Sebelum itu saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-50 kepada rakyat Malaysia yang akan kita sama-sama menyambutnya pada 31 Ogos nanti. Walaupun kita akan meraikan hari kemerdekaan kita tidak lama lagi namun terdapat insan yang sedih dan sedang meratapi pemergian saudara mara mereka. Mereka sedih kerana saudara mara atau anak beranak mereka telah meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya kerana terlibat dalam kemalangan baru-baru ini. Takziah saya ucapkan.
Kemalangan ngeri itu telah meragut sebanyak 20 nyawa dan ianya dikatakan adalah kemalangan yang paling ngeri dalam sejarah Negara ini. Kemalangan tersebut juga telah membuka mata banyak pihak sehinggakan berlakunya tunding menunding jari diantara pihak-pihak tertentu. Masing-masing cuba menegakkan benang yang basah. Lembaga Perlesenan, JPJ, Polis Trafik dan berbagainya lagi.
Banyak tindak balas yang diterima dari orang ramai. Bermacam-macam cadangan yang diberikan sama ada dari orang ramai atau pun dari pihak-pihak yang disebutkan tadi. Walau pun demikian, nasi sudah menjadi bubur. Kejadian telah pun berlaku malahan semakin menjadi-jadi sehingga ke hari ini. Saban hari kejadian kemalangan yang melibatkan bas ekspress semakin menjadi-jadi. Apa sebenarnya yang sedang berlaku???...
Saya percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan perkara ini. Apakah puncanya..hanya mereka yang terlibat secara langsung sahaja yang mengerti dan tahu apakah puncanya keadaan tersebut berlaku. Namun saya secara peribadinya menyatakan bahawa salah satu punca utamanya kejadian tersebut adalah daripada pemandu itu sendiri. Setiap pemandu bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan yang sedang dan akan dilakukannya adalah selamat. Pemandu tersebut perlu memastikan kenderaan yang ingin dipandunya adalah selamat. Pemandu tersebut perlu memastikan dirinya sendiri adalah berkebolehan dan bersedia untuk melakukan perjalanan. Pemandu tersebut yang bertanggungjawab terhadap penumpangnya.
Saya tidak akan memandu kereta jika tubuh saya letih. Saya tidak akan memandu kereta jika saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kenderaan saya. saya tidak akan memandu jika saya tidak bersedia.
Walau pun begitu, kita tidak boleh salahkan pemandu itu sahaja. Banyak faktor yang patut diambil kira. Syarikat pengusaha bas, Pihak Perlesenan (LKPP), Puspakom, JPJ dan Polis Trafik. Tindak tanduk mereka ini juga merupakan salah satu penyumbang kepada kemalangan yang berlaku.
Saya juga pernah berulang-alik dengan menggunakan khidmat bas ekspress ini. Saya dapat perhatikan ada sesetengah bas yang digunakan adalah terlalu uzur untuk berada di jalan raya. Bukan sahaja luarannya tetapi merangkumi dalamannya. Saya tidak dapat gambarkan keadaan enjin dan sistem-sistem mekanikalnya yang lain. Adakah ianya berfungsi dengan baik atau tidak. Jika ianya dikatakan uzur, sudah semestinya kelengkapannya adalah yang lama dan ianya boleh dikatakan akan rosak bila-bila masa sahaja. Syarikat bas tersebut sememangnya tidak mempedulikan soal tersebut apatah lagi soal keselamatan penumpangnya. Mereka hanya mahukan untung sahaja dan tidak akan menghiraukan soal-soal kebajikan yang lain. Begitu juga dengan pemilihan pemandu. Adakah mereka memilih pemandu yang betul-betul berkebolehan dan tahu tanggungjawabnya sebagai pemandu. Adakah mereka telah menyiasat latar belakang pemandu tersebut sebelum mengambilnya bekerja. Adakah pemandu mereka telah dilatih untuk menjadi pemandu yang baik. Adakah pemandu mereka diberi layanan yang baik oleh mereka. Adakah gaji yang diterima oleh pemandu tersebut adalah setimpal dengan kerja yang dilakukannya. Adakah terdapatnya satu sistem yang baik diamalkan oleh pengusaha bas. Adakah mereka mempedulikan akan perkara-perkara tersebut?..Hanya pengusaha bas sahaja yang dapat menjawabnya.
