Selasa, 9 Oktober 2007

Apa Nak Jadi Harga Naik Lagi

Sebelum itu saya ingin mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri kepada semua umat islam di Negara ini. Saya menulis kali ini adalah berkenaan isu-isu yang timbul di Negara kita sejak kebelakangan ini. Isu-isu seperti kenaikkan harga bagi barang-barang kegunaan harian telah dinaikkan dengan tidak semena-mena oleh peniaga. Mereka ini juga boleh dikatakan telah mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ayam dikala masyarakat muslim memulakan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Cuba kita fikirkan kenapa dan mengapa mereka berani menaikkan harga dengan serta merta. Mengapa mereka mengambil kesempatan yang ada pada masa-masa tertentu untuk menaikkan harga barangan tersebut. Setiap kali tibanya musim-musim perayaan dan musim-musim tertentu ada sahaja cerita-cerita mengenai harga barangan yang naik. Begitu juga bila tibanya saat pihak pekerja di sektor awam menerima kenaikan gaji, sudah menjadi kebiasaan ada sahaja barang yang akan dinaikan hargannya sama ada oleh pihak pengusaha, pemborong dan juga pihak peniaga.

Sejak beberapa tahun ini kita dapat melihat kenaikan harga terhadap beberapa barangan keperluan dan perkhidmatan di Negara ini dengan begitu dasyat sekali. Mengikut bicara pihak pengusaha katanya, peningkatan kepada kos pengangkutan dan bahan mentah telah menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan tersebut. Begitu juga dengan pihak pengusaha dalam bidang perkhidmatan. Katanya mereka terpaksa menaikkan kadar tambang untuk menyerap kos yang terpaksa ditanggung oleh mereka kerana kenaikan harga bahan api di Negara ini. Jika mereka tidak berbuat demikian, perniagaan mereka akan mengalami kerugian.

Apakah malangnya nasib bangsa Malaysia bila dalam beberapa tahun sahaja berlaku peristiwa kenaikan harga bagi sesuatu barangan kegunaan harian sampai beberapa sekian kalinya. Sampaikan mereka sanggup untuk menaikkan harga makanan utama masyarakat Malaysia iaitu beras namun nasib menyebelahi rakyat kerana ianya telah ditarik balik kerana ditegur oleh pihak kerajaan.

Keadaan ini telah menjadi beban kepada rakyat bawahan yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitu juga dengan mereka yang bekerja dan bergaji tetapi gajinya hanya cukup untuk meneruskan hidup sahaja. Beban ini sememangnya telah dirasai oleh mereka dari golongan berpendapatan rendah ini. Gaji dan pendapatan yang diperolehi hanya untuk membeli keperluan asas mereka sahaja dan tidak boleh digunakan lebih dari itu. Jika dahulu mereka boleh ‘jarang-jarang’ membeli ayam bagi santapan keluarga tetapi kini keadaannya bertukar kerana yang ‘jarang-jarang’ itu telah ditambahkan lagi ‘jarang-jarang’nya.

Memang benar, kenaikan itu tidak boleh dikawal oleh pihak kerajaan atau pun oleh pihak-pihak yang tertentu. Pihak NGO juga tidak boleh menyekat gelombang bala yang melanda ini. Hanya mereka yang terlibat secara langsung sahaja yang mengetahui kenapa dan mengapa harga bagi satu-satu barangan keperluan tersebut perlu dinaikkan. Jika mengikut sifir mudah bagi perniagaan, harga satu-satu barangan itu akan ditingkatkan jika permintaan adalah melebihi pengeluaran. Namun, di Negara ini saya percaya sifir tersebut tidak boleh diguna pakai kerana para peniaga di sini sememangnya bijak dalam mengatur percaturan bagi mencapai apa yang mereka inginkan iaitu keuntungan berlipat ganda dengan cara yang mudah dan cepat.

Corak perniagaan di Negara ini telah menghampiri kepada corak perniagaan yang diamal serta ditetapkan oleh pihak yahudi. Keuntungan diri sendiri yang berlipat kali ganda adalah diperlukan walaupun ianya boleh memberi kesan impak yang besar kepada orang lain iaitu pengguna. Sudah tidak ada lagi perasaan belas ihsan dan semangat kesederhanaan dalam diri para peniaga di Negara ini.

Mengapa ianya boleh terjadi? Adakah Negara kita telah kekurangan sumber untuk barangan tersebut. Adakah barangan tersebut sememangnya diimport dari luar Negara dan sudah semestinya harganya tidak boleh dikawal. Adakah ianya sengaja dinaikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik. Adakah ianya disebabkan oleh penyakit yang melanda yang telah menyebabkan sumbernya menjadi berkurangan. Begitu banyak persoalan yang boleh dikemukakan oleh rakyat jelata. Rakyat jelata dari orang kebanyakkan yang menanggung kesannya. Keadaan sedih, kerisauan dan semuanya terngaga-ngaga serta terpinga-pinga mencari punca kenaikkannya. Rakyat jelata terlalu takut untuk memikirkan apa lagi yang akan dinaikkan, bila masanya, berapa peratus kenaikan itu dan berbagai-bagai lagi persoalan yang timbul di dalam kepala otak rakyat jelata yang sememangnya telah merasai diri mereka telah ‘Otak’ dengan kenaikan harga barangan harian tersebut.

Jika mengikut perkembangan yang berlaku sebelum ini dalam beberapa tahun ini, kita dapati ianya bermula pada kenaikkan harga bahan api ( minyak ) seperti yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Selepas harga minyak, berlaku pula kenaikan pada kadar-kadar tol di seluruh Negara yang diumumkan oleh Menteri Kerja-Raya kita yang dikasihi. Katanya “kenaikan tol adalah disebabkan oleh seperti apa yang dijanjikan oleh pihak konsesi lebuh-raya dengan pihak kerajaan disamping mengurangkan beban kerajaan memberi subsidi terhadap kadar tol tersebut”. Keadaan ini telah memaksa pengusaha-pengusaha kenderaan awam menaikkan kadar tambang. Begitu juga dengan pihak yang mengusahakan kenderaan berat terpaksa meneliti semula kadar sewa atau kos operasi bagi lori-lori yang digunakan untuk mengangkut sesuatu bahan ke destinasi ke seluruh Negara. Akhirnya, kenaikan pada harga bagi barangan kegunaan harian telah diumumkan oleh pihak peniaga. Kita dapat melihat satu keadaan yang berkait diantara satu sama lain. Satu keadaan yang tidak tumpah seperti lagu lama yang masih lagi tersohor sehingga sekarang iaitu yang berbunyi seperti: “nasi oh nasi kenapa engkau mentah, jawabnya sebab beras basah. Beras oh beras mengapa engkau basah, jawabnya hujan timpa. Hujan oh hujan kenapa kau timpa beras, jawabnya katak panggil aku turun. Katak oh katak kenapa kau panggil hujan turun, jawabnya ular nak makan aku. Tanya lagi..ular oh ular kenapa kau nak makan katak, jawapannya adalah..ia memang makan aku”.

Keadaan ini semakin lama semakin menjadi-jadi dan kita dapat melihat pihak-pihak tertentu telah pun menaikkan harga sehingga beberapa kali bagi barangan keperluan harian. Keadaan ini akan menjadi satu ancaman kepada Negara ini jika ianya tidak diselesaikan oleh pihak kerajaan. Ia akan menjadi satu barah yang terus menghantui jiwa masyarakat di Negara ini. Rakyat seakan-akan fobia mendengar harga barangan keperluan dinaikkan.

Di sini juga kita dapat melihat nilai Ringgit Malaysia (RM) mula mengalami susut nilai. Susut nilai yang dimaksudkan itu adalah nilainya terhadap satu-satu barangan yang dijual-beli. Jika sebelum ini kita dapat membeli sesuatu barangan keperluan tersebut dengan harga yang berpatutan tetapi kini nilai ringgit itu perlu ditambah lagi bagi mendapatkan satu barangan yang sama jenis, sama bentuk, sama saiz, sama berat dan sama dalam segala sifatnya itu sendiri.

Jika keadaan ini berterusan dan tidak lagi berada dalam kawalan pihak kerajaan maka satu keadaan yang boleh dipanggil ‘inflasi yang teruk’ akan melanda Negara ini. Maka apabila tibanya saat itu, nilai RM sudah menjadi rendah jika dibandingkan dengan nilai matawang Negara lain. Ketika itu juga akan timbul berbagai-bagai masalah sosial yang terpaksa ditempuhi oleh Negara ini. Masalah ini sudah pastinya akan dirasai oleh mereka yang dikategorikan sebagai miskin atau pun yang dikatakan berpendapatan rendah. Kuasa membeli mereka akan terhad dan tidak melampau jika dikatakan mereka terpaksa menggunakan kaedah percaturan dalam soal membeli barang-barang keperluan harian tersebut. Secara mudahnya, yang kaya akan bertambah kekayaannya tetapi yang miskin akan bertambah kemiskinannya. Jarak diantara mereka yang kaya dan miskin akan menjadi bertambah dari masa ke semasa. Di saat itulah kita akan dapat melihat nasib rakyat malang yang mengemis dan hilang dalam negaranya sendiri.

Negara kita mempunyai satu sistem pentadbiran yang boleh dikatakan terbaik setakat ini. Kerajaan telah pun menubuhkan agensi-agensi pemantau yang boleh dikatakan tersusun dan ditadbir oleh mereka yang pakar serta berkemahiran dalam bidang masing-masing. Ianya tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk memberi satu perkhidmatan yang cemerlang, gemilang lagi terbilang kepada rakyat jelata.

Dalam hal ini, pihak yang dipertanggungjawabkan adalah dibawah bidang kuasa Kementerian Hal Ehwal Pengguna yang diketuai oleh Dato’ Shafei Apdhal. Mereka ini diberi kuasa untuk menyelia setiap harga keperluan di Negara ini agar ianya mengikut harga semasa dan tidak membebankan rakyat. Namun, mereka kini boleh dikatakan telah pun gagal dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Mereka hanya bertindak bila satu-satu barangan itu dinaikkan tetapi langkah-langkah awalan sebelum harga dinaikkan tidak dititik beratkan oleh mereka. Bila satu-satu harga barangan tersebut dinaikkan, mereka akan melakukan operasi ala-ala polis yang turun padang dan menjatuhkan hukuman terhadap peniaga-peniaga di Malaysia. Tidak dinafikan tindakan keras menyaman dan merampas seperti yang telah diambil oleh mereka boleh mengurangkan ‘kedegilan serta kegilaan’ para peniaga tetapi hakikatnya tindakan tersebut boleh dikatakan telah gagal untuk menghalang kemaraan gelombang tersebut di seluruh Negara secara keseluruhannya.

Begitu juga dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di awal pentadbiran Pak Lah ada menyebut untuk memperkasakan lagi bidang pertanian di Negara ini bagi memenuhi permintaan dalam dan luar Negara. Pak Lah juga bercita-cita untuk mempertingkatkan pendapatan petani dan nelayan di Negara ini dengan menukar corak pertanian, penternakan dan penangkapan ikan di laut daripada cara amalan konvesional kepada cara yang lebih efektif, produktif, berteknologi dan sebagainya lagi. Cita-cita murni Pak Lah itu adalah amat dialu-alukan serta diharapkan oleh warga rakyat jelata yang rata-rata dari golongan miskin petani, penternak dan nelayan. Mereka membayangkan kehidupan mereka akan kembali bersinar dengan pendapatan yang boleh dikatakan menyamai mereka yang bekerja secara ‘makan gaji’ di Negara ini. Mereka dapat bayangkan kebahagian kehidupan yang akan mereka lalui selepas ini jika apa yang Pak Lah katakan itu menjadi satu kenyataan. Jika dahulu dan sekarang mereka hanya memperolehi hanya RM 300.00 – RM 500.00, cuba bayangkan jika pendapatan itu ditambah atau digandakan nilainya lagi. Amat besar nilainya itu bagi mereka ini untuk meneruskan liku-liku kehidupan yang sememangnya berliku-liku serta berbelit-belit di Negara ini.

Pak Lah pernah berkata, jadikanlah bidang pertanian, penternakan dan nelayan sebagai satu bidang tugas yang profesional untuk menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara. Dengan kata lain, adalah diharapkan oleh Pak Lah ianya boleh menampung keperluan dalam Negara dan disamping itu juga ia akan menjadi salah satu sumber pendapatan kepada Negara ini jika ianya di eksport keluar.

Kita dapat melihat sendiri, secara keseluruhannya barangan keperluan yang dinaikkan itu adalah hasilan di dalam Negara ini sendiri. Minyak masak, beras, tepung gandum, jagung, lada kuning, lada biru, lada merah, lada hijau, sayur-sayuran, ikan, ayam, itik, serati, burung puyuh, daging halal dan haram, bawang, ikan air tawar, ikan air masin dan sebagainya adalah barangan yang boleh dihasilkan di Negara ini sendiri.

Namun malangnya bagi rakyat Malaysia yang terkenal dengan laungan ‘Malaysia Boleh, Kita Boleh dan Boleh Semuanya’ sudah menjadi ‘Tidak Boleh Lagi’ bila berhadapan dengan krisis kenaikan harga tersebut. Tan Sri Muhyiddin mengumumkan bahawasanya pihak kerajaan akan melaksanakan pelan kontigensinya jika didapati bekalan ayam masih berkurangan di Negara ini. Langkah yang dimaksudkan itu adalah dengan cara mengimport ayam dari Negara luar bagi mencukupi, memenuhi serta menstabilkan harga ayam tersebut. Namun persoalannya, sampai bila kita akan ‘berkeadaan’ begini jika setiap kali sesuatu barangan itu dinaikkan. Padahal Negara kita adalah kaya dengan tanah yang subur, teknologi terkini, kudrat serta keringat petani, penternak serta nelayan-nelayan yang masih setia serta sanggup untuk berjuang bagi Negara. Begitu juga dengan anak-anak muda yang berkemampuan dari segi fizikal serta mental untuk berkhidmat kepada Negara yang tercinta ini.

Golongan tersebut tidak nampak dan tidak tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk Negara mereka. Mereka tidak diberi tunjuk ajar, dorongan, peluang dan seterusnya membantu Negara ini keluar dari kemelut kenaikan harga barangan keperluan ini. Di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, gelombang pembangunan telah meresap dengan begitu mendalam di benak rakyat jelata terutamanya bagi anak-anak muda. Penghijrahan besar-besaran anak-anak muda ke bandar-bandar serta bandaraya telah berlaku bagi mereka merasai dan menikmati sendiri hasil pembangunan yang diperkatakan itu.

Mereka ingin menikmati kehidupan ‘bandaran’ yang dikatakan kononnya adalah lebih bertamadun dan juga membolehkan mereka keluar daripada kepompong kekolotan yang seperti mereka fikirkan. Kesan langsung yang dihadapi dari keadaan ini adalah menyebabkan ladang-ladang, kebun-kebun, perahu-perahu, tokang-tokang, sangkar-sangkar binatang peliharaan semakin hari semakin berkurangan. Yang tinggal hanyalah golongan-golongan tua yang semakin hari semakin lemah kudrat serta tenaganya untuk melakukan apa yang telah mereka lakukan selama ini. Golongan ini tidak lagi berkeupayaan untuk memperbaiki serta menambahkan hasil yang mereka usahakan. Banyak tanah-tanah pusaka yang asalnya ditanam dengan pelbagai tanaman kini dalam keadaan terbiar, dibiarkan dan tiada kesinambungan terhadap apa yang telah dilakukan oleh warga tua tersebut.

Pihak kerajaan mempunyai segalanya bagi merealisasikan sesuatu perkara. Tarik dan sokongilah minat golongan muda agar pulang untuk bergiat dengan lebih gigih dan lebih berdikari dalam bidang pertanian, penternakan serta nelayan dengan cara yang berbeza seperti yang diamalkan sebelum ini. Tanah-tanah yang digunakan untuk pertanian dan penternakan sememangnya banyak terdapat di Negara ini. Teknologi-teknologi tertentu banyak diperkenalkan khususnya untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan dapat digunakan dan diperkenalkan kepada petani, penternak serta nelayan pada generasi kini.

Saya percaya bahawasanya, golongan muda akan menunjukkan minat yang lebih mendalam terhadap bidang ini jika mereka ini diasuh, dididik, disokong dan diberi jalan untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Di sini rakyat jelata boleh mempersoalkan kewibawaan kerajaan dalam menghadapi perkara ini. Gunakanlah segala sumber yang ada dalam Negara ini untuk memulih serta menstabilkan harga bagi barangan keperluan harian tersebut. Mengapa kita takut jika ada manusia dari Ipoh menggugut untuk menaikkan harga ayam jika kita masih ada pengusaha lain yang juga berkeupayaan membekalkan dalam jumlah yang banyak dari negeri lain seperti kedah, perlis, kelantan, terengganu, pahang dan sebagainya. Tapi oleh kerana pada masa kini pengeluaran hanya tertumpu di Ipoh maka mereka dengan sewenang-wenangnya telah mengambil kesempatan yang ada untuk menaikkan harga ayam tersebut kerana mereka tahu kerajaan serta rakyat jelata terpaksa menerima apa yang telah ditentukan oleh pihak mereka. Seperti kata bidalan; ditelan pahit diluah sayang, mahu tidak mahu, terima sahaja.

Agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian, Kementerian Belia, Kementerian pembangunan Luar Bandar, pihak-pihak Kesedar, Felda, Uda, Felcra, Kada, Kemubu dan sebagainya adalah perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap barangan keperluan harian dalam Negara ini mencukupi dan berada pada harga yang stabil untuk jangkamasa yang lama dengan cara menggiatkan pengeluaran di dalam Negara sendiri. Dengan meningkatkan hasil pertanian, penternakan dan penakangkapan ikan di laut dalam di dalam Negara sendiri akan mengurangkan beban kenaikan harga yang tidak sepatutnya timbul di Negara Malaysia yang sememangnya mempunyai tanah yang subur.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum....
teringin jugak gua nak komen sikit. Semua tu kan tugas kerajaan yg dipilih oleh rakyatnya utk mengawal harga barang. Takkan tu pun tak bleh nak buat. Fikirkanlah...
kot kot nak tengok perubahan nanti dah pilihanraya sama samalah kita undi PAS. Tapi gua bukan org PAS...gua org Melayu. InsyaAllah...
Dari X-Roomate lu Hua hua hua