Manusia di muka bumi ini diciptakan dalam berbagai-bagai rupa dan perangai. Kepelbagaian rupa itu telah menyerlahkan lagi akan sifat-sifat yang ada padanya. Manusia lain dapat mengenali manusia lain adalah kerana rupanya itu sendiri. Tanpa rupa manusia itu bukanlah seorang manusia tetapi saya sendiri tidak tahu dimana letaknya nilai itu jika ia tidak mempunyai rupa. Kepelbagaian rupa manusia yang itu dapat kita lihat dengan mata kasar yang secara tidak langsung mengesahkan identity si manusia itu. Sebagai contohnya kita kenal mat saleh dan minah saleh itu kerana rupanya yg cerah dan berhidung tinggi. Orang India itu dikenali kerana kebanyakkannya adalah berkulit gelap. Orang negro itu dikenali kerana rupanya yang gelap serta berambut kerinting. Berbagai-bagai rupa yang boleh dilihat bagi menggambarkan jenis seseorang manusia itu.
Kadang-kadang kita suka melihat rupa seseorang manusia itu. dan mengklasifikasikan ia mengikut citarasa atau sedap rasa kita sendiri samaada ia dikategorikan sebagai hodoh, cantik, menawan, sejuk mata memandang, kusut masai, serabut, handsome, segak, menggiurkan serta memberahikan dan berbagai-bagai lagi. Setiap mata yang memandang seseorang manusia itu semestinya mempunyai pandagan serta persepsi bagi dirinya yang tersendiri.
Begitu juga dengan perangai dan sifat seseorang manusia itu. Ianya juga berbeza mengikut pandangan masing-masing. Diatas diri seseorang manusia itu terdapat berbagai-bagai pandangan, tanggapan serta persepsi seseorang manusia lain terhadapnya. Perangai seseorang manusia itu boleh dikategorikan kepada beberapa sifat lahiriah yang ditunjukkinya mengikut pandagan manusia lain seperti baik, jahat, sopan santun, manja, garang, ego, keras kepala, sombong, bodoh, cerdik, pandai, kedekut, pemurah, tegas, lemah dan sebagainya lagi. Perangai seseorang manusia itu amat susah dinilai disepanjang hayat hidupnya kerana ia hanya tersembunyi dalam diri seseorang manusia itu sendiri. Kadang-kadang apa yang dilihat tidak seperti yang digambar serta diharapkan. Kadang-kadang perangai yang ditunjukkinya itu berubah-ubah mengikut keadaan semasa serta keperluan yang tertentu.
Di sini ingin dikongsi bersama dengan pembaca apa yang dimaksudkan dengan metamorfis manusia pembodek itu. Manusia pembodek ini wujud di mana-mana di muka bumi ini yang sifat rupa serta perangainya seringkali berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Sifat manusia spesis ini berubah-ubah seperti apa yang dialami oleh rama-rama yang mengalami proses metamorfis. Bermula dari rupa yang dipanggil ulat belucas yang kemudiannya membentuk kepompongnya sendiri dan akhirnya ia keluar merayau-rayau di alam sekeliling dalam bentuk rama-rama yang bebas beterbangan ke sana ke mari.
Ada pun ulat beluncas serta apa yang dipanggil rama-rama itu amat lemah sifatnya tetapi ia tetap menjadi pujaan setiap manusia di muka bumi ini. Selain itu, selemah-lemah ulat beluncas itu tetapi awas jangan disentuh kerana ia boleh memberikan kesan gatal kepada kulit bagi manusia yang memang menggatal hendak mengusiknya. Begitu juga dengan sang rama-rama yang sudah mula boleh beterbangan dengan bebas di alam ini. Sifatnya yang lemah, berbagai corak, cantik dilihat dan ianya seringkali dipuji oleh segenap manusia yang sememangnya menganggungkannya. Dianugerahi dengan sifat serta rupa yang cantik, lemah lembut dan sebagainya itu maka si manusia tidak akan mempersoalkan segala tindak tanduk sang rama-rama tadi. Walau pun ia mempunyai kelebihan seperti yang disebutkan tadi namun sang rama-rama juga memerlukan makan dan minum seperti yang dialami oleh semua makhluk di muka bumi ini. Maka, sang rama-rama itu akan berterbangan mencari segala apa yang boleh dimakan serta diminumnya bagi mengenyangkan perut serta meneruskan sisa-sisa hidupnya nanti. Sang rama-rama akan mencari bunga-bunga yang kembang lagi wangi baunya. Katanya bunga itu sudah pasti mempunyai banyak madu yang boleh dihisapnya bagi mengenyangkan perutnya nanti.
Manusia yang mengagumi serta menyanyangi rupa serta sifat rama-rama sudah pasti akan terpesona melihat telatah sang rama-rama menghisap madu di satu-satu bunga yang dihinggapinya. Sang rama-rama akan menghisap madu si bunga itu sepuas-puas nafsunya. Sang rama-rama juga tidak hanya akan menghisap madu pada satu-satu bunga sahaja. Ia akan mendapatkan seberapa banyak jenis dan rupa bunga yang ada di alam ini bagi mendapatkan apa yang dipanggil madu itu. Sang rama-rama akan hinggap di bunga-bunga yang ada bagi mendapatkan madunya dan apabila habis ia akan beralih ke bunga-bunya yang lain yang ada disekelilingnya.
Itulah sedikit sebanyak sifat serta perangai sang rama-rama di muka bumi ini. Begitu juga dengan perangai manusia yang berSifat dan perangai manusia pembodek boleh diibaratkan seperti perangai sang rama-rama tadi. Manusia akan membodek manusia lain demi tujuan-tujuan yang tertentu bagi memenuhi sifat serta kehendak hati masing-masing. Perangai pembodek ini akan berubah-ubah mengikut masa dan keadaan demi menjamin ‘keselamatan’ serta keselesaan masing-masing. Keselamatan yang dimaksudkan tadi adalah keselamatan diri sendiri, keselamatan daripada ancaman, keselamatan bagi meneruskan hidup dan berbagai lagi.
Seperti yang kita sedia maklum, di Negara ini sendiri amat ramai manusia yang mempunyai sifat dan perangai seperti rama-rama tadi. Manusia pembodek ini wujud di mana-mana sahaja sama ada di rumah, kedai kopi, pejabat dan berbagai-bagai tempat lagi. Anak membodek ibu dan bapa, bapa membodek emak, bapa membodek datuk, anak membodek anak, kawan membodek kawan, pekerja bawahan membodek pegawai, pegawai membodek bos, bos membodek taukeh, rakyat membodek ketua cawan, ketua cawan membodek YB, YB membodek menteri, menteri membodek menteri, menteri membodek Perdana Menteri, Perdana Menteri…malas nak sebut nanti jadi isu sensitive.
Dipendekkan ceritanya, setiap manusia itu sudah pasti mempunyai sifat dan perangai membodek dalam diri masing-masing. Ianya mengikut masa dan keadaan semasa.
Malang lagi malang nasib bangsa bila adanya manusia pembodek ini yang berada dan sedang duduk di atas kerusi empuk lagi bergaya. Mereka akan melakukan kerja membodek ini untuk dirinya sahaja. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk mengambil hati manusia lain. Mereka akan membodek bagi menutupi kelemahan pada dirinya. Mereka akan membodek untuk mendapatkan perlindungan. Mereka akan membodek untuk menjatuhkan orang lain. Mereka akan membodek mendapatkan wang, kuasa dan sebagainya.
Salah satu sifat keji yang ada pada manusia pembodek ini adalah ia akan memusnahkan orang lain yang dianggapnya sebagai satu halangan bagi dirinya untuk mencapai cita-citanya. Walau pun dirinya boleh dikatakan tidak seberapa layak untuk ke satu-satu peringkat atau pun ia sendiri sudah merasakan ia layak untuk ke peringkat tersebut maka membodek adalah satu-satu cara yang boleh memberi kesan kepada mangsanya. Dengan harapan manusia yang dibodeknya itu akan termakan dengan apa yang ditunjukkinya itu maka secara tidak langsung orang lain yang menjadi saingan atau pun penghalangnya akan dimusnahkan oleh manusia itu.
Banyak lagi cara yang digunakan oleh pembodek untuk mendapatkan apa yang dihajatinya dan tidak payah dicerita panjang lebar di sini.
Saya tidak terkejut bila TUN Dr. Mahathir dihina dan dikeji oleh kawan-kawan serta anak buahnya dahulu disuatu ketika dahulu. Saya tidak terkejut bila TUN menyatakan ramai pemimpin melayu sudah menjadi tunggul. Saya tidak suka, gembira dan senang hati sepenuhnya bila semua menteri, ahli parlimen, adun, penjawat awam, pekerja swasta, taukeh-taukeh menyatakan mereka sokong sepenuhnya kepeimpinan Pak Lah. Saya tidak hairan mengapa ketua cawan tidak menyebut keburukan YB-nya walau sepatah haram pun. Saya tidak hairan bila YB tidak menegur dan menasihati menteri yang dilantik. Saya juga tidak merasa hairan bila TUN menyatakan tiada seorang pun yang menasihatinya dalam hal-hal pengurusan Negara. Saya tidak hairan mengapa petani, nelayan dan orang kampong masih ketinggalan.
Saya tidak hairan mengapa masalah pengurusan di sector awam masih lembab. Saya tidak hairan mengapa pemimpin parti UMNO bergaduh sesama sendiri. Saya tidak hairan bila bos-bos tidak memperolehi maklumat yang tepat bagi satu-satu perkara. Saya tidak hairan bila dikatakan saudara Khairy Jamaludin akan menjadi Perdana Menteri pada umurnya 40 tahun. Saya tidak hairan bila pak menteri diam membisu dalam hal-hal tertentu yang boleh memberikan kesan kepada rakyat dan bangsa.
Mengapa saya tidak hairan?? Jawapannya mudah sekali kerana semuanya bersangkut-paut likup dengan kerja-kerja pembodekkan yang dilakukan oleh manusia pembodek.
Bermula dari kerja membodek maka ia bersambung-sambung serta bersangkut-paut kepada kisah-kisah lain seperti, politik wang, cah-keting, bermasam muka, cucuk mencucuk, pembohong, hati busuk, penjahat, perosak, penghasut, pembawa fitnah dan sebagainya lagi.
Manusia pembodek ini akan melupakan siapa kawan dan lawan, apa yang perlu dan tidak perlu, apa yang penting dan tidak penting, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dan sebagainya. Hati mereka telah hitam lagi keras manakala fikiran mereka telah dihanyutkan dengan apa yang mereka idamkan.
Sesungguhnya manusia yang gemar membodek ini seharusnya dikenal pasti agar ia tidak terlepas pandang dalam mana-mana keadaan sekali pun yang secara tidak langsung akan menidakkan serta menganiaya manusia lain yang sememangnya ikhlas, berkebolehan, jujur dan sebaginya lagi dalam kehidupannya seharian.
0 ulasan:
Catat Ulasan