Begitu juga dengan pihak Polis Trafik dan JPJ. Sepanjang saya memandu di jalan-jalan utama di Negara ini, boleh dikatakan akan terserempak dengan pihak terbabit. Mereka akan membuat sekatan jalan di mana-mana sahaja sehinggakan pernah beberapa kali saya terserempak dengan lima sekatan jalan raya sekaligus dilakukan di tempat-tempat yang berasingan dalam perjalanan ke destinasi. Saya tidak tahu apa yang mereka semak dan cari semasa sekatan itu dilakukan. Namun yang pastinya mereka akan memeriksa lesen dan kad pengenalan seseorang. Tahniah saya ucapkan kepada pihak tersebut kerana sanggup melakukan tugas dengan tidak kira waktu. Tetapi persoalannya, mengapa kenderaan yang usang tadi masih berjalan di atas jalan raya. Mengapa pemandu yang dikatakan mempunyai 15 saman malahan telah mendapat waran tangkap masih boleh memandu. Mengapa bas yang dikatakan mempunyai banyak saman itu masih berada di atas jalan. Mengapa lori-lori yang membawa muatan yang lebih masih boleh meneruskan perjalanan mereka tanpa diambil tindakan. Mengapa bas dan kenderaan berat yang dipandu laju tidak diambil tindakan. Mengapa kenderaan yang usang tadi tidak diambil tindakan. Mengapa dan mengapa..banyak persoalan yang timbul dan perlu dijawab oleh pihak terbabit kepada rakyat. Jika kita katakan mereka hanya meminta cukai segera ( rasuah ) di atas jalan dan di kedai kopi, sudah tentu ada yang melenting. Tetapi itulah hakikatnya mereka pada hari ini. Jika mereka benar-benar melakukan tugas masing-masing sudah tentu kenderaan-kenderaan serta pemndu-pemandu yang bermasalah itu tidak akan berada di jalan raya kita ini. Jika bukannya disebabkan oleh ‘cukai segera’, adakah mereka ini telah lalai dan melupai tugas sebenar mereka. Sudah tentu mereka tidak lalai dan melupai tugas masing-masing. Hanya mereka sahaja yang tahu jawapannya.
Bagi pihak LKKP pula, saya dapat melihat di bahagian belakang kenderaan-kenderaan berat perdagangan di tampal dengan poster LKKP yang mengandungi talian HotLine. Tetapi semuanya indah khabar dari rupa. Ada sesetengah orang ramai yang ingin mencubanya tetapi kecewa dengan layanan yang diterimanya. Apa gunanya poster tersebut dilekapkan jika ianya tidak membawa apa-apa makna. Lebih baik ditampal nombor TOTO terkini yang sememangnya dapat menarik minat orang ramai. Begitu juga dengan lesen-lesen yang dikeluarkan. Aduan telah diterima, rekod serta bukti telah ada tetapi tiada usaha pengharaman dilakukan terhadap pengusaha-pengusaha bas dan kenderaan berat yang lain yang bermasalah tersebut. Mereka masih menjalankan operasinya seperti biasa. Malahan berani membelakangkan undang-undang Negara. Jika diperhatikan baru-baru ini, pihak LKKP menyatakan bahawasanya syarikat Bukit Gantang telah lama ditutup operasinya. Tetapi mengapa bas kelolaan syarikat terbabit masih berada di jalan raya. Siapa yang menguruskannya. Mengapa pihak LKKP tidak tahu mengenainya sebelum ini. Apa yang mereka sedang buat. Apa yang mereka telah lakukan. Hanya pihak LKKP sahaja yang tahu apa yang mereka telah, sedang dan akan lakukan.
Sama sahaja dengan pihak Puspakom. Mengapa senyap sahaja. Adakah pihak anda tidak bersalah dalam hal ini?. Sebenarnya pihak Puspakom juga memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Kadang-kadang saya bingung dengan pihak ini. Manakan tidak, kenderaan-kenderaan yang lama terutamanya lori dan bas yang sememangnya tidak selamat boleh lulus pemeriksaannya. Tengok dengan mata pun kita boleh katakan bahawasanya kenderaan tersebut akan runtuh dengan sendirinya bila-bila masa sahaja. Inikan pula pihak Puspakom telah membuat pemeriksaan yang teliti. Tetapi bas-bas dan lori-lori serta kenderaan yang dikategorikan sebagai sakit masih berada di atas jalan raya. Apa yang mereka periksa. Siapa yang meluluskan. Apa yang mereka buat. Hanya mereka sahaja yang tahu jawapannya.
Rentetan daripada peristiwa tersebut, banyak pihak membuka mata betapa seriusnya akan perkara ini. Sehinggakan Pak Lah sendiri yang bersuara dan mengeluarkan kenyataan. Saban hari kemalangan demi kemalangan telah berlaku di atas jalan raya kita. Kadang-kadang saya sendiri takut untuk memandu. Walau pun saya berusaha untuk menjadi pemandu yang berhemah tetapi orang lain yang menjadi punca kemalangan tersebut. Bayangkan sejak saya mula memandu sehingga sekarang, kereta saya telah dilanggar sebanyak empat kali ( kemalangan kecil ) oleh pemandu kita dan dua kali nyaris-nyaris terlibat dalam kemalangan yang boleh membawa kepada kecederaan parah atau pun maut jika ianya berlaku. Semuanya gara-gara pemandu yang tidak berhati perut. Kebanyakkan rakyat di Negara kita baru mengenali jalan raya. Baru mengenali kenderaan. Tidak sampai 30 tahun pun. Kesedaran pemandu untuk memandu di jalan raya dengan cara menghormati orang lain masih rendah. Mereka masing-masing ingin menunjukkan keegoan ketika di jalan raya terutamanya pemandu-pemandu kenderaan besar dan kenderaan-kenderaan yang berat. Mereka tidak peduli dengan orang lain kerana mereka sedar jika berlakunya kemalangan, paling tidak pun mereka hanya cedera ringan sahaja dan lawannya sudah pasti akan lebih parah berbanding dengannya. Mereka menjadi besar kepala dengan apa yang mereka bawa.
Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak yang mewakili pengusaha bas serta kenderaan perdagangan agar meneliti apa yang mereka sepatutnya lakukan. Wakil pekerja kenderaan tersebut perlu diadakan untuk mendengar rintihan masalah yang mereka lalui. Jadikanlah profesion pemandu bas sebagai kerjaya yang professional dan mempunyai standardnya yang tersendiri. Hargailah mereka.
Pihak-pihak agensi kerajaan juga perlulah lakukan apa yang mereka sepatutnya lakukan. Kerajaan menubuh serta memperuntukkan begitu banyak perbelanjaan untuk pihak-pihak tuan menjalankan kerja bagi memastikan kenderaan-kenderaan yang berada di jalan raya adalah selamat untuk semua. Jika tuan tidak melakukan kerja dengan jujur dan amanah, siapa lagi yang hendak dipercayai. Lebih baik tutup sahaja agensi tersebut jika fungsi dan tangungjawabnya tidak dilakukan dengan sebaik mungkin. Jalan raya di Negara tidak selamat selagi mereka ini dibiarkan berleluasa di atas jalan raya. Carilah formula yang lebih berkesan untuk menagani permasalahan ini. Jangan sampai kena batang hidung sendiri baru hendak bertindak.
0 ulasan:
Catat Ulasan