Khamis, 28 Februari 2008

ORANG UMNO DIMINTA BERSATU


BERITA HARIAN – (28-02-2008)

MACHANG: Datuk Seri Najib Razak mahu semua pemimpin dan ahli Umno Kelantan bersatu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memenangi pilihan raya umum di Kelantan pada 8 Mac ini.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, pemimpin dan ahli Umno perlu mengetepikan kepentingan diri masing-masing dan tidak cah keting terhadap mana-mana calon BN yang berdepan Pas.

Katanya, kegagalan membentuk kerajaan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 2004 berikutan kekalahan tipis BN itu berpunca daripada masalah dalaman parti dan bukan kerana kekuatan Pas.

"Ambo (saya) buat kira-kira, tengok kepada kerusi yang BN menang, tengok kerusi yang puak satu lagi (Pas) tu, saya kira tiga DUN dalam Parlimen Machang (DUN Temangan, Kemuning dan Pulai Chondong) sepatutnya kita boleh menang. DUN Kemuning kita cuma kalah dua undi saja.

"Ambo ralat betul, kadang-kadang fikir naik bengang, dua undi. Kalau calon kita tiga isteri....dua undi saja, kita dah boleh tubuh Kerajaan BN di Kelantan (pada 2004).

"Bila saya congak, punca kalah bukan kerana Pas kuat. Kalau Parlimen kita menang, mengapa DUN kita kalah. Kesimpulannya, ada masalah dalaman...betul tak?," soalnya sebelum disambut orang ramai dengan jeritan: “Betul!”

Najib berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Machang di Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang di Labok, di sini, semalam.

Sempena lawatan sehari ke Kelantan semalam, terdahulu Najib bersama Rosmah melawat Kem Desa Pahlawan di Kok Lanas, sebelum menghadiri tiga majlis bersama rakyat di Tanah Merah dan Pasir Mas sebelah petang.

Najib berkata, hasrat BN membentuk kerajaan di Kelantan tidak akan tercapai selagi pemimpin dan ahli Umno masih mengamalkan sikap berpuak-puak serta mempunyai kem tertentu dalam parti sendiri.

Sementara itu, berucap pada majlis makan malam bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan, di Kota Bharu, malam tadi, Najib berkata, BN akan membina lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh Kelantan untuk kemudahan rakyat memiliki kediaman yang lebih selesa jika diberi peluang memerintah Kelantan.

Beliau berkata, ia tidak mustahil dilakukan di Kelantan kerana negeri lain sudah melaksanakan projek perumahan seperti itu.

"Kita komited membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Kelantan dan akan bermula di Kota Bharu sebelum dikembangkan ke kawasan luar bandar seluruh Kelantan, “ katanya.



"Jangan berpuak-puak, jangan ada kem, jangan ada orang ambo dan orang demo (awak) kerana yang ada hanya orang Umno dan BN. Saya tak nak dengar mereka ni orang siapa, saya nak dengar cuma orang Umno yang bekerja kuat sebagai satu pasukan.

"Kita boleh menang, tapi macam mana nak menang kalau ada hati tak betul. Betulkan dalam hati tu dulu, kalau hati dah betul, Insya-Allah kita boleh membuat perubahan kali ini. Kali ini mesej saya yang paling penting, bersatu padulah menyokong calon BN," katanya.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pemerintahan Pas selama 18 tahun adalah jangka masa terlalu lama tetapi sepanjang tempoh itu, tiada apa dilaksanakan Kerajaan Pas yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Kelantan.

"Apa yang ada pun bukan daripada Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), bukan daripada Kerajaan Pas, tetapi daripada Kerajaan BN dan Pusat baik hati dan Perdana Menteri kata tak apa, kita bantu Kelantan.

"Sepanjang Pas perintah Kelantan, tiada satu masjid dibina kerajaan negeri, sebaliknya semua daripada Pusat. Masjid bukan isu politik tetapi ia soal ibadat, pokok utama dalam Islam.

"Nak beramal ibadat perlu selesa, tetapi itu pun Pas tak sediakan, sebaliknya kita bagi dan akan bagi lagi seperti yang terkandung dalam manifesto Kelantan," katanya.

Najib berkata, kalau menang pada 8 Mac ini, BN akan laksanakan Kelantan Baru, Kelantan Maju dan beberapa hari lagi, manifesto khusus untuk Kelantan akan diumumkan.

0 ulasan: