Ahad, 24 Februari 2008

' SEMUA CALON PAS ULAMA '


UTUSAN MALAYSIA ( 23-02-2008 )

KOTA BHARU 22 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan semua calon yang disenaraikan oleh Pas bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah bertaraf ulama yang memahami tuntutan memperjuangkan masa depan agama.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, walau apa pun latar belakang kerjaya, mereka merupakan kalangan manusia yang alim.

''Siapa sahaja yang menyokong Islam adalah ulama kerana dia mengerti hidup ini tak akan sudah di dunia, akan berakhir di akhirat dan tahu hanya jalan akhirat melalui Islam," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon parti itu di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz turut menyifatkan pertembungan Pas dan UMNO bagi menguasai pemerintahan dalam pilihan raya umum kali ini merupakan perlawanan antara nafsu baik dengan nafsu jahat.

''Ia memang sengit kerana bukan isu Pas lawan UMNO tetapi antara nafsu baik dan nafsu jahat," ujarnya.

Ditanya mengenai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin sebagai calon Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) memerintah, beliau berkata, siapa yang dapat menguasai kerajaan, boleh menduduki kerusi itu asalkan dengan cara yang bersih.

Mengenai pandangan terhadap personaliti Awang, beliau enggan mengulas kerana baginya pertandingan itu bukan soal peribadi atau calon tetapi dasar perjuangan satu-satu parti.

0 ulasan: