Jumaat, 29 Februari 2008

BERBEZA PENDAPAT JANGAN SAMPAI BERPECAH


UTUSAN MALAYSIA – (29-02-2008)

PENDEDAHAN kepada cabaran-cabaran semasa dan kemelut yang melanda masyarakat kini melahirkan kepada kepelbagaian buah fikiran dan lontaran pendapat.

Apa yang dirisaukan, sekiranya perbezaan pendapat ini jika tidak ditangani dengan sempurna sehingga mendatangkan perasaan tidak senang hati di kalangan sesetengah pihak, akhirnya membawa kepada permusuhan.

Dalam sesetengah wacana ilmu, medan dakwah ataupun perbualan harian, lazimnya kita berhadapan dengan persoalan setuju atau tidak dengan sesuatu buah fikiran.

Dan seorang Muslim yang bijaksana tidak harus cepat melatah dan tidak cepat membuat andaian buruk sekiranya pandangan tidak memenuhi kehendak kita.

Sebaliknya, kita harus berlapang dada dan bertolak ansur dengan apa yang disuarakan selagi ia tidak bertentangan dengan hakikat nyata.

Melihat keadaan semasa negara kita sekarang menggambarkan corak dan warna-warni perkembangan siasah dan suasana sebelum berlakunya hari pilihan raya. Ramai bakal pemimpin yang bertanding mewakili parti-parti yang disertainya.

Dan sudah diramalkan mereka membawa faham perjuangan yang berbeza dan harapan tertentu daripada masyarakat. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat jika kita melihat dari sudut pandangan yang baik. Hal ini bermanfaat sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab dan akhlak yang betul sepertimana yang telah digariskan oleh syarak.

Walaupun berbeza pendapat dan pemikiran (fikrah) tetapi selagi masyarakat masih lagi berpegang kepada tali agama yang mengikat diri dengan Pencipta, selagi itulah masyarakat kita tidak akan berpecah.

Sebagai satu unit di dalam masyarakat, kita perlu ikhlas dan menjauhkan diri dari mengikut hawa nafsu. Ikhlas dalam segala tindakan merupakan syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah dan juga tidak bermegah dalam mencari dan menegakkan kebenaran.

Salah satu daripada tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya daripada seseorang yang lebih rendah pangkatnya sepertimana yang berlaku kepada Sayidina Umar Al Khattab.

Sahabat Nabi ini menerima kebenaran walaupun datangnya daripada seorang perempuan yang lebih rendah pangkatnya berbanding beliau.

Sesetengah pihak tidak boleh mempunyai sifat ingin memenangkan diri sendiri. Kita mungkin pernah terdengar kata-kata: “Apa yang saya cakap semuanya betul dan kata-kata awak tadi adalah salah.”

Seandainya beginilah cara seseorang memberi dan menerima pandangan orang lain, di penghujungnya, dia hanya mempunyai ramai musuh berbanding dengan kawan.

Bukankah itu membawa kepada bibit-bibit perpecahan dalam masyarakat kita? Justeru, walaupun sesetengah daripada kita mempunyai lunas pandangan yang berbeza, bukanlah bermakna tidak boleh bersatu di bawah satu rumpun perpaduan yang dijanakan atas dasar kebenaran dan keikhlasan dengan syarat setiap ahli masyarakat perlu mempunyai adab-adab dan akhlak yang telah digariskan dalam agama.

Kebenaran dalam sesuatu pandangan juga mempunyai tempoh matang untuk setiap orang menerima dan mempercayainya. Jika kita menelusuri sejarah Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah di mana baginda menerima penolakan yang cukup lama dalam menyampaikan dakwah agama Islam sehinggalah berjaya menyedarkan masyarakat jahiliah bahawa kebenaran agama Islam itu tidak dapat dinafikan lagi.

Pengajaran daripada sirah ini ialah tidak semua pandangan, pendapat atau pemikiran dapat diterima oleh segenap masyarakat. Sehubungan dengan itu, wujud juga kepelbagaian fahaman siasah dalam masyarakat kita. Berbeza pendapat dalam sesebuah masyarakat adalah menunjukkan ciri masyarakat bertamadun yang bergerak menuju kepada kemajuan dan kesejahteraan. Agama Islam tidak mengajar pendekatan secara keras jahil dan zalim dalam apa jua tindakan.

Salah satu sikap yang perlu dihindari oleh semua orang apabila wujudnya perbezaan pendapat ialah sifat taksub (fanatik) dan berkelompok dengan satu pandangan dan sentiasa ingin menegakkan benang yang basah sehingga membawa kepada permusuhan.

Seperti mana hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan, “Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana dia mungkin kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai.”

Jika menyoroti lembaran sirah di mana puak-puak Assabiyyah dahulu saling berbunuhan sesama sendiri kerana memiliki sikap taksub dan akhirnya membawa kesan kepada perpecahan, pertelingkahan dan kacau-bilau dalam masyarakat Arab.

Setiap orang daripada kita harus menerapkan dalam hati bahawa perbezaan yang wujud tersebut merupakan satu rahmat dan ia harus didasari dengan perasaan ikhlas yang akan mencetuskan keharmonian dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, seharusnya masyarakat mempunyai kaedah yang matang dan berkesan dalam menangani kemelut perbezaan pendapat menjelang pilihan raya ini agar ketegangan sesama umat tidak timbul.

* PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains

Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

0 ulasan: