Khamis, 21 Februari 2008

MANIFESTO : PAS


HARAKAH - 21 FEB 2008

KUALA LUMPUR,- Manifesto PAS 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan' yang diuar-uarkan sebelum ini akhirnya dilancarkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang tadi.

Dalam pelancaran manifesto itu, PAS menonjolkan Negara Berkebajikan sebagai satu tawaran untuk menunaikan keperluan rakyat dalam menghadapi penderitaan dalam semua aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Menurut Abdul Hadi dalam ucapan pelancaran, tanggungjawab menunaikan Negara Berkebajikan ini adalah lebih luas daripada istilah yang difahami di politik Barat 'welfare state.

"Walaupun sebahagianya dilaksana oleh negara-negar Barat, objektif yang dimaksudkan oleh PAS dalam negara ini adalah lebih luas," katanya.

Katanya, bagi merealisasikan tema ini PAS menonjolkan tiga ciri yang penting bagi pemerintahan dan pentadbiran negara iaitu beramanah,adil dan bersih.

Apa yang terkandung dalam 'Negara Berkebajikan', PAS melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan pendidikan dan kesihatan secara percuma.

Bukan itu sahaja, Abdul Hadi turut menegaskan 'Negara Berkebajikan' juga hendaklah mengendalikan hasil negara iaitu kewangan dan segala punca ekonomi dengan cara amanah dan bersih daripada rasuah.

Dengan menghapuskan sifat rasuah ini, beliau juga yakin dan percaya PAS dapat mengendalikan hasil negara dengan baik dalam masa yang sama mendapat kepercayaan daripada masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS turut menonjolkan aspek spiritiual yang berbeza seperti mana 'Walfare State' yang dibuat di negara Barat.

Menurut beliau, aspek spiritual itu merangkumi perhitungan dosa dan pahala di sisi Allah yang ada dalam ajaran Islam.

Dengan menerapkan aspek itu, beliau yakin rakyat akan selesa bukan sahaja kehidupan mereka bertambah baik bahkan akan wujud sifat toleransi antara satu sama lain.

Turut serta dalam pelancaran manifesto PAS itu, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; AJK PAS, Dr Mohd Hatta Ramli; Calon Putrajaya, Mohammad Nor Mohamad; Calon Kota Raja, Dr Mariah Mahamud dan Calon Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali.

Justeru, tegasnya, 'Negara Berkebajikan' akan memberi keberanian kepada rakyat berbagai kaum, akademik dan pakar-pakar untuk mengkritik dan memberi pandangan kepada kerajaan.

Oleh itu, katanya, demonstrasi jalanan tidak akan timbul bahkan demonstrasi akan dijalankan dengan aman begitu juga kebebasan media akan berlaku dengan sebaiknya.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dalam ucapannya berkata, PAS mengemukakan manifesto pada hari ini untuk menjelaskan kepada rakyat supaya tidak timbul kekeliruan sebagaimana yang cuba dipropagandakan oleh parti lawan.

Beliau juga berharap, PAS akan dipilih dan diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya kali ini sekaligus akan melaksanakan apa yang terkandung dalam manifesto itu.

Abdul Hadi turut menyerahkan manifesto kepada setiap wakil Dewan Muslimat, Pemuda, Ulama, jentera wanita muda, kelab penyokong PAS dan wakil kawasan.

Manifesto yang mempunyai 36 muka surat terdiri daripada 12 Teras, antaranya;

* Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih

* Pengurusan Berhemat (Pruden) Kekayaan Negara, * Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda dengan Membenteras Jenayah.

* Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan

* Jaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat

* Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta

* Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra-Rakyat

* Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita

* Memajukan Industri Pertanian sekaligus Membela Kaum Petani dan Nelayan

* Dasar, Etika dan Amalan Media Massa Adil, Bersih dan Demokratik

* Pemuliharaan Alam Sekitar

* Dasar Perpaduan Nasional. - mks.

0 ulasan: