrat orang melayu. Siapa pemimpin itu..Orang melayu kita..Orang UMNO sendiri. Walau pun ditegur oleh Tun..mereka masih tidak mendengarnya malahan melenting dan membuat kacau agar keadaan menjadi kelam kabut. Itulah dia Pemimpin Melayu di dalam UMNO yang menjadi pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara

Mengapa bangsa lain berkerumun di kawasan Bandar-bandar. Mengapa mereka lebih suka berada di sana. Mengapa bangsa lain lebih kaya dari bangsa melayu. Mengapa bangsa melayu masih memanggil bangsa lain ‘Taukeh’. Mengapa bangsa melayu masih rendah diri dengan bangsa lain. Mengapa bangsa melayu masih menjadi kuli dan balaci kepada bangsa lain. Padahal sudah 50 tahun UMNO melaung-laungkan Dasar Ekonomi Baru. Dasar untuk orang melayu. Dasar kesamarataan ekonomi antara bangsa-bangsa di Negara ini. Sebagai manusia, jika umur telah mencecah 50 tahun kita ingin melihat diri kita tidak lagi hidup tersempit dan melarat. Tetapi bangsa melayu masih hidup pada tahap yang sama sepeti 50 tahun yang lalu. Cuma yang berubah dari segi fizikal Negara ( bangunan-bangunan tinggi, jalan raya ) tetapi pemikiran orang melayu masih sama. Mengapa keadaan ini terjadi. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu menjawabnya. Apa yang mereka telah lakukan untuk bangsa mereka sejak 50 tahun dahulu. Pemimpin utama mempercayai mereka..tetapi mereka telah mengkhianatinya. Mengkhianati bangsa mereka.

Memang betul kerajaan memberikan keutamaan kepada bangsa melayu. Semuanya kepada bangsa melayu. Tetapi mengapa yang mendapat bahagian yang lebih adalah bangsa lain. Dimana silapnya. Siapa yang melakukannya. Orang itu tidak lain adalah bangsa melayu, pemimipin melayu dan orang-orang UMNO itu sendiri yang melakukannya. Sebagai contohnya, setiap projek kerajaan sememangnya banyak diperolehi oleh orang melayu ( Pemimpin UMNO ). Tetapi operasinya dilakukan oleh bangsa lain. Sumber kewangan daripada bangsa lain, orang-orang yang penting adalah dari bangsa lain, jentera-jentera adalah dari bangsa lain, alat-alat ganti dari bangsa lain. Bahan-bahan pembinaan dari bangsa lain. Dengan kata lain, semuanya dari bangsa lain. Bangsa melayu hanya layak menjadi orang yang tidak penting dan menjadi kuli-kuli kepada ‘taukeh-taukeh’ tersebut. Deretan kedai-kedai di Bandar-bandar utama kepunyaan bangsa lain. Orang melayu menjadi pengguna dan bangsa lain menjadi pembekal. Dimana silapnya..pemimpin-pemimpin UMNO perlu menjawabnya. Pemimpin UMNO perlu memikirkannya. Di mana silap mereka.

Sudah 50 tahun UMNO berkuasa. Tetapi perangai pemimpin-pemimpin UMNO masih seperti dahulu. Malahan lebih teruk dari dahulu. Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan keluarga sahaja. Mereka hanya suka berpolitik. Mereka hanya mahukan kerusi di dalam UMNO. Sebelum mendapat kerusi tersebut, mereka sanggup turun ke padang tidak kira siang dan malam bertemu orang melayu. Tetapi bila telah mendapat kerusi tersebut, mereka turun pula bertemu dengan bangsa lain untuk mengatur apa yang mereka mahukan. Pedulikan bangsa melayu yang memberi kepercayaan kepada mereka. Bangsa melayu kononya tidak boleh memberikan apa-apa ( seperti yang dimahukannya ) kepada pihaknya. Hanya bangsa lain yang boleh diharapkannya. Mereka telah lupa tanpa bangsa melayu tersebut, mereka tidak akan berada ditempat tersebut. Bangsa lain tidak akan memberi muka kepada mereka. Bangsa lain tidak kenal siapa mereka. Mereka adalah wakil orang melayu yang diangkat oleh orang melayu tetapi mereka telah mengkhianati orang melayu yang sebangsa dengannya.

Jika pemimpin UMNO mengambil berat kepada bangsa melayu sejak 50 tahun dahulu..sudah tentu kita akan dapat melihat deretan-deretan kedai kepunyaan orang melayu di Bandar-bandar utama. Orang melayu sudah menjadi ketua dalam setiap apa yang dilakukan. Orang melayu sudah setaraf malahan lebih tinggi darjatnya dari bangsa lain. Orang melayu hanya berkuasa dalam jabatan kerajaan..tetapi bila keluar pejabat mereka menjadi balaci kepada bangsa lain. Begitu juga dengan wakil rakyat UMNO. Sama sahaja..bila mahukan undi, kempennya bergegar untuk orang melayu..tetapi disekelilingnya taukeh-taukeh dari bangsa lain yang ingin mendapat untung. Orang melayu hanya bersorak dan bangsa lain menunggu habuan. Itulah orang UMNO yang juga bangsa melayu.

Dimana pejuang-pejuang tulen orang melayu. Dimana pembela orang melayu. Dimana pemimpin melayu...mereka semuanya sedang bercakaran sesama sendiri. Mereka sedang mengejar sesuatu. Mereka sedang tidur lena. Mereka sedang seronok dengan diri mereka sendiri.

Begitu juga dengan parti PAS. Kempennya adalah ISLAM. Itu ISLAM..Ini ISLAM..semuanya ISLAM. Tetapi apa yang mereka ingin sebenarnya. Hanya Tuan Guru Nik Aziz sahaja yang disegani. Pemimpinnya yang lain adalah haprak. Sudah lebih 15 tahun memerintah Kelantan. Apa yang mereka telah berikan kepada rakyat kelantan. Jika dahulu saya pernah mendengar itu haram..ini haram keluar dari mulut pemimpin Pas..tetapi kini sudah menjadi halal. Apa ini semua..mereka bermain dengan agama..mereka tidak ubah seperti seperti orang-orang yang dikatakan munafik. Halal jika mereka yang ingin dan lakukan dan ianya menjadi haram jika pihak lain yang ingin dan lakukan. Mereka tidak membantu melayu. Mereka hanya menyusahkan melayu. Jika mereka benar-benar ingin mendaulatkan bangsa, agama dan Negara..mana bukti yang telah mereka tunjukkan. Sejak 15 tahun Pas memerintah kelantan. Hanya cakap kosong yang kami perolehi. Orang melayu kelantan semakin mundur. Jika UMNO mendapat tujuh (7) markah..Pas mendapat markah yang negative (-ve). Ini perbandingan dalam keupayaan untuk membangunkan orang melayu sahaja. Pihak Pas perlu memikirkan semula wadah perjuangan mereka demi untuk orang melayu.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim ( Bekas Timbalan Perdana Menteri ) ini pun satu. Jika beliau tidak gelojoh semasa berada di bawah naungan Tun dahulu sudah pasti beliau akan menjadi orang nombor satu dalam UMNO. Saya percaya, penyingkirannya dari UMNO adalah bersebab. Sememangnya sebab yang tidak dapat dimaafkan oleh Tun. Jika dahulu Dato’ Seri Anwar adalah idola saya. tetapi kini saya sudah merasakan menyampah bila mendengar namanya. Menyampah bukan sebab kesalahannya. Tetapi menyampah kerana beliau telah belok terhadap bangsa melayu.Tun masih teguh berdiri tetapi Dato’ Seri Anwar sudah hilang arah perjuangannya. Beliau bukan lagi berjuang untuk bangsa melayu. Beliau telah berpaling tadah. Beliau secara terang-terangan bersekongkol dengan bangsa lain dengan menubuhkan Parti Keadilan yang sudah pasti menidakkan ketuanan bangsa melayu. Namun bagi saya, Parti Keadilan ditubuhkan hanya untuk mendapatkan keadilan (kononnya) bagi pihak dato’ Seri Anwar sahaja. Bukan untuk keadilan bangsa melayu. Beliau semakin jauh tersasar. Beliau semakin sesat dengan dirinya sendiri. Namun, saya merasakan masih ada peluang kemaafan kepada Dato’ Seri Anwar oleh pihak-pihak UMNO. Bawalah semula Dato’ Seri Anwar bersama-sama. Beliau juga bukannya orang lain. Pernah bersama-sama dengan orang UMNO suatu ketika dahulu. Jangan biarkan Dato’ Seri Anwar melilau tanpa arah tujuan. Jangan biarkan beliau ( Orang melayu yang juga bekas pemimpin UMNO ) menambahkan kecelakaan kepada bangsa melayu. Tun juga pernah memaafkan musuh-musuh politiknya. Malahan memberi tempat kepada orang tersebut di dalam kabinetnya. Mereka ini lebih menghormati Tun daripada mereka yang selama ini tidak pernah berselisih dengan Tun. Dato’ Seri Anwar..kembalilah ke pangkal jalan. Kembalilah kepada UMNO. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Gunakanlah kebolehan yang ada pada Dato’ Seri untuk bangsa melayu. Kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, berilah peluang kepada Dato’ Seri Anwar. Saya pasti di sudut hati beliau ingin kembali kepada UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO diharapkan memaafkan serta membawa balik Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO DEMI BANGSA MELAYU, AGAMA DAN NEGARA DAN BUKANNYA UNTUK PANGKAT DAN KEDUDUKAN DALAM KERAJAAN ATAU PUN PARTI.

Pak Lah adalah pilihan Tun. Sesiapa yang membenci Pak Lah bermakna membenci pilihan Tun. Tun bukannya suka-suka untuk melantik Pak Lah sebagai penggantinya. Tun juga bukannya suka-suka membuang Pak Lah jika ada kesilapan. Beliau hanya menegur sahaja agar Pak Lah tidak lari dari landasan. Beliau telah lama menjadi Perdana Menteri. Beliau tahu apa yang Beliau lakukan. Pak Lah juga sama..Beliau tahu Tun memberi kepercayaan kepadanya. Namun, saya sedih bila membaca blog-blog tersebut apabila ada yang cuba melaga-lagakan Tun dengan Pak Lah. Mereka ini sepatutnya dikenakan tindakan yang bekenaan dengan Akta Hasutan. Jika mereka sayangkan Tun, mereka mesti sayang kepada Pak Lah. Jika dahulu mereka memberi sokongan yang penuh kepada Tun, sokongan seperti itulah sepatutnya diberikan kepada Pak Lah. Tun menjadi kuat kerana mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada Tun. Mengapa perkara yang sama mereka tidak lakukan kepada Pak Lah. Jika semuanya menyokong Pak Lah sudah pasti Pak Lah akan menjadi seperti Tun. Jika Pak Lah tidak disokong oleh AWAK-AWAK UMNO sekarang dan menyebabkan beliau tumbang, saya pasti pemimpin yang mengambil alih kedudukannya akan menghadapi perkara yang sama sepertinya. Pemimpin UMNO tidak akan jatuh jika orang UMNO sendiri yang menjatuhkannya. Mereka merasakan mereka lebih pandai dan berkebolehan berbanding yang lain, tetapi mereka lupa mereka juga akan menghadapi perkara yang sama jika mereka berada di tempat tersebut. Walau pandai mana pun seseorang pemimpin itu, jika orang-orang di sekelilingya tidak menyokongnya sudah pasti beliau akan jatuh tersungkur. UMNO akan kucar-kacir bila keadaan ini terjadi dan bermula di saat-saat itu UMNO dalam keadaan yang parah. Dan di saat itu juga UMNO akan menjadi TIDAK RELEVAN kepada bangsa melayu. Sudah nampak apa yang pemimpin UMNO inginkan dan berkemungkinan orang melayu akan beralih sokongan kepada parti-parti altenatif yang ingin memperjuangkan nasib bangsa.

Sama juga dengan AWAK-AWAK UMNO yang berada di bawah Pak Lah. Bersainglah dengan cara yang terbaik. Laman-laman Blog tersebut menyebut perebutan kuasa. Tuduh menuduh, ampu mengampu dan berbagai lagi menjadi bahan bacaan. Janganlah membuka pekung di dada. Pertembungan antara melayu dengan melayu telah menguntungkan orang bukan melayu. Melayu hanya suka bermain politik dan mendapat kuasa. Orang kampong tertanya-tanya kemana perginya wakil rakyat mereka. Adakah wakil rakyat mereka tahu apa masalah mereka. Adakah wakil rakyat sedar orang kampong memerlukan mereka. Di mana ahli parlimen mereka. Tidak pernah nampak batang hidung. Kedua-dua mereka ini sibuk. Sibuk dengan apa?? Sibuk dengan diri sendiri atau sibuk dengan kerja lain atau pun mereka pergi menyibuk di tempat-tempat lain. Jika sibuk mengapa hendak menjadi wakil rakyat dan ahli parlimen. Dulu, kini dan selamanya mereka sibuk. Sibuk dengan pengaturan strategi untuk diri sendiri. Jika dahulu mereka sibuk kerana hendak menjadi wakil rakyat, kini mereka sibuk kerana hendak menjadi wakil rakyat dan selama-lamanya mereka sibuk kerana hendak menjadi wakil rakyat. Mereka juga sibuk kerana berperang sesama sendiri. Tetapi mereka bukannya sibuk untuk membantu bangsa melayu malahan telah melupai tujuan UMNO ditubuhkan 50 tahun dahulu.

Seperkara lagi yang telah lama timbul dalam UMNO dan ia terbawa-bawa sehingga sekarang. Setiap kali ada pemilihan, mereka akan gunakan wang untuk bertanding. Tidak kira semasa pilihanraya umum atau pun semasa pemilihan perwakilan. Keadaan ini merupakan barah kepada UMNO untuk jangka masa panjang. UMNO akan tersungkur jika pemimpin yang di angkat bermain dengan politik wang. Hidup mereka hanya untuk wang semata-mata. Apabila mereka berkuasa, mereka akan mendapatkan seberapa banyak wang . Mereka akan melupai apa tujuan mereka dilantik. Mereka akan cepat jatuh dari landasan yang betul. Rakyat diajar dengan politik wang. Kalau sokong UMNO dapat wang. Kalau sokong saya kamu akan dapat itu dan dapat ini. Jika kamu tidak menyokong saya, kamu akan ‘terkena’ jika saya menang nanti. Bagi pihak yang kalah pula, kalau saya kalah, jagalah engkau… Itulah orang-orang UMNO sekarang. Siapa yang rugi..Bangsa melayu dan orang UMNO juga yang rugi. Siapa yang untung.. bangsa lain juga yang untungnya.

Saya merayu kepada pemimpin UMNO. Janganlah berperang sesama sendiri.Tumpukan perhatian kepada bangsa kita. Lakukan apa saja yang dapat untuk bangsa. Jadikanlah semangat yang ada pada Tunku, Tun Hussien, Tun Razak, Tun Mahathir dan Pak Lah sebagai pegangan. Pemimpin UMNO jangan selesa dan leka dengan jawatan yang diberi. Bantulah anak-anak melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa –bangsa lain di Negara ini ( tetapi sebenarnya biarlah lebih tinggi daripada bangsa lain). Tuan mempunyai kudrat untuk membantu. Tuan mempunyai kelebihan untuk membantu. Jika tuan tidak membantu bangsa melayu, siapa lagi yang boleh membantu. Tuan adalah orang melayu yang dilantik oleh orang melayu untuk menjadi pemimpin orang melayu. Tuan WAJIB membantu bangsa melayu. Tuan adalah harapan kami semua. Harapa kami untuk melihat bangsa melayu ini sebagai bangsa yang disanjungi, dihormati dan disegani. Tiada guna bergaduh kerana inginkan kuasa. Jika tuan bergaduh demi kepentingan orang melayu, orang melayu akan membantu tuan menduduki di tempat yang sewajarnya. Tuan jangan risau, selagi hayat dikandung badan tuan-tuan sekelian akan disanjungi oleh bangsa melayu yang tidak pernah mudah lupa.

Ini adalah apa yang saya nampak dari kacamata saya sendiri ( Orang lain mungkin lain pandangannya ) berkenaan dengan UMNO pada waktu ini. Perahu UMNO dikayuh tidak seirama. Pergolakan dalaman berlaku. UMNO akan runtuh jika begini keadaannya. UMNO tidak kuat untuk menahan tekanan dari dalam dan luar. UMNO akan jatuh jika bangsa melayu ditinggalkan. UMNO akan jatuh jika pemimpinnya telah sesat. Orang melayu akan terus melayu dan layu sehingga menyembah ke kaki bangsa-bangsa lain di kemudian hari. Tolonglah Bangsa Melayu. Bangsa kita. ORANG MELAYU.


0 ulasan